Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memperingati keindahan akhlak mulia Rasulullah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Kementerian Pertahanan, hari ini, mengadakan majlis ceramah khas sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW 1447 Hijrah/2025 Masihi, yang berlangsung di dua lokasi berasingan iaitu di Dewan Pahlawan, Berakas Garison bagi perhimpunan lelaki dan di Auditorium, Akademi Pertahanan (AP) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Perkhemahan Tanah Jambu bagi perhimpunan wanita.
     
    Hadir di Dewan Pahlawan ialah Timbalan Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif Bin Dato Paduka Haji Ibrahim, pemerintah angkatan bersama, timbalan-timbalan pemerintah angkatan tentera, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta warga Kementerian Pertahanan. 
     
    Turut diundang ialah Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Lambak Kiri.
     
    Sementara itu, majlis yang berlangsung di Auditorium AP ABDB turut diserikan dengan kehadiran Ketua Perundangan Tentera ABDB, Kolonel Norsuriati binti Haji Sharbini, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta warga wanita Kementerian Pertahanan. 
     
    Turut diundang ialah Muslimah Masjid Az-Zakireen, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Meragang.
     
    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Ahzab ayat 45 hingga 48, penyampaian tadabbur Al-Quran serta alunan Selawat Nuril Anwar.
     
    Majlis diteruskan dengan penyampaian ceramah khas maulud bertajuk Membentuk Keluarga Bahagia Bermodalkan Sunnah Rasulullah SAW, sebelum disusuli dengan persembahan qasidah dan bacaan doa penutup. Majlis kemudiannya diakhiri dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah.
     
    Penganjuran majlis tersebut bertujuan untuk menyemarakkan bulan penuh keberkatan, Rabiulawal dengan memperingati keindahan akhlak mulia Rasulullah SAW, mengukuhkan penghayatan agama di kalangan warga Kementerian Pertahanan, serta mengeratkan hubungan silaturahim melalui perhimpunan keagamaan.
     
    Sambutan Maulidur Rasul bagi perhimpunan wanita diadakan di Auditorium, AP ABDB, Perkhemahan Tanah Jambu. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    Sambutan Maulidur Rasul bagi perhimpunan lelaki diadakan di Dewan Pahlawan, Berakas Garison. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda