Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Masjid merupakan tempat yang paling dicintai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda sepertimana yang diriwayatkan daripadanya oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:
Tempat yang paling dicintai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah masjid-masjidnya.
(Hadits riwayat Muslim)
Menurut ulama, Allah Subhanahu wa Ta‘ala sangat mencintai masjid-masjidNya kerana masjid merupakan buyut ath-tha‘at (rumah-rumah bagi melaksanakan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala), yang berasaskan taqwa, serta tempat turunnya limpahan rahmat dan nikmat.
Masjid mempunyai fungsi yang sangat besar kepada Islam dan umat Islam. Ia bukan sahaja tempat untuk mendirikan ibadat, bahkan juga menjadi pusat masyarakat Islam untuk mendirikan aktiviti-aktiviti keugamaan, ilmiah, kemasyarakatan dan sebagainya.
Pada masa kini, masjid semakin mendapat tempat untuk dijadikan pilihan utama untuk mengadakan majlis-majlis pernikahan, tahlil dan doa arwah, doa selamat dan seumpamanya. Perkara ini sememangnya satu perkembangan yang sangat positif kerana ini menunjukkan berfungsinya masjid sebagai pusat hubungan; bukan sekadar antara seorang hamba dengan Tuhannya sahaja, bahkan juga sesama umat Islam. Ini turut membantu mendekatkan umat Islam kepada masjid dan sekaligus menjadikan masjid semakin makmur.
Namun dalam pada itu, ketika mengadakan majlis di masjid, jangan kita lupa akan hakikat bahawa ini adalah rumah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Apabila berada di rumah orang lain pun kita sangat berhati-hati ketika bertamu, jadi apatah lagi ketika bertandang ke rumah Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Apa yang menyedihkan, sebahagian umat Islam seolah-olah kurang mengambil perhatian akan hal ini. Sehinggakan ada didapati selepas majlis selesai, bau makanan memenuhi udara masjid sehingga mengganggu tumpuan, keselesaan dan kekhusyukkan jemaah-jemaah yang hendak mendirikan sembahyang selepas itu. Begitu juga sampah sarap serta sisa-sisa makanan yang tidak dibersihkan dengan sempurna.
Dari sudut lain pula, ketika majlis diadakan, sebilangan kanak-kanak bermain-main tanpa dikawal sehingga membuat bising serta mengganggu peralatan-peralatan dalam masjid.
Ada pula sebahagian tetamu yang memakai pakaian yang tidak bersesuaian dengan kemuliaan masjid seperti pakaian yang mendedahkan aurat dan sebagainya. Semua ini mencemarkan kesucian dan kehormatan rumah Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Irsyad Hukum kali ini akan membincangkan salah satu daripada tuntutan dalam menjaga kehormatan masjid, iaitu tuntutan memelihara kebersihan masjid.
Tanggungjawab memelihara kebersihan masjid
Memelihara kebersihan masjid dengan membersihkannya daripada segala jenis kotoran dan menjaganya daripada dikotori merupakan salah satu bentuk khidmat kepada masjid.
Berkhidmat kepada masjid merupakan satu amalan mulia lagi terpuji di sisi syara‘.
Sebenarnya, amalan berkhidmat kepada masjid bukanlah sesuatu yang baru disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, bahkan sudah pun disyariatkan kepada umat-umat terdahulu. Dalam al-Qur’an ada diceritakan kisah di mana isteri ‘Imran, yang dikenali dalam kitab-kitab tafsir dengan nama Hannah binti Faquz, iaitu ibu kepada Maryam, bernazar kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya anak dalam kandungannya berkhidmat kepada masjid.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:
(Ingatlah) ketika isteri ‘Imran berkata: “Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu apa yang ada (anak) dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan kepentingan dunia untuk berkhidmat di Baitul Maqdis), maka terimalah nazarku, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Surah Ali-‘Imran: 35)
Masjid perlu dipelihara kebersihannya kerana jika masjid tidak bersih, bukan sahaja fungsinya sebagai tempat beribadah akan terganggu, bahkan darjatnya sebagai syiar Islam juga akan terjejas.