Wednesday, April 2, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mementingkan keselesaan tudung Muslimah

    Oleh Nurdiyanah R.

    Menjadi keperluan yang dekat di hati wanita Muslimah yang berhijab, itulah keindahan nilai tudung atau hijab yang merupakan sejenis perhiasan wajib untuk menutup bahagian rambut sebagaimana yang telah dituntut oleh syariat Islam.

    Oleh yang demikian, dari hari ke hari, trend menjual tudung dalam talian semakin meningkat dan mendapat permintaan yang sangat tinggi khususnya dalam kalangan wanita. Seiring dengan peredaran semasa, gaya tudung yang diperagakan oleh wanita terutamanya golongan muda juga terus berevolusi sekali gus menzahirkan seri wajah pada seseorang wanita.

    “Melihat kepada perkembangan semasa di mana kebanyakan wanita terutamanya golongan muda yang semakin tertarik dengan pemakaian tudung shawl seperti semasa menghadiri kuliah atau sewaktu santai bersama kawan-kawan, maka dari situlah terdetiknya hati saya untuk mengeluarkan produk tudung ‘plain’ shawl berasaskan kain ‘heavy chiffon’ dengan pelbagai pilihan warna yang menarik,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh salah seorang beliawanis tanah air yang menjalankan perniagaan tudung shawl dalam talian sejak tahun 2017, Dayang Nur Syaimaa’ binti Haji Selamat semasa ditemui wartawan Media Permata baru-baru ini dengan penuh keceriaan.

    Waktu bermula

    Dayang Nur Syaimaa’ yang juga selaku Pengasas dan Pengurus bagi SimplySyai Company yang telah berdaftar sejak bulan Julai baru-baru ini menjelaskan bahawa dengan hanya menggunakan modal hasil simpanan peribadi sebanyak $120 dengan hanya terhad untuk pengeluaran 20 pasang tudung shawl suatu ketika dahulu, itulah langkah pertama beliau menjejaki dunia perniagaan dengan ditawarkan kepada rakan-rakan terdekat bermula dari teknik pre-order, dan diikuti pula dengan mengeluarkan koleksi tudung instock dan membuka kedai berdekatan kediaman beliau sehingga sekarang.

    “Keselesaan dari segi kualiti kain dengan saiz ukuran yang lebar serta pelbagai pilihan warna yang menarik dan unik berkonsepkan warna-warna yang terang sehinggalah lembut, itulah keistimewaan produk yang saya tawarkan untuk para pelanggan demi mewujudkan kepuasan mereka dari masa ke semasa,” tambahnya lagi yang menjual anggaran harga dari $3 hingga $25 dengan senyuman manis.

    Dayang Nur Syaimaa’ selaku pengasas dan pengurus SimplySyai Company yang mengusahakan perniagaan tudung ‘plain’ shawl dalam talian sejak tahun 2017 semasa ditemui, baru-baru ini.
    Antara koleksi tudung ‘plain’ shawl dan bawal yang diusahakan oleh Dayang Nur Syaimaa’ di mini kedai beliau dengan anggaran harga dari $3 hingga $25 yang memiliki kualiti terbaik.

    Beliau yang bukan sahaja mengeluarkan produk tudung ‘plain’ shawl yang diberi nama Basic Shawl, Wide Basic Shawl dan Basic Cotton Shawl dan Basic Fringe bahkan juga bermacam-macam koleksi warna daripada jenis tudung ‘plain’ bawal dengan nama Basic Squares dan Basic Crepe dan begitu juga koleksi tudung instant jenis ‘plain’ dan bercorak.

    Cabaran

    Dalam pada itu, meski sibuk menjalani kewajiban sebagai salah seorang mahasiswi yang mengikuti salah sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini, usahawan muda ini tidak menghalang minatnya terus menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

    Meniti dunia keusahawanan ini pastinya memiliki asam garamnya dari hari ke hari. Salah satunya ialah menghadapi ketidak jujuran pelanggan dalam mengambil barang tempahan tepat pada tempoh yang ditetapkan.

    Begitu juga beliau pernah mengalami kerugian besar sebanyak $1200 semasa membuat tempahan dari pembekal tudung dalam talian yang tidak jujur.

    Semua itu sememangnya tidak mematahkan semangat beliau bahkan itulah pengalaman pahit yang mampu mendidik dirinya agar sentiasa berjuang untuk meningkatkan prestasi perniagaan dari hari ke hari.

    “Amat bersyukur dengan limpahan rezeki dari Allah Subhanahu Wata’ala yang telah dikecapi selama ini. Salah satu kenangan manis yang sukar dilupakan apabila jualan koleksi terbaru yang diedarkan dalam talian telah ‘sold out’ dalam masa kurang 24 jam.”

    “Walaupun penat malah kurang berkeyakinan, namun berkat sokongan dan dorongan dari kedua ibu bapa saya yang tidak putus-putus dan begitu juga sahabat handai saya yang sentiasa berada di sisi saya dalam membantu mempromosi jualan tudung sehingga sekarang. Merekalah insan-insan pencetus kejayaan saya selama ini,” ucap Dayang Nur Syaimaa’ dengan nada penuh kesyukuran.

    Sentiasa bersikap jujur

    Dalam pada itu, insan yang bersemangat tinggi ini yang memiliki perancangan untuk membuka mini kedai di negara Indonesia pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan turut mengemukakan pandangan kepada seluruh masyarakat terutamanya penjual dan pembeli dalam talian agar sentiasa bersikap jujur dan bertanggungjawab dalam menjalankan proses berjual beli.

    “Sentiasa berfikiran positif dan terokailah dunia keusahawanan meskipun secara kecil-kecilan, namun mestilah berbekalkan perancangan yang bijak dengan mengeluarkan produk atau barangan dengan daya kreativiti yang menarik dan unik di mata para pelanggan,” itulah antara kata-kata yang diungkapkan oleh Dayang Nur Syaimaa’ semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda