Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Lebih 100 orang yang terdiri daripada ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) dari Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong, Daerah Temburong dan tetamu lain telah menyertai dalam acara Memory Walk di Jerudong Park Colonade, hari ini.
Hadir menyempurnakan pelancaran Memory Walk sempena Hari Alzheimer Sedunia 2025 itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar Makan Ceria Sdn Bhd, Haji Mohammad Munir Syafiq bin Dato Paduka Haji Metassan, dan Pengurus Besar Jerudong Park Country Club Sdn Bhd (JPCC), Hajah Siti Norzalena binti Pehin Orang Kaya Lela Raja Dato Seri Laila Jasa Haji Awang Abdul Rahman serta pegawai kanan masing-masing.
Antara lain tujuan acara ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai demensia dan penyakit Alzheimer serta kesannya kepada individu, keluarga dan masyarakat, di samping memberi sokongan kepada mereka yang hidup dengan Alzheimer dan demensia lain serta penjaga mereka; dan menggalakkan pencegahan, pengesanan awal dan diagnosis.
Memory Walk itu dianjurkan bersama oleh demensia Brunei dengan kerjasama Makan Ceria Sdn Bhd dan JPCC serta disokong oleh D’Sunlit Sdn Bhd.
Tema sambutan Hari Alzheimer Sedunia 2025, Tanya Tentang Demensia, Tanya Tentang Alzheimer.


