(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Islam sangat memuliakan anak Adam termasuk memuliakan anggota tubuh badannya sebagaimana firman Allah SWT yang tafsirnya: “Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah mengangkut mereka (dengan pelbagai kenderaan) di daratan dan di lautan. Kami juga telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami telah memberi kelebihan kepada mereka dengan sempurna mengatasi makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’: 70)
Ini termasuklah juga memuliakan bahagian-bahagian yang tumbuh pada anggota manusia seperti kuku, rambut dan bulu. Malah potongan-potongan daripada kuku, rambut dan bulu itu sunat ditanam dalam tanah sebagai tanda menghormatinya.
Kuku, rambut dan bulu yang tumbuh pada anggota manusia itu berhubungkait dengan hukum umpamanya disunatkan ketika hendak mengerjakan sembahyang fardu Jumaat dengan membersihkan diri terlebih dahulu, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, menggunting misai dan mencukur bulu ari-ari.
Adapun ketika seseorang itu dalam ihram haji atau umrah pula, haram ke atasnya memotong kuku, rambut dan bulu melainkan kerana sesuatu sebab seperti ada kutu kepala yang menyakiti sehingga terpaksa dia mencukur rambut kepalanya atau kuku jari yang menyakiti sehingga terpaksa dia memotongnya.
Bagaimana pula hukum memotong kuku, rambut dan bulu ketika berhadas besar. Apakah hukumnya?


Memotong kuku, rambut dan bulu ketika berhadas besar
Orang yang berhadas besar seperti kerana haid, nifas dan berjunub sayugia tidak memotong kuku, rambut dan bulunya melainkan setelah melakukan mandi wajib.
Ini kerana bahagian-bahagian yang dipotong itu di akhirat kelak akan dikembalikan kepada tuannya dalam keadaan junub.
Ini telah dinyatakan dalam kitab Hasyiah I‘anah ath-Thalibin mengenai memotong kuku, rambut dan bulu ketika masih berhadas besar: “Sayugia (orang yang berhadas besar itu) tidak menanggalkan bulu atau kuku dan demikian juga (mengeluarkan) darah sebelum melakukan mandi wajib, kerana semua bahagian-bahagian yang ditanggalkan itu akan dikembalikan di akhirat kelak dalam keadaan junub.”
Al-‘Allamah Ba‘asyin Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Busyra al-Karim juga menjelaskan hukum menanggalkan mana-mana bahagian badan ketika berhadas besar, katanya: “Disunatkan bagi orang berjunub umpamanya, untuk tidak menghilangkan sesuatu (bahagian atau anggota) daripada badannya, kecuali setelah dia melakukan mandi wajib, kerana bahagian-bahagian badan itu akan kembali kepada badan (tuan)nya di akhirat kelak, maka ia (anggota itu) akan kembali dalam keadaan junub serta mencela tuannya.
“Kemudian ia akan pergi daripadanya melainkan bahagian-bahagian (badannya) yang asal (bahagian yang kekal dari awal dia dilahirkan sehingga akhir hayatnya). Dan dikatakan bahawa tiap-tiap helai bulu itu menuntut tuannya dengan sebab ia masih dalam keadaan junub.”
Menurut pendapat al-Mudabaghi Rahimahullahu Ta‘ala bahawa bahagian yang dikembalikan itu ialah bahagian-bahagian (badannya) yang asal, misalnya tangan yang telah terpotong dan ini berbeza dengan hal kuku dan bulu, kerana ia akan dikembalikan tetapi dalam keadaannya yang terpisah daripada badan tuannya, dengan menangisi dan mencela tuannya kerana (tuannya) telah diperintahkan (semasa hidupnya) untuk tidak menanggalkannya ketika masih dalam keadaan junub.
Maka berdasarkan pendapat ulama di atas adalah sunat untuk tidak memotong kuku, rambut dan bulu ketika masih dalam keadaan junub, haid atau nifas, supaya di akhirat kelak bahagian-bahagian badannya itu akan kembali kepadanya dalam keadaan suci.
Walau bagaimanapun, jika kuku yang dibiarkan ketika masih dalam berhadas besar itu terlalu panjang sehingga menghalang sampainya air ke batin kuku, maka wajib dia memotong kukunya itu supaya sampai air ketika mandi wajib.
Memandikan kuku, rambut dan bulu yang dipotong ketika berhadas besar
Apabila dibawa mandi wajib bersama-sama kuku, rambut dan bulu yang telah dipotong ketika berhadas besar, namun tidak akan terangkat hadas kuku, rambut dan bulu yang dipotong itu sebagaimana pendapat asy-Syeikh Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi Rahimahullahu Ta‘ala katanya: “Bahawasanya bahagian-bahagian tubuh badan (orang yang berjunub) yang terpisah sebelum mandi wajib itu tidak terangkat janabahnya dengan memandikannya.”
Maka dari keterangan ini dapatlah difahami bahawa membawa mandi wajib bersama-sama kuku, rambut dan bulu yang telah dipotong ketika masih dalam keadaan hadas besar tidaklah memberi apa-apa kesan.
Ini kerana hadas yang ada pada kuku dan bulu-buluan tersebut tidak akan terangkat.
Oleh yang demikian, apabila seseorang itu dalam keadaan hadas besar, sayugialah jangan memotong kuku, rambut dan bulunya melainkan setelah melakukan mandi wajib.