BHUTAN – Petani yang berhasrat untuk melakukan aktiviti tanaman kiwi wajar mengambil peluang untuk mengunjungi Doonglagang di Tsirang yang cukup aktif dalam mengusahakan tanaman tersebut.
Salah seorang petani yang giat dalam melakukan pertanian tanaman tersebut dalam skala yang cukup luas dan berjaya mengeluarkan hasil yang menguntungkan adalah Kalyan Mahat.
Ladang pertanian itu kelihatan cukup hijau terutama dengan tanaman buah kiwi dan oren.
Pada tahun 2015, kira-kira 300 anak benih kiwi telah ditanam di kawasan tanah yang berkeluasan tiga hektar dan kini para petani juga telah berupaya untuk menuai hasilnya untuk dipasarkan.
Kalyan menjelaskan bahawa tempoh masa penuaian pada kebiasaannya berlaku dalam tempoh masa lima tahun dan pada tahun ini para petani di kawasan itu menjangkakan hasil tuaian buah kiwi mencecah hingga jumlah 10,000 biji.


Di pasaran antarabangsa, buah kiwi ini boleh mencecah pada harga AS$0.73 sebiji.
Lelaki berusia 44 tahun itu adalah bapa kepada dua orang anak dan nekad untuk menutup perniagaan runcit dan elektronik demi untuk memulakan projek pertanian hortikultur pada tahun 2015.
“Sejujurnya saya berasa lebih gembira untuk mengusahakan ladang pertanian dan terus bersemangat untuk melaksanakannya,” jelas Kalyan.
Kalyan mula membeli anak benih kiwi pertama dari Ilam di Nepal selepas mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Pertanian.
Dia menjelaskan bahawa sebelum ini banyak mempelajari mengenai teknik dan langkah pertanian dan pengurusan tanaman kiwi yang betul melalui laman sosial seperti menonton video yang dikongsikan melalui YouTube.
“Kejayaan pada tanaman kiwi ini adalah tergantung kepada cara pengurusannya. Dahan dan batang pokok kiwi itu sendiri tumbuh menjalar dan harus disokong dengan turus yang teguh,” jelas Kalyan.
Kalyan menjelaskan bahawa hasil tanaman sitrus yang dipasarkan merupakan sumber pendapatan utama untuk menyara kehidupannya sekeluarga namun mereka tetap berusaha untuk menguruskan ladang tanaman kiwi ini dengan baik.
Bapanya, Santa Bahadur Mahat menjelaskan kiwi merupakan sejenis buah yang dianggap cukup eksklusif namun tanamannya di Bhutan nyata belum dilaksanakan secara meluas.
Dia turut mengakui kurang memberi sokongan dengan tindakan yang dilakukan oleh anaknya kerana beranggapan bahawa melaburkan wang, tenaga dan masa untuk menguruskan aktiviti pertanian yang kurang diketahui ini adalah sesuatu yang sia-sia.

“Ternyata anggapan itu cukup meleset dan ia merupakan satu usaha yang bernas,” jelas Santa.
Keluarga Kalyan telah membeli tanah seluas tiga ekar di kawasan kejiranan itu bagi memberi ruang untuk melaksanakan aktiviti tanaman kiwi.
Selain kiwi, mereka juga turut giat mengusahakan tanaman lain seperti avokado, buah naga, epal, strawberi dan sitrus.
Kalyan menjelaskan bahawa seseorang petani itu harus mengusahakan sekurang-kurangnya 100 anak benih dan menguruskannya secara baik setentunya dapat memberikan keuntungan pendapatan yang mencecah sehingga AS$13, 235 setahun.
“Ia bermakna bahawa hasil tuaian itu harus mencecah sehingga 50kg pada tahun pertama dan boleh meningkat kepada 100kg dalam tempoh lima tahun sekiranya ia diuruskan dengan baik,” jelas Kalyan.
Dia juga sentiasa memberi sokongan kepada jiran-jirannya untuk terus berminat menceburi aktiviti pertanian kiwi ini.
Malah dia juga telah mengusahakan aktiviti pencambahan dengan harapan untuk menarik minat lebih ramai lagi penduduk di kampungnya itu menceburkan diri dalam mengusahakan aktiviti tanaman kiwi.
Walaupun Kalyan giat menyemai baka tanaman kiwi merah, namun dia belum mendapat kelulusan dari Kementerian Perindustrian untuk memasarkannya.
Perkara itu adalah mengambil kira akan usaha pihak kementerian untuk terus menjalankan kajian berhubung aktiviti tanaman kiwi di negara itu.
Bagaimanapun laporan susulan mengenai kajian itu dijangka bakal dikeluarkan tidak lama lagi. – Kuensel / ANN