Oleh Raz AS
Dengan kehadiran pelbagai jenis tali pancing daripada bermacam-macam jenama yang membanjiri pasaran pada masa kini boleh membuatkan pemancing baharu dan lama runsing dalam memilih jenis tali pancing mana yang sesuai untuk digunakan.
Sebelum membuat keputusan membelanjakan wang hasil titik peluh untuk membeli tali pancing hanya berdasarkan jenama atau mendengar cakap orang, pemancing harus memahami akan kelebihan dan kelemahan jenis tali pancing yang akan mereka dapatkan dan kesesuaiannya dengan kaedah pancingan yang akan digunakan.
Tanpa mengira jenama, secara amnya terdapat tiga jenis tali pancing yang berada di pasaran sekarang iaitu monofilament, fluorocarbon dan braided atau tali sulam. Masing-masing mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang boleh menjadi satu kelebihan mahupun sebaliknya.
Monofilament
Monofilament adalah tali pancing klasik yang biasa kita kenali sebagai tangsi. Kelebihannya yang kos efektif dan jauh lebih murah daripada tali pancing yang lain menjadikannya pilihan ramai.
Secara amnya tali pancing jenis monofilament mempunyai diameter yang tebal, tahan geseran dan kekuatan ikatan yang sangat baik. Tali ini juga mempunyai sifat rendah memori menjadikannya senang diurus dan digunakan pada set spinning dan multiplier.
Monofilament boleh merenggang sehingga sebanyak 25 peratus menjadikannya amat bagus menyerap sentapan sama ada ketika melakukan lontaran atau ketika umpan dilarikan atau menahan asakan ikan.
Oleh sebab yang demikian, ia boleh menyelamatkan joran daripada patah kerana sentapan kuat dan mata kail juga susah untuk terlepas daripada mulut ikan ketika ikan menggoncang-goncangkan kepalanya untuk melepaskan diri.
Kelalaian pemancing dalam mengawal sistem drag ketika pergelutan dengan ikan besar juga boleh dimaafkan kerana ia akan merenggang sebelum terputus justeru memberikan sedikit kelebihan masa kepada pemancing untuk bertindak.
Walau bagaimanapun, sifatnya yang boleh merenggang itu juga membuatkan monofilament kurang sensitif untuk merasa cuitan ikan memakan umpan lebih-lebih lagi ketika memancing di perairan dalam dan sentapan yang kuat daripada pemancing juga diperlukan untuk mendapatkan solid hook up.
Antara lain, monofilament juga bersifat timbul di air dan tenggelam secara perlahan-lahan, menjadikannya sesuai untuk kaedah popping atau menggunakan lure permukaan dan selaman cetek.
Fluorocarbon
Tali pancing fluorocarbon kelihatan seperti monofilament, tetapi diperbuat daripada bahan yang berlainan dan harganya lebih mahal sedikit. Selalunya, ramai pemancing menggunakan fluorocarbon sebagai tali perambut kerana dikatakan tali ini tidak kelihatan di dalam air, akan tetapi penggunaannya sebagai tali utama yang diikat terus pada mata kail atau lure juga sangat popular terutamanya di kalangan pemancing ikan bass.
Secara amnya, fluorocarbon mempunyai diameter yang tebal dan lebih tahan geseran daripada monofilament, namun mempunyai kelemahan pada bahagian ikatan, ia mesti dibasahkan terlebih dahulu sebelum diikat agar tidak mudah rosak semasa proses mengikat. Tali ini juga mempunyai memori yang tinggi dan kurang fleksibel, oleh itu fluorocarbon yang mempunyai diameter besar kurang sesuai digunakan pada set spinning.
Fluorocarbon juga mempunyai sifat boleh merenggang menjadinya tali yang bagus untuk menyerap sentapan walau bagaimanapun renggangannya lebih kurang lagi berbanding monofilament. Oleh itu ikan juga akan sedikit susah terlepas ketika pertarungan.
Namun begitu renggangan yang menjadi ciri yang dikongsi oleh fluorocarbon dan monofilament tidak akan mempengaruhi kesensitifan fluorocarbon dalam mengesan cuitan ikan pada umpan. Ini bermakna fluorocarbon adalah lebih sensitif berbanding monofilament.
Antara ciri lain fluorocarbon yang tidak ada pada tali pancing yang lain adalah ia tenggelam dengan cepat, menjadikannya sesuai untuk penggunaan lure selaman dalam atau ketika memancing di kawasan perairan dalam.
Braided (Tali Sulam)
Braided merupakan tali pancing yang sangat popular terutama di kalangan pemancing yang menggunakan teknik casting di negara ini. Ia kelihatan seperti benang dan har-ganya jauh lebih mahal.
Jika dibandingkan saiz diameternya dengan monofilament dan fluorocarbon, tali pancing jenis ini jauh lebih nipis membolehkan pemancing mengisikan lebih banyak tali dengan breaking point yang lebih tinggi ke dalam reel mereka.
Antara ciri-ciri lain tali braided, ia sangat lembut dan tidak mempunyai sebarang memori, oleh yang demikian ia mudah diurus dan sesuai digunakan dengan set spinning atau multiplier dan lontaran yang jauh dapat dilakukan dengan senang, namun permukaannya yang kasar boleh mengakibatkan kerosakan pada ring joran. Bagi mengatasi masalah ini, kebanyakan pengilang tali braided menyalut wax atau seumpamanya pada produk tali mereka agar ia lebih licin.
Tali braided tidak merenggang menjadikannya tali yang sangat sensitif, sebarang sentapan pada hujung tali akan terus sampai ke joran tanpa serapan meningkatkan risiko joran patah ketika lontaran dilakukan atau sambaran ikan yang kuat. Kemungkinan mata kail lucut juga lebih tinggi kerana mulut ikan akan lebih mudah terkoyak jika sentapan terlalu kuat sama ada ketika cuba melakukan hook up atau semasa pergelutan.
Tali braided tidak tahan geseran kerana saiznya yang nipis bagaimanapun penggunaannya di kawasan berstruktur tetap menjadi pilihan kerana kekuatannya jika dibandingkan dengan saiznya, memberi kelebihan kepada pemancing untuk menghalang asakan ikan yang cuba masuk ke celah-celah struktur di bawah air.
Tali braided juga lebih senang dilihat di dalam air membuatkan ikan-ikan yang sensitif takut untuk menjamah umpan. Oleh yang demikian ramai pemancing mengikatkan perambut monofilament atau fluorocarbon untuk mengatasi hal-hal yang dinyatakan di atas.
Antara kelebihannya yang lain ialah penggunaannya sangat versatil, ia timbul di air akan tetapi faktor kenipisannya membolehkan tali braided membelah air dengan efisien untuk sampai ke dasar dengan cepat. Menjadikannya sesuai digunakan untuk pelbagai kaedah pancingan sama ada pancingan di permukaan, cetek mahupun dalam.