Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memeduli keselamatan kawasan pantai

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Badan sukarela bukan kerajaan (NGO), Beach Bunch telah memasang papan tanda keselamatan dan pemasangan alat bantuan menyelamat, life ring, untuk kegunaan orang ramai semasa kecemasan di Pantai Muara dan Pantai Berakas.

    Ia adalah sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan di kawasan pantai di Negara Brunei Darussalam dan bahaya daripada kejadian arus deras (rip current).

    Presiden Beach Bunch, Awang Rizan Latif dalam satu kenyataan berkata, pemasangan papan maklumat dan alat bantuan menyelamat di kedua-dua pantai berkenaan adalah kerana pantai berkenaan merupakan pantai yang amat digemari oleh pengunjung terutama bagi kegiatan berenang.

    Di samping itu, pantai-pantai berkenaan merupakan di antara pantai di Brunei yang dikenal pasti berlakunya arus deras yang amat berbahaya serta di antara penyebab utama kejadian lemas di kawasan pantai.

    Kedua-dua pantai berkenaan, juga dilaporkan mempunyai kes kejadian lemas yang terbanyak di mana pada Disember lalu, dua orang warga tempatan telah lemas manakala seorang lagi selamat dalam kejadian di Pantai Berakas.

    Papan tanda maklumat dan alat bantuan menyelamat yang disediakan di Pantai Berakas.
    Papan tanda maklumat dan alat bantuan menyelamat yang disediakan di Pantai Berakas.

    Beliau juga berkata bahawa pemasangan alat bantuan menyelamat, life ring, merupakan sebahagian daripada matlamat yang ditekankan dalam program penyelamat untuk mengelakkan berlakunya kejadian lemas.

    Beliau berharap pemasangan life ring itu dapat membantu mengurangkan kejadian lemas dan membantu orang ramai memberikan pertolongan kepada perenang-perenang yang berhadapan dengan masalah ketika berenang.

    Penggunaan peralatan itu adalah mudah sekali, di mana jika berlaku kecemasan, orang ramai boleh mengambil life ring bersama tali sepanjang 50 meter berkenaan untuk dilontarkan atau dibawa kepada perenang yang memerlukan bantuan di mana mereka perlu memasuki ke ruang tengah life ring itu dan orang ramai boleh membantu dengan menarik tali yang disediakan menuju ke kawasan pantai.

    Pihak Beach Bunch berharap orang ramai akan menggunakan peralatan bantuan itu secara bertanggungjawab dan hanya akan menggunakannya apabila berlaku kecemasan serta tidak menyalahgunakannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda