Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mempelbagaikan ekonomi ke arah menjayakan wawasan 2035

    Oleh Sim Y.H

    Wawasan negara 2035 merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dimanifestasikan bagi memastikan supaya Negara Brunei Darussalam mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, mempunyai kehidupan yang berkualiti serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

    Brunei yang mencapai usia kemerdekaannya ke-39 tahun pada 2023 dan meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada tanggal 23 Februari, sekali lagi mengetengahkan tema, Menjayakan Wawasan Negara, di mana tema itu kekal relevan kepada usaha memacu pembangunan negara ke arah mencapai wawasan 2035.

    Dalam jangka masa lebih tiga dekad mencapai kemerdekaan, Brunei Darussalam bukan sahaja telah melalui perubahan landskap infrastruktur mengikut peredaran masa tetapi juga mencapai pembangunan fizikal, ekonomi dan teknologi yang selari dengan rakan-rakan serantau.

    Namun, Brunei terus mengekalkan keunikan budaya dan pendiriannya sendiri dalam mencapai hasrat sebuah negara maju yang terus relevan di persada serantau dan antarabangsa menerusi transformasi ekonomi yang menjurus kepada usaha mempelbagaikan ekonomi dari cuma bergantung kepada industri minyak dan gas.

    Sasaran menuju wawasan hanya berbaki 12 tahun

    Ke arah mencapai wawasan yang hanya berbaki 12 tahun lagi, segenap lapisan rakyat dan penduduk negara terus bersatu dengan setia kepada raja dan negara, percaya kepada nilai-nilai murni yang diterapkan menerusi falsafah negara, Melayu Islam Beraja serta terus mengamalkan nilai-nilai mulia, tolong-menolong, prihatin dan berbaik-baik.

    Pembangunan sektor hiliran minyak dan gas di Pulau Muara Besar telah memainkan peranan menerajui pertumbuhan ekonomi Brunei di mana ia menunjukkan usaha mempelbagaikan ekonomi negara sudah membuahkan hasil dengan langkah positif dicapai dalam sektor perkhidmatan terutamanya sektor kewangan serta sektor pengangkutan dan logistik.
    Generasi muda memainkan peranan dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negara pada masa akan datang.

    Wawasan Brunei 2035 memberikan penekanan yang tinggi terhadap transformasi negara agar mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

    Dalam hubungan itu, adalah amat penting bagi sistem pendidikan negara memberikan penekanan terhadap membangunkan serta membentuk sumber tenaga manusia supaya mampu bersaing dan berdaya tahan dengan perubahan kehidupan abad ke-21.

    Dengan memberikan penekanan kepada pembangunan sumber manusia yang berdaya tahan itu, ia mampu untuk menyokong transformasi negara untuk bukan sahaja mempunyai ekonomi yang berdaya saing, dinamik, kompetitif dan mapan tetapi mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    Pada masa yang sama, perkembangan ekonomi negara turut memerlukan usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara secara menyeluruh di mana pembangunan sektor bukan minyak dan gas serta sektor minyak dan gas terus maju ke hadapan demi pembangunan negara yang mampan menerajui arus perubahan serantau dan global.

    Teruskan usaha pelbagaikan ekonomi

    Usaha mempelbagaikan ekonomi berkenaan telah membuahkan hasil yang positif di mana pada 2021, sumbangan pertumbuhan ekonomi sektor bukan minyak dan gas telah mencapai jumlah $9.8 bilion serta diunjurkan untuk terus berkembang secara berterusan pada masa hadapan.

    Pembangunan sektor hiliran minyak dan gas telah memainkan peranan menerajui pertumbuhan berkenaan di mana ia menunjukkan usaha mempelbagaikan ekonomi negara sudah membuahkan hasil dengan langkah positif dicapai dalam sektor perkhidmatan terutamanya sektor kewangan serta sektor pengangkutan dan logistik.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucaptama semasa Persidangan Perniagaan Kebangsaan 2023, baru-baru ini, berkata bagi mengekalkan pertumbuhan menggalakkan itu, Negara Brunei Darussalam akan meneruskan agenda mempelbagaikan ekonominya khususnya dalam pelbagai sektor yang dikenal pasti dalam Pelan Induk Ekonomi Brunei Darussalam.

    Dalam memacu ke arah mencapai matlamat untuk mempelbagaikan ekonomi serta pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, ia memerlukan kerjasama padu dan erat antara sektor awam dengan sektor swasta melalui pendekatan seluruh negara, jelas Yang Berhormat Dato dalam temu bual ringkas semasa persidangan itu.

    Galak sektor swasta tingkat kecekapan, produktiviti

    Beliau menerangkan pihaknya terus menggalakkan sektor swasta untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti mereka dalam bidang masing-masing supaya dapat meningkatkan ekonomi negara untuk menjadi lebih kompetitif dengan tumpuan bukan sahaja kepada pasaran domestik tetapi juga pasaran serantau dan global.

    “Kita harus terus berusaha untuk menggalakkan syarikat-syarikat perniagaan kita bagi melihat bagaimana mereka boleh mengguna pakai atau memanfaatkan teknologi baharu dan amalan perniagaan terbaik supaya mereka dapat menjadi lebih kompetitif dan memperkenalkan idea-idea atau produk-produk baharu kepada pasaran tempatan.”
    Pada masa yang sama, syarikat-syarikat perniagaan dan perusahaan tempatan harus melihat kepada pasaran eksport di mana mereka mempunyai pelbagai peluang di luar negara.

    Menerusi penerokaan pasaran luar, bukan sahaja syarikat dan perusahaan Brunei dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka tetapi ia memberikan rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi kesan limpahan dan peningkatan aktiviti-aktiviti perekonomian tempatan.

    Dalam usaha menjayakan wawasan negara khususnya membangunkan ekonomi negara berdaya tahan dan mampan, ia memerlukan segenap lapisan rakyat dan penduduk Brunei untuk sama-sama mendukung, menyokong dan memanfaatkan usaha membangunkan ekonomi dalam memastikan ia membawa kepada kemakmuran, keamanan dan pembangunan negara yang mapan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda