Monday, September 30, 2024
33.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memory Walk tingkat kesedaran demensia

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Lebih 100 peserta dari seluruh negara, termasuk ahli Pusat Kegiatan Warga Emas dari Tutong, Temburong dan Belait, telah menyertai acara Memory Walk sejauh 2 kilometer pagi tadi sempena Bulan Kesedaran Demensia.

    Acara yang dianjurkan dengan kerjasama McDonald’s Brunei, Persatuan Demensia Brunei dan Taman Permainan Jerudong Park itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai demensia serta menunjukkan solidariti terhadap penghidap demensia dan penjaga mereka.

    Para peserta memulakan perjalanan mereka dari Taman Permainan Jerudong Park hingga ke McDonald’s Jerudong, dengan acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan yang dikendalikan oleh HSN Fitness di bawah bimbingan Jurulatih, Haji Naning bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir dalam acara tersebut ialah Timbalan Pengurus Besar Makan Ceria Sdn Bhd, Haji Awang Muhammad Munir Syafiq bin Dato Paduka Haji Awang Metassan; Naib Presiden Persatuan Demensia Brunei, Dr Hajah Asmah binti Haji Husaini; Pengurus Taman Permainan Jerudong Park, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Abdul Qayyum; dan Pengurus Kewangan Kanan Taman Permainan Jerudong Park, Yong Nyok Shar.

    Dalam ucapannya, Dr Hajah Asmah menekankan pentingnya sokongan masyarakat terhadap individu yang mengalami demensia dan keluarga mereka.

    “Memory Walk bukan sahaja bertujuan menyebarkan kesedaran tentang demensia, tetapi juga sebagai peringatan bahawa sokongan daripada masyarakat adalah penting dalam memberikan penjagaan dan belas kasihan kepada mereka yang terjejas,” katanya.

    Acara berkenaan diakhiri dengan sesi perkongsian pengalaman oleh Ampuan Fatin Syuhaidah binti Ampuan Ahmad, seorang penjaga demensia yang berkongsi cabaran yang dihadapi oleh penjaga serta kepentingan sokongan emosi daripada masyarakat.

    Para peserta yang menyertai acara tersebut bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN MAKAN CERIA SDN BHD
    Lebih 100 peserta berhimpun menyertai acara 2KM Memory Walk, dari Taman Permainan Jerudong Park hingga ke McDonald’s Jerudong. – SERAHAN MAKAN CERIA SDN BHD
    SERAHAN MAKAN CERIA SDN BHD
    SERAHAN MAKAN CERIA SDN BHD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda