Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memperdalamkan kerjasama perdagangan Brunei-Thailand

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANGKOK, THAILAND, 29 APRIL – Penekanan terhadap keselamatan makanan dan rangkaian bekalan yang tidak terganggu adalah semakin penting daripada sebelumnya di tengah-tengah pergolakan geopolitik pada masa kini, di mana ia boleh memberi manfaat bersama kepada negara dan rakyat Brunei Darussalam dan Thailand dalam kemajuan ke arah masa hadapan. 
     
    Justeru itu, Brunei berharap untuk bekerjasama lebih rapat lagi dengan Thailand untuk memperdalam hubungan perdagangan dalam pertanian, tenaga serta makanan halal dan seterusnya menyambut baik hasrat Thailand untuk mengembangkan lagi hubungan pelaburan. 
     
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sedemikian ketika berkenan menghadiri mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Srettha Thavisin semasa keberangkatan rasmi Baginda ke Thailand, hari ini.
     
    Pada mesyuarat yang diadakan di Pakdi Bokdi Building, Government House, Bangkok itu, Baginda bertitah merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada ahli-ahli keluarga Thailand yang kehilangan orang tersayang dalam konflik yang berterusan di Gaza. 
     
    Dalam hal ini, Brunei kekal prihatin terhadap peningkatan keganasan dan mengulangi komitmen negara kepada rancangan damai dalam jangka masa panjang melalui penyelesaian dua negara dan mencapai sebuah negara merdeka bagi rakyat Palestin. Baginda seterusnya berharap masyarakat antarabangsa boleh bersatu dan menamatkan konflik ini untuk kemasukan bantuan kemanusiaan ke Palestin. 
     
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada pagi kelmarin berangkat ke Government House di Bangkok bagi menghadiri Majlis Sambutan Rasmi; Majlis Mesyuarat Dua Hala; Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman; dan Majlis Santap Rasmi Tengah Hari sempena Keberangkatan Rasmi Baginda ke Thailand. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah pada Majlis Santap Rasmi Tengah Hari yang dihoskan oleh TYT Srettha Thavisin. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan menghadiri mesyuarat dua hala bersama TYT Srettha Thavisin. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan dijunjung berangkat bersama TYT Srettha Thavisin bagi menyaksikan majlis penandatanganan MoU mengenai Kerjasama Pelancongan antara KSSUP dan Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan menghadiri mesyuarat dua hala bersama TYT Srettha Thavisin. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mengimbas kembali perbincangan bermanfaat semasa lawatan rasmi Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam pada tahun lepas ke arah mengeratkan hubungan yang saling menguntungkan dalam pelbagai bidang. 
     
    Ketika Brunei dan Thailand menandakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik melalui pertukaran-pertukaran lawatan dan aktiviti bersama, Baginda menekankan kedua-dua buah negara terus mengembangkan kerjasama dalam banyak bidang termasuk perdagangan, pendidikan, pertahanan dan pertukaran antara rakyat sepanjang empat dekad lalu. 
     
    Dalam hal ini, Brunei menyatakan tanda terima kasih atas sokongan berterusan Thailand dalam membekalkan beras sejak 1971, menjadikan negara itu sebagai rakan perdagangan terpenting. 
     
    Baginda turut menekankan bahawa pertukaran antara rakyat semakin berkembang dengan baik termasuk melalui pertukaran pendidikan yang berterusan dan pelabuhan tiga kapal tentera laut His Thai Majesty’s Ships (Bhumipol Adulyadej, Taksin dan Kraburi) baru-baru ini dan juga dengan penyambungan semula penerbangan terus antara kedua-dua ibu negara yang memudahkan rakyat kedua-dua buah negara untuk membuat perjalanan ke negara masing-masing.  
     
    Pada majlis mesyuarat dua hala itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertukar-tukar pandangan bersama Perdana Menteri Thailand mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa termasuk kerjasama dalam ASEAN serta situasi di Myanmar dan perkembangan di Timur Tengah. 
     
    Pada penghujung majlis mesyuarat itu, satu kenyataan bersama telah dikeluarkan. 
     
    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
     
    MAJLIS SAMBUTAN RASMI 
     
    Terdahulu sebelum mesyuarat dua hala berkenaan, Majlis Sambutan Rasmi telah berlangsung di Thai Koo Fah Building, Government House di mana keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh TYT Srettha Thavisin. 
     
    Majlis dimulakan dengan kedua-dua pemimpin menaiki pentas khas untuk menerima tabik hormat diiringi dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan diikuti dengan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Thailand. 
     
    Baginda kemudiannya disembahkenalkan kepada pembesar-pembesar Thailand, diikuti dengan pengenalan ahli-ahli rombongan Negara Brunei Darussalam kepada TYT Srettha Thavisin. Para menteri kabinet kerajaan Thailand seterusnya menyembah kenalkan diri masing-masing kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia. 
     
    MAJLIS PENANDATANGANAN MOU 
     
    Selepas mesyuarat dua hala, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama seterusnya menyaksikan majlis penandatanganan bagi dua memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Baginda dengan kerajaan Thailand iaitu MoU mengenai Kerjasama Pelancongan antara Kementerian Sumber-sumber Utama dan pelancongan (KSSUP) dan Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand dan MoU antara Agensi Pelaburan Brunei (BIA) dan Dana Pencen Kerajaan (GPF) Thailand.
     
    Bagi MoU kerjasama pelancongan, menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Awang Abdul Manaf bin Haji Metussin manakala Thailand diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Tuan Yang Terutama Anutin Charnvirakul.
     
    Manakala itu, menandatangani MoU antara BIA dan GPF bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Pengarah Urusan BIA, Haji Sofian bin Mohammad Jani dan kerajaan Thailand diwakili oleh Setiausaha Agung GPF, Songpol Chevapanyaroj.  
     
    Selesai majlis penandatanganan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung menyaksikan Pameran Kraftangan Thai yang menampilkan hasil produk kraf tangan tempatan. 
     
    MAJLIS SANTAP RASMI TENGAH HARI 
     
    Pada sebelah tengah hari, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menghadiri Majlis Santap Rasmi Tengah Hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri Thailand, di mana Baginda bertitah menzahirkan kegembiraan kerana dapat melawat Thailand sekali lagi khususnya dalam menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara. 
     
    Sambil mengimbas kembali perkembangan pesat yang telah berlaku di Thailand semasa lawatan-lawatan Baginda ke negara itu, Baginda menambah bahawa Amazing Thailand telah berubah menjadi sebuah ekonomi bandar dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan sehingga membawa kemakmuran ekonomi dan pembangunan kepada  rakyatnya. 
     
    Oleh itu, Baginda percaya Thailand akan terus mencapai kemajuan yang lebih besar ke arah wawasan 2030 dalam menjadi hab perindustrian global. 
     
    Memandangkan tahun ini menandakan empat dekad persahabatan antara kedua-dua buah negara, Baginda menekankan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk mencerminkan pencapaian bersama dan merancang hala tuju ke arah masa hadapan yang lebih baik. 
     
    Dalam hal itu, Brunei berharap untuk meneruskan hubungan yang erat dan cemerlang berkenaan, ditandai dengan sikap saling hormat-menghormati dan mempunyai persefahaman bersama, serta untuk bekerjasama dalam melindungi dan menjaga aspirasi yang sama bagi kedua-dua buah negara. 
     
    Ke arah itu, Baginda berbesar hati dengan hubungan Brunei-Thailand yang telah diperkukuhkan lagi melalui pemeteraian dokumen-dokumen pada keberangkatan Baginda kali ini yang akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan berterusan kedua-dua buah negara. 
     
    Di samping itu, Brunei juga mengalu-alukan untuk bekerjasama rapat di bawah inisiatif Enam Negara, Satu Destinasi yang dicadangkan oleh TYT Srettha Thavisin yang akan mengukuhkan industri pelancongan. 
     
    Sementara itu, Tuan Yang Terutama semasa menyampaikan ucapan, antaranya menyatakan bahawa kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia amat dihormati di seluruh dunia sebagai monarki yang paling lama memerintah di dunia. 
     
    Oleh itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah menjadi inspirasi kepada para pemimpin dunia, hasil iltizam Baginda yang tidak mengenal erti penat lelah terhadap pembangunan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk Brunei sepanjang pemerintahan Baginda selama 57 tahun. 
     
    Sebelum berangkat balik dari Government House, Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkan dengan ucapan selamat berangkat daripada Tuan Yang Terutama.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda