Oleh Syahmi Hassan & Hakim Hayat
Gambar oleh Hakim Hayat
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Sempena memperingati ulang tahun ke-75 pendaratan tentera Australia di Brunei pada peringkat akhir Perang Dunia Kedua, Menteri Pertahanan Kedua, Yang berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof bersama Menteri Pertahanan Australia, Puan Yang Terutama Senator Linda Reynolds CSC telah meletakkan kalungan bunga di Memorial Brunei-Australia, Pantai Muara bagi memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban.
Memorial itu menandakan lokasi tentera Australia tiba sebagai sebahagian daripada pendaratan OBOE VI pada 10 Jun 1945.
Turut hadir pada acara itu dan meletakkan kalungan bunga ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat bersama Penolong Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam, Leftenan Kolonel Daniel Hauser.
Menurut Suruhanjaya Tinggi Australia, Memorial itu sebagai tanda ingatan hubungan rapat yang berterusan antara Australia dan Brunei.
Pada acara yang berasingan, Menteri Pertahanan Australia itu turut menyampaikan anugerah OBOE Endeavour Academic Excellence kepada enam orang pegawai yang terdiri daripada lima pegawai ABDB dan seorang pegawai awam Kementerian Pertahanan pada majlis yang berlangsung di Auditorium, Akademi Pertahanan ABDB, Tanah Jambu, hari ini.
Penerima-penerima anugerah tersebut ialah 722 Mejar (U) Pengiran Mohammad Ezul Hazrin bin Pengiran Haji Zohaini, 726 Mejar Shahrul Amirul Iqbal bin Haji Sharbini @ Haji Sarbini, 748 Mejar (U) Mohamad Fazley bin Hasabullah, 763 Mejar (U) Muhd Zabri bin Abdul Rahman, 771 Mejar Dayangku Nur Izzah Nazurah binti Pengiran Haji Mohammad dan Dayang Noorhazwani binti Ariffin.
Puan Yang Terutama Senator Linda Reynolds CSC dalam ucapannya antara lain menekankan pentingnya acara tersebut diadakan tahun ini, bagi memperingati ulang tahun ke-75 OBOE dan tamatnya Perang Dunia Kedua.
“Program Endevour OBOE dibuat untuk mengiktiraf kecemerlangan akademik. Sejak 2018, kami telah menjadi tuan rumah kepada 11 graduan yang berprestasi tinggi dalam Kursus Komando dan Kakitangan ABDB,” kongsinya.
“Kami terus melihat program ini sebagai peluang yang baik untuk memperkukuhkan hubungan antara sesama rakyat. Ini membolehkan pemimpin kanan tentera masa depan kita memperdalam persefahaman mereka mengenai negara dan angkatan bersenjata masing-masing,” tambah Menteri Pertahanan Australia.
Menurutnya, kesan koronavirus bermaksud penerima anugerah pada hari ini perlu menangguhkan lawatan selama seminggu mereka ke Australia. Tetapi, apabila ia terjadi (nanti), lawatan tersebut akan membolehkan para pegawai yang terlibat mengambil bahagian dalam banyak aktiviti pendidikan dan budaya.