Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memperjuangkan legasi perniagaan keluarga

    Oleh Nurdiyanah R.

    Dunia keusahawanan memang satu bidang yang sangat mencabar minda dan juga fizikal apatah lagi mengetahui dunia usahawan ini memiliki pasang surutnya namun demi harapan untuk meneruskan perjuangan ayah tercinta, usahawan muda ini sentiasa yakin dan optimis dalam memberanikan diri untuk melangkah ke dunia keusahawanan di negara ini.

    “Ayah merupakan pendorong kekuatan saya selama ini. Turun naiknya prestasi perniagaan ini, kami jalani bersama sejak saya kecil lagi. Kehilangannya memberi kesan yang mendalam dalam diri ini.

    “Namun saya tetap bersyukur ibu tersayang masih ada di sisi berserta isteri dan anak tercinta, merekalah kekuatan saya untuk bangkit kembali menjalankan legasi perniagaan ayam panggang warisan Allahyarham ayah yang amat saya rindui,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh Awang Muhamad Abdul Hadi bin Haji Daud @ Haji Imran selaku salah seorang usahawan belia tempatan yang mengetengahkan masakan ayam panggang istimewa di bawah nama ‘Bonda Taste’ semasa ditemui penulis di salah sebuah kedai yang terletak di Petani Mall, Pekan Tutong, baru-baru ini.

    Tunjuk ajar ayah dalam ingatan

    Meskipun insan yang banyak memberi sokongan dan pandangan dalam meniti dunia perniagaan yang telah dijalankan sekian lama ini sudah tiada di sisi, namun Awang Muhamad Abdul Hadi tetap sentiasa bersikap positif dengan berserah diri kepada Allah SWT untuk meneruskan impian menggapai prestasi legasi warisan perniagaan Allahyarham ayah beliau bersama insan-insan tersayang.

    “Apa yang pasti, segala ilmu dan kemahiran yang diwarisi daripada Allahyarham ayah dalam meniti dunia keusahawanan ini, itulah kekuatan yang sentiasa saya semai dalam diri untuk meneruskan perjuangan ini. Begitu juga dengan keaslian sentuhan resipinya, tetap akan dipertahankan sampai bila-bila dengan izin Allah SWT,” ujarnya dengan penuh ketulusan.

    Awang Muhamad Abdul Hadi turut menyatakan kesyukuran dengan adanya kehadiran anak-anak tempatan yang komited bekerja di bawah perniagaannya yang sememangnya merupakan salah satu pendorong utama beliau dalam mengembangkan perniagaan.
    Ayam panggang yang begitu menyelerakan dengan adunan rempah ratus tradisional asli warisan daripada ibu tersayang, merupakan salah satu menu istimewa usahawan tempatan, Awang Muhamad Abdul Hadi yang menjalankan perniagaan secara ‘take away’ dan juga dalam talian secara rasmi sejak tahun lepas.

    Resipi ibu tersayang

    Usahawan belia yang kini berusia 28 tahun ini turut berkongsi, tercetus idea untuk mencipta nama ‘Bonda Taste’ sememangnya terhasil daripada adunan rempah ratus tradisional asli warisan daripada ibu tersayang yang merupakan tulang belakang dalam menciptakan resipi-resipi khas bagi setiap hidangan yang diketengahkan oleh perniagaan ini sejak dahulu lagi.

    “Walau tiada ayah di sisi, namun hasil air tangan resipi ibu tetap menjadi pencetus semangat juang saya dalam mengembangkan hidangan berasaskan ayam panggang ini dari semasa ke semasa,” tambahnya dengan penuh kesyukuran.

    Pentingkan kesegaran dan kebersihan

    Awang Muhamad Abdul Hadi selaku pengasas dan ketua pegawai eksekutif dalam perniagaan yang mengusahakan masakan istimewa tersebut turut menekankan bahawa kesegaran dan kebersihan ayam dan bahan-bahan itu amat dititikberatkan sebelum menjalankan proses perapan dan pembakaran.

    Jelasnya, proses kelamaan perapan ayam bersama ramuan-ramuan kisar ala kampung seperti halia, lada, bawang merah dan bawang putih, lengkuas secukup rasa itu sememangnya berperanan penting dalam menghasilkan kelazatan isi ayam panggang berkenaan.

    Dengan anggaran harga $10 ke bawah bagi seekor ayam panggang boleh didapati di perusahaan ini. Selain itu, Nasi Ayam Panggang Penyet dan Nasi Ayam Panggang juga merupakan antara hidangan yang diketengahkan untuk para penggemarnya dengan anggaran harga di bawah $5 bagi setiap set pilihan menu.

    Dorongan pekerja

    Awang Muhamad Abdul Hadi turut menyatakan kesyukuran dengan adanya kehadiran anak-anak tempatan yang komited bekerja di bawah perniagaan tersebut. Itulah menjadi salah satu pendorong utama beliau dalam mengembangkan perniagaan berkenaan.

    “Apa yang saya harapkan ialah saya ingin membantu anak-anak tempatan untuk menimba dan menerokai ilmu perniagaan bersama dengan mengambil mereka bekerja sama ada secara sambilan atau pun sepenuh masa demi mencari pendapatan rezeki yang halal,” tambahnya yang menetap di Kampung Sengkarai, Daerah Tutong.

    Yakin rezeki dari Allah SWT

    Di samping itu, insan bersemangat tinggi ini turut menjelaskan bahawa dalam meniti dunia kehidupan sehari-hari, pengalaman dan ilmu adalah segalanya. Namun segalanya akan menjadi sia-sia tanpa adanya usaha dan doa.

    Walaupun terlalu ramai persaingan dalam dunia perniagaan ini, namun usahawan belia ini percaya rezeki itu datangnya dari Allah SWT selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitik beratkan kualiti produk atau perkhidmatan dengan sebaik-baiknya.

    Bangkit terokai dunia keusahawanan

    Dalam pada itu, Awang Mohamad Abdul Hadi juga menyatakan bahawa apa pun perniagaan yang kita ceburi itu pasti akan membuahkan hasil pengorbanan daripada titik peluh selama ini.

    Justeru, perlu diingat bahawa kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba.

    Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat kita untuk bangkit dan terus bangkit.

    “Pokok pangkal untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah minat yang mendalam, kegigihan dengan penuh istiqamah dan juga usaha yang tidak pernah kenal penat lelah.

    “Sentiasalah memohon pertolongan kepada Allah SWT demi mengharapkan segala kemudahan atau urusan dipermudahkan.

    “Itulah kunci kejayaan yang sebenarnya. Biarlah segala yang kita lakukan semuanya keranaNya,” nasihat beliau dengan penuh keyakinan kepada masyarakat di negara ini khususnya para usahawan tempatan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda