Oleh Mohd Nasir Yusoff
SEOUL – Khairul dan Ain, dua penuntut Malaysia dalam lingkungan usia 20-an yang sedang menuntut di Seoul mungkin tidak menyedari Dasar Selatan Baru yang diumumkan baru-baru ini oleh Presiden Korea Selatan Moon Jae-in.
Kedua-dua penuntut Universiti Malaya itu menyertai program pertukaran antarabangsa dan pemindahan kredit di University of Seoul di Dongdaemun-gu di sini mungkin terlalu sibuk bersiap menghadapi ujian semester mereka.
Khairul dan Ain, bersama 1,177 pelajar Malaysia yang belajar sepenuh masa di beberapa universiti Korea Selatan serta 2,000 penuntut Korea Selatan di Malaysia, akan menyumbangkan kepada kejayaan dasar itu yang berteraskan People, Prosperity and Peace (3P – Penduduk, Kemakmuran dan Keamanan). Speaker Dewan Perundangan Korea Selatan Chung Sye-kyun memberitahu Bernama di pejabatnya, baru-baru ini bahawa kerajaan Korea serius dalam memperkenalkan Dasar Selatan Baru untuk mempertingkat hubungan Korea Selatan dengan ASEAN setaraf dengan hubungannya bersama empat kuasa utama di sekeliling Semenanjung Korea.
“Dan, Malaysia sebagai antara pengasas ASEAN merupakan satu komponen penting dalam hal ini,” katanya.
Presiden Moon dalam memperkenalkan Dasar Selatan semasa lawatannya ke Indonesia baru-baru ini dilaporkan berkata hubungan peribadi rakyat di kedua-dua belah akan menjadi asas yang utuh dalam menyokong segala bentuk kerjasama.

Menjelaskan lanjut akan dasar itu, Chung berkata Korea Selatan dan Malaysia telah mengekalkan hubungan baik dalam pelbagai bidang selama ini termasuk dalam perdagangan dan pendidikan, selain berkongsi pendirian sama dalam pelbagai isu antarabangsa.
Meningkatkan hubungan
Apa yang perlu untuk mempertingkatkan hubungan diplomatik yang menjangkau enam dekad kini, katanya, adalah meningkatkan lagi kerjasama lebih erat dalam bidang-bidang yang diperlukan Malaysia serta kesemua negara anggota ASEAN.
“Presiden kami telah mengisytiharkan satu dasar baru yang dikenali sebagai Dasar Selatan Baru,” katanya, dan menambahkata, “Kerajaan kami mahukan lebih banyak syarikat Korea melabur di ASEAN dalam bidang yang diperlukan negara-negara anggota perkumpulan itu.”
“Lebih banyak pertukaran lawatan di peringkat pucuk pimpinan dan anggota dewan perundangan juga akan membantu. Kami mahu terus maju dan membangun bersama,” kata Chung sambil menambahkata beliau melawat Kuala Lumpur pada Mac 2017 yang lalu.
Dalam mempertingkatkan hubungan antara penduduk kedua-dua negara, pelancongan memainkan peranan penting dengan lebih ramai rakyat Malaysia melawat Korea Selatan setiap tahun, angka yang terus meningkat dengan lebih 220,000 warga Malaysia melawat negara itu pada 2016. Sementara itu, hampir separuh juta rakyat Korea Selatan bercuti di Malaysia pada tahun yang sama.
Pelancong akan datang dan pergi tanpa mengenali dari dekat penduduk negara tuan rumah. Bukan seperti penuntut yang menghabiskan beberapa tahun belajar di negara asing, yang mempunyai rakan-rakan tempatan.
Mereka saling memahami budaya masing-masing dengan mereka menari mengikut rentak muzik K-Pop music dan berlenggang lenggok mengikut gerak tari Zapin dan Inang dari Malaysia. Mereka lebih menghargai aspek-aspek penting kehidupan masing-masing sehinggakan sedia belajar perkara-perkara seperti halal.
Belajar daripada Korea
Kini terdapat 1,177 penuntut Malaysia di sini, dengan 22 daripada mereka belajar di peringkat PhD, 70 sarjana, 640 sarjana muda, 216 pelajar bahasa, dan 219 mengikuti kursus-kursus singkat. Daripada angka-angka yang diperoleh bagi penuntut ASEAN, 495 adalah dari Myanmar, Vietnam (14,614), Indonesia (1,334) dan Thailand (635), (angka-angka bagi negara-negara ASEAN lain tidak dapat diperoleh).
Khairul, yang nama penuhnya Muhammad Khairul Zulkifli Ng, 20, berkata beliau banyak belajar akan budaya Korea dan Hangeul (Bahasa Korea) daripada rakan beliau Lee Jae-yun, 19 tahun. “Di sebaliknya Jae-yun pula belajar Bahasa Melayu dan Inggeris dengan saya,” kata penuntut Kesusasteraan Inggeris itu.
Ain ataupun nama sebenarnya Nur Ain Rashid, 22, yang juga penuntut Kesusasteraan Inggeris, menganggap diri mereka bernasib baik kerana mempunyai Park Ji-young, 23, sebagai rakan. Khairul dan Ain berkata mereka akan berkongsi apa yang mereka telah belajar, pengetahuan serta pengalaman mereka akan orang Korea dan negara mereka apabila mereka pulang ke UM.
Kini rakan-rakan mereka merancang untuk melawat Kuala Lumpur semasa cuti musim panas. Mereka begitu kagum dengan apa yang mereka dengar akan Malaysia. Mungkin inilah bentuk hubungan antara rakyat kedua-dua negara yang diharapkan oleh Presiden Moon dan Speaker Chung yang akan mempertingkatkan lagi hubungan Korea-Malaysia seiring dengan Dasar Selatan Baru republik itu. – Bernama