Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Memory Walk pupuk kesedaran penyakit demensia

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Sempena Sambutan Hari Demensia Sedunia yang diraikan setiap 21 September, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) di seluruh negara dan Persatuan Demensia Brunei telah mengadakan acara Memory Walk di kawasan lapang Dewan Seri Kenangan, Daerah Tutong, pagi tadi.

    Aktiviti berjalan sejauh dua kilometer itu adalah sebagai salah satu usaha meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya warga emas mengenai penyakit demensia dan cara-cara pencegahan serta pengurangan risiko penyakit tersebut.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara yang mengumpulkan lebih 100 orang peserta golongan warga emas dari keempat-empat daerah berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad.

    Antara yang hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, dari PKWE di keempat-empat daerah, Pertubuhan WARGAMAS, serta para penghulu dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong. 

    Acara berjalan bersama berkenaan bermula di kawasan letak kereta Dewan Seri Kenangan menuju ke Kawasan Kompleks Sukan Tutong dan kembali semula ke Dewan Seri Kenangan.

    Acara berkenaan juga bertepatan dengan Kempen 80 bilion langkah BNontheMove yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada ketika ini.

    Oleh yang demikian, sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran warga emas mengenai penyakit demensia di negara ini, Kementerian Kesihatan akan sentiasa mengungkayahkan aktiviti community outreach bersama pihak berkepentingan khususnya di peringkat akar umbi dan masyarakat.

    Hal ini agar sama-sama menyokong dan membantu mendidik tentang kepentingan pengurangan risiko penyakit demensia serta pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit di Negara Brunei Darussalam. Ia juga sejajar dengan hala tuju Kementerian Kesihatan iaitu ‘Bersama ke arah Warga Sihat’ dan Wawasan Brunei 2035 iaitu kualiti hidup yang tinggi.

    Sambutan pada tahun ini membawa tema iaitu ‘Inda Terlalu Awal, Inda Terlalu Lambat’ yang memfokuskan kepada faktor risiko dan peranan penting pengurangan risiko demi menangguhkan dan mencegah penyakit demensia.

    Peserta warga emas bergambar ramai semasa acara berkenaan.

    (Klik di sini untuk berita lanjut)

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...