Sambungan minggu lepas
MEMANJANGKAN TEMPOH SUJUD KERANA MENAMBAH BACAAN TERTENTU
Mereka yang sembahyang secara bersendirian (munfarid), disunatkan untuk menambah bacaan ketika sujud, iaitu selepas membaca tasbih ketika sujud, kerana ittiba‘.
Maksud daripada bacaan-bacaan tersebut antaranya adalah sebagai puji-pujian kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Antara lafaznya ialah sepertimana berikut yang bermaksud:
Ya Allah Ya Tuhanku! Hanya kepadaMu aku sujud dan hanya kepadaMu aku beriman dan hanya kepadaMu aku menyerahkan (urusan) diriku. Seluruh tubuhku (diriku) sujud kepada Dzat Yang telah Menciptakannya (daripada asalnya tiada), Yang Membentukkannya (dalam bentuk yang indah dan sebaik-baik kejadian), Yang Membukakan (sebaik-baik) pendengarannya dan (Membukakan sebaik-baik) penglihatannya, dengan kuasaNya dan kekuatanNya Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta (Khaliq) sekalian makhluk. (Hadits riwayat Muslim)
Setelah itu sunat disambung atau ditambah lagi dengan bacaan berikut:
Ertinya: Tuhan Yang Maha Suci dari segala cacat dan kekurangan, Tuhan Yang Maha Suci daripada segala kekurangan yang tiada layak bagi Tuhan, Tuhan bagi malaikat-malaikat dan (Tuhan) bagi ar-Ruh (Malaikat Jibril ‘Alaihissalam).
Berbeza hukumnya bagi imam. Imam tidak dianjurkan untuk menambah bacaan selesai membaca tasbih ketika sujud, sepertimana juga imam tidak dianjurkan untuk menambah bacaan tasbih ketika sujud lebih daripada tiga kali, melainkan imam yang telah mendapatkan keredhaan makmumnya.
MEMPERBANYAKKAN DO’A KETIKA SUJUD SETELAH SELESAI MEMBACA TASBIH
Hukum membaca do‘a ketika sujud dalam sembahyang adalah sunat bagi orang yang sembahyang secara sendirian (munfarid) dan imam yang telah mendapat keredhaan makmumnya untuk memanjangkan bacaan ketika sujud dalam sembahyang.
Bahkan memperbanyakkan berdo‘a ketika sujud adalah sangat dianjurkan (disunatkan).
Ini berdasarkan hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Saat (ketika) yang paling dekat seorang hamba kepada Tuhannya adalah ketika dia dalam keadaan sujud. Maka kamu perbanyakkanlah berdo‘a (pada ketika itu). Menurut lafaz lain: Maka bersungguh-sungguhlah kamu pada (membaca) do‘a. (Hadits riwayat Muslim)
Yang dimaksudkan dengan ‘dekat seorang hamba kepada Tuhannya’ ialah dekat pada rahmat Allah Ta‘ala dan keutamaanNya atau kelebihanNya.
Hadits di atas merupakan dalil adanya dorongan serta galakan untuk seseorang berdo‘a ketika sujud. Selain itu, berdo‘a ketika sujud juga merupakan antara saat berdo‘a yang makbul atau diterima Allah Ta‘ala.
Oleh yang demikian, orang yang sembahyang secara bersendirian dianjurkan supaya bersungguh-sungguh dan memperbanyakkan do‘a ketika sujud, dengan harapan agar do‘anya itu dimakbulkan. Di samping itu, berdo‘a dalam sujud adalah sunat pada segala sujud, sama ada pada rakaat pertama atau kedua atau ketiga atau rakaat keempat.
Berdo‘a ketika sujud tidak dikhususkan hanya dilakukan pada sujud yang terakhir.
Manakala do‘a yang afdhal untuk dibaca ketika sujud adalah do‘a yang ma’tsur, yakni do‘a yang pernah dibaca oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri ketika sujud. Antara lafaz do‘a yang ma’tsur adalah seperti berikut:
Maksudnya: Ya Allah, ampunilah seluruh dosaku, yang sekecil-kecilnya dan yang sebesar-besarnya, yang terawal dan yang terakhir, yang terang-terangan dan yang tersembunyi. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan redhaMu daripada kemurkaanMu, dan aku berlindung dengan kemaafanMu daripada (mendapat) hukumanMu (seksaMu), dan aku berlindung denganMu dariMu (aku memohon pertolonganMu untuk menolak kemurkaanMu). Tidaklah aku mampu menghitung pujian ke atasMu sebagaimana Engkau (sendiri) memuji ke atas DiriMu.
Apabila imam memanjangkan bacaan tasbih dan do‘a yang warid ketika sujud dengan keredhaan makmumnya, makmum juga dianjurkan membaca tasbih serta do‘a tersebut semampunya atau yang terdaya olehnya, dengan syarat tidak menyebabkan dia ketinggalan daripada imamnya.
Ini kerana salah satu syarat mengerjakan sembahyang jemaah ialah makmum wajib mengikut imam dalam perbuatan sembahyang. Cara yang lebih sempurna dalam perkara mengikut perbuatan imam dalam sembahyang ialah makmum mula melakukan perbuatan sembahyang setelah imam sampai melakukan perbuatan sembahyang tersebut.
BERDO’A DENGAN BAHASA SELAIN BAHASA ARAB
Selain daripada do‘a-do‘a yang ma’tsur yang telah disebutkan tadi, dibolehkan juga membaca do‘a sujud yang lain yang bukan ma’tsur, iaitu bukan dinukilkan atau bukan diambil daripada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, umpamanya do‘a di dalam bahasa Arab karangan kita sendiri, asalkan do‘a-do‘a tersebut adalah di dalam bahasa Arab.
Perkara ini tidak ada perselisihan pendapat di kalangan ulama mazhab Syafi‘i.
Bagaimanapun, do‘a di dalam bahasa Arab yang ma’tsur tetap afdhal untuk dibaca.
Perkara ini penting kerana hukum berdo‘a di dalam sembahyang mempunyai sedikit perbezaan dengan hukum berdo‘a di luar sembahyang. Ini kerana berdo‘a di luar sembahyang dibolehkan dengan apa jua bahasa sama ada menggunakan bahasa Arab atau selain daripada bahasa Arab, umpamanya berdo‘a dalam bahasa Melayu atau bahasa lain.
Akan tetapi membaca do‘a di dalam sembahyang dalam bahasa Melayu umpamanya tidak dibolehkan.
Oleh yang demikian, persoalan mengenai do‘a di dalam sembahyang itu ada dua jenis; do‘a dalam bahasa Arab dan do‘a selain daripada bahasa Arab.
Membaca do‘a dalam bahasa Arab ketika sembahyang tidak membatalkan sembahyang, sama ada do‘a tersebut ma’tsur atau bukan.
Akan tetapi do‘a atau dzikir (bacaan-bacaan) yang tidak ma’tsur seperti do‘a yang dikarang atau dicipta sendiri yang dibaca di dalam sembahyang di dalam bahasa selain bahasa Arab (‘Ajamiy), hukumnya adalah haram dan membatalkan sembahyangnya tanpa ada perselisihan pendapat di kalangan ulama. Perkara ini telah disebutkan di dalam kitab Nihayah al-Muhtaj seperti berikut:
Adapun yang tidak ma’tsur, iaitu jika seseorang mengarang suatu do‘a atau dzikir kemudian diterjemah keduanya itu dengan bahasa ‘Ajamiyyah (selain bahasa Arab) di dalam sembahyang, maka sesungguhnya (perkara tersebut) adalah haram dan batal dengannya sembahyangnya.
Selain itu, di dalam kitab Asna al-Mathalib Syarah Raudh ath-Thalib pula disebutkan:
(Dan batallah sembahyang dengan do‘a yang dikarang dengan bahasa ‘Ajamiyyah (selain bahasa Arab).) Dan hukum seperti do‘a itu juga ialah (hukum bagi) dzikir, sepertimana yang disebutkan oleh Imam ar-Rafi‘i.
Sebagai kesimpulan, membaca tasbih ketika sujud merupakan sunat hai’at dalam sembahyang.
Memperbanyakkan tasbih ketika sujud kemudian menambah bacaan dan do‘a tertentu yang warid daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan antara perkara sunat dalam sembahyang dan juga merupakan ittiba‘.
Orang yang sembahyang secara bersendirian serta imam yang mendapat keredhaan makmumnya adalah dianjurkan untuk memperbanyakkan tasbih dan do‘a ketika sujud sepertimana yang telah disebutkan dalam hadits shahih mengenainya.
Bagaimanapun, makmum yang dianjurkan untuk membaca bacaan tambahan seperti yang dibaca oleh imamnya selepas tasbih sujud hendaklah berhati-hati ketika memanjangkan tempoh sujudnya (makmum) jangan sampai dia ketinggalan daripada mengikut imamnya.