Wednesday, July 23, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memperingati jasa merpati utusan tentera Perancis

    MONT VALERIEN – Pada masa kini, burung merpati tentera Perancis bernombor 193-529 tidak lagi diperlukan untuk membawa mesej kecil ketika komunikasi terputus semasa peperangan.

    Namun, burung lumba itu berfungsi sebagai peringatan terhadap jasa berani burung tersebut semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua serta semasa pengepungan Paris pada tahun 1870.

    Di dalam satu-satunya lot merpati tentera yang masih wujud di Eropah, Sarjan Sylvain memegang 193-529, iaitu seekor burung berleher hijau berkilau yang tangkas dan pintar.

    “Ia ialah burung merpati pembawa mesej, seperti yang berkhidmat dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua,” ujar Sylvain, yang tidak mendedahkan nama penuhnya atas faktor keselamatan.

    “Tetapi kini ia berlumba,” tambah anggota tentera itu di mana datuk beliau juga merupakan peminat burung merpati.

    Seekor burung merpati berehat di atas bumbung rumah merpati tentera Perancis, yang juga merupakan rumah merpati tentera terakhir dan masih aktif di Eropah. – AFP
    ‘Marechal des logis’ Sylvain dari Rejimen ke-8 Tentera Perancis memegang seekor burung merpati di Mont-Valerien di Suresnes. – AFP
    Burung merpati tentera yang telah diawet dipamerkan di muzium pemeliharaan burung merpati tentera di Mont-Valerien, Suresnes, berhampiran Paris. – AFP
    Gambar menunjukkan muzium pemeliharaan burung merpati tentera Perancis. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Di Mont Valerien, di pinggir Paris, Sylvain berulang-alik ke sebuah rumah merpati untuk menjaga kira-kira 200 ekor burung membersihkan sangkar dan memastikan makanan burung-burung tersebut mencukupi.

    Kini, kemahiran navigasi burung-burung itu hanya digunakan ketika pertandingan, upacara ketenteraan atau demonstrasi kepada pelawat, jelasnya.

    Manusia telah menggunakan burung merpati utusan sejak zaman purba, namun tentera Perancis mula menggunakannya sebagai alat komunikasi semasa Perang Franco-Prusia pada tahun 1870, selepas tentera Prusia mengepung Paris.

    Pada Oktober tahun tersebut, Menteri Dalam Negeri Perancis menaiki belon udara panas untuk melarikan diri dari bandar negeri berkenaan.

    Kira-kira sebulan kemudian, tentera Perancis membangunkan rancangan penghantaran mesej menggunakan burung merpati untuk berhubung dengan mereka yang masih berada di dalam kota, menurut rekod kerajaan Perancis.

    Penduduk Paris yang patriotik mendermakan lebih 300 ekor burung merpati kepada usaha perang, yang ditempatkan dalam bakul rotan belon udara panas dan dibawa ke selatan menuju ke bandar Tours.

    Setibanya di sana, burung-burung itu dipasang dengan tiub kecil yang mengandungi mikrofilem sepanjang tiga hingga empat sentimeter yang mengandungi mesej yang ditulis kecil, dikenali sebagai ‘pigeongram’.

    Burung-burung tersebut kemudian dilepaskan berhampiran bandar agar ia dapat membawa mesej kembali masuk ke dalam kota tetapi hanya sekitar 50 ekor yang berjaya pulang.

    Penduduk Paris yang menemui burung-burung itu akan meletakkan mikrofilem di antara kepingan kaca dan menggunakan ‘magic lantern’ iaitu sejenis projektor gambar awal untuk memaparkan mesej ke skrin besar untuk membacanya.

    Mereka kemudian menyalin kandungan mesej dan menyampaikannya kepada penerima.
    Semasa kedua-dua Perang Dunia, burung merpati sekali lagi digunakan apabila ‘kaedah komunikasi moden gagal berfungsi kerana talian telefon telah musnah akibat pengeboman,’ kata Sylvain.

    Semasa Perang Dunia Kedua, seekor merpati Perancis membantu memaklumkan pihak bersekutu bahawa enam kapal selam Jerman sedang diselenggara di pelabuhan Bordeaux, Perancis yang membawa kepada serangan udara yang memusnahkan empat daripadanya, ujar Sylvain.

    Merpati yang digelar ‘Maquisard’, seperti ahli gerakan penentang Perancis menerima anugerah atas jasanya.

    Selain itu, burung merpati British juga menjadi tajuk berita utama. Gustav, seekor merpati utusan dalam Tentera Udara Diraja British (RAF), terbang sejauh 240 kilometer merentasi Selat Inggeris membawa berita pertama mengenai pendaratan D-Day pada Jun 1944, menurut Muzium Perang Imperial.

    Burung tersebut telah membawa mesej daripada wartawan perang dan turut me-nerima pingat.

    Tentera Perancis kali terakhir menggunakan burung merpati semasa perang di Algeria antara 1954 hingga 1962, yang menyaksikan negara Afrika Utara itu mencapai kemerdekaan daripada Perancis.

    Pada tahun 1961, tentera Perancis menamatkan program penghantaran mesej menggunakan burung merpati.

    Sylvain berkata tentera masih melatih burung-burung itu buat seketika kerana bimbang serangan elektromagnetik boleh melumpuhkan komunikasi.

    Namun kini, katanya, risiko tersebut tidak lagi wujud kerana sistem perlindungan khas telah disediakan untuk mengelakkan gangguan terhadap komunikasi ketenteraan.

    Bagaimanapun, jika keperluan terhadap burung merpati timbul semula, Sylvain yakin dia bersedia.

    “Saya masih simpan semua manual latihan sejak Perang Dunia Pertama hingga tahun 1961,” katanya.

    “Jika ia berkesan seabad lalu, saya tak nampak sebab ia tidak akan berkesan semula hari ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda