Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Kita hidup di dunia ini saling memerlukan antara satu sama lain, kerana itulah agama Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga dan memelihara hubungan persaudaraan yang baik sesama manusia tanpa mengira agama, pangkat mahupun bangsa terutamanya dengan jiran tetangga.
Sesungguhnya mengeratkan dan memelihara hubungan dengan jiran tetangga adalah sangat penting. Ini kerana jiran umpama saudara yang dekat dan berada pada kedudukan yang paling mudah untuk kita saling bantu-membantu, apatah lagi dengan adanya sikap kemesraan dan saling pemedulian, ia dapat menjadikan kehidupan bermasyarakat dan bernegara itu lebih bersatu padu dan harmoni serta jauh daripada sebarang persengketaan dan permusuhan.
Khatib mengingatkan perkara berkenaan semasa menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk Menjaga Hak Jiran Tetangga, hari ini.
Khatib antaranya turut menyentuh dengan menekankan dalam konteks menjaga hubungan silaturahim sesama jiran, janganlah sekali-kali kita menyakiti hati mereka, sama ada dengan perkataan, perbuatan mahupun tingkah laku yang boleh menyinggung perasaan sesama jiran tetangga.
“Ini termasuklah dalam perkara menjaga kebersihan di kawasan tempat kita tinggal atau kawasan jiran yang tinggal berdekatan dengan kediaman kita, antaranya seperti tidak membiarkan rumput atau pokok-pokok di halaman rumah terbiar sehingga mengganggu kawasan atau halaman rumah jiran, membiarkan sampah-sarap berlonggok dan bersepah sehingga mengeluarkan bau yang busuk dan tidak menyenangkan,” tekan khatib.


Selain itu, tambah khatib, bagi menjaga ketenteraman dan keharmonian hidup berjiran, kita juga hendaklah peka dan sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur seperti tidak membiarkan binatang ternakan dan peliharaan berkeliaran, apatah lagi sehingga memasuki kawasan dan halaman rumah jiran serta membuat kotor atau merosakkan bunga, tanaman atau harta benda jiran dan elakkanlah berbuat bising atau hiburan yang keterlaluan sehingga larut malam yang boleh menyebabkan jiran berasa terganggu dan sukar untuk beristirahat.
Dalam pada itu, khatib juga antaranya mengingatkan dalam kehidupan berjiran, ada hak dan tanggungjawab yang mesti kita tunaikan. Imam Al-Ghazali di dalam Kitab Ihya’ Ulumuddin ada menyebutkan beberapa hak dan tanggungjawab tertentu yang perlu dilaksanakan antaranya ialah memulakan memberi salam kepada jirannya; menziarahi jiran ketika sakit dan mengucapkan takziah ketika berlaku kematian; jangan terlalu bertanya tentang hal-hal peribadi jiran; memaafkan segala kesalahan dan kesilapan jiran; menutup keaiban yang berlaku pada jiran; sentiasa bersikap lemah lembut terhadap anak-anak jiran dan sentiasa membantu jiran apabila ditimpa musibah.
Begitu juga antara hak dan tanggungjawab yang mesti kita tunaikan ialah tidak menyakiti dan menyusahkan jiran sama ada dari segi perkataan, perbuatan mahupun tingkah laku; janganlah terpengaruh dengan kata-kata orang yang cuba memburuk-burukkan jirannya dan jangan menyempitkan perjalanan menuju ke rumah jiran.
“Sesungguhnya agama kita menganjurkan umatnya untuk sentiasa melakukan kebaikan kepada jiran tanpa mengira agama mahupun bangsa.
“Amalan hormat menghormati, bantu-membantu dan saling bertolak ansur sesama jiran akan dapat menjadikan kehidupan berjiran lebih harmoni, sejahtera dan akhirnya akan melahirkan masyarakat, bangsa dan negara yang kuat dan bersatu padu,” ujar khatib.

