Thursday, January 2, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memperkasa budaya membaca

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kunci kepada gedung ilmu itu ialah membaca dan budaya itu amat penting untuk pembentukan minda masyarakat bagi melahirkan generasi yang cemerlang di dunia dan akhirat.

    Semakin banyak kita membaca, semakin tinggilah ilmu yang kita peroleh. Oleh itu semangat penerokaan ilmu ini perlu disemai sejak kecil lagi, bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

    Bangsa yang membaca ialah bangsa yang sentiasa mencintai ilmu dan mempunyai kepekaan dan kesedaran. Dengan ilmulah bangsa itu akan membangun dan mewujudkan kegemilangan, kemajuan dan keagungan sesebuah agama dan negara.

    Justeru, sebagai usaha mewujudkan minat yang mendalam antara komuniti dengan buku, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah menganjurkan Bazar Buku 2022 yang berlangsung di Perpustakaan DBP, Daerah Tutong, pada awal Disember lalu.

    Penganjuran bazar buku pada tahun ini yang berlangsung selama lima hari bermula dari 1 hingga 5 Disember lalu itu membawa konsep kembara atau menjengah ke luar daerah, iaitu menyapa komuniti dengan mengangkat tema ‘Kembara Buku Santuni Masyarakat’ dengan harapan untuk menjalin perhubungan dengan masyarakat setempat dan sekitarnya.

    Dayang Sarrah menayangkan buku berjudul ‘Pancuran Limpanas Si Burung Murai’ yang menyelitkan asal usul penamaan sebuah kampung dan juga unsur moral tentang pentingnya untuk mematuhi janji.
    Jualan buku terdiri daripada penerbit kerajaan dan kedai buku tempatan yang diketengahkan di Bazar Buku 2022 tersebut.

    Antara karya yang dihasrat dapat memperkasakan nilai-nilai budaya dan warisan untuk generasi pada masa kini.

    Ia juga merupakan satu inisiatif dan komitmen DBP dalam mendayaupayakan program membaca dan literasi maklumat di samping menjayakan pengisian kegiatan Festival Disember Brunei kali ke-6. Pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang penganjuran bazar buku berkenaan antaranya Peraduan Mewarna Lukisan, Acara Riadah Berbasikal Santai dan Majlis Perkampungan Perpustakaan.

    Dari satu pertuturan orang tua-tua

    Berkongsi sejenak pengalaman terhasilnya sentuhan karya buku cerita folklor tempatan terbaharu berjudul ‘Pancuran Limpanas Si Burung Murai’, Dayang Sarrah ‘Aina binti Haji Abdul Rahman menjelaskan buku berkenaan mengisahkan asal usul penamaan Kampung Panchor Murai dengan menyelitkan unsur moral tentang pentingnya untuk mematuhi janji.

    “Cetusan ilham terciptanya karya ini sememangnya berdasarkan hasil penyelidikan daripada pertuturan orang tua-tua,” ujarnya lagi yang sememangnya begitu meminati pelbagai genre penulisan merangkumi puisi, sajak, cerpen, novel mahupun penulisan skrip drama.

    Dayang Sarrah turut mengongsikan bagi menghasilkan buku kanak-kanak, kebiasaannya beliau memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan hingga dua bulan manakala untuk karya cerpen atau novel pula memerlukan masa dalam lingkungan hampir enam bulan di mana bagi jenis karya berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya 40,000 patah perkataan.

    Tambahnya, pihak DBP telah memberikan beberapa garis panduan dalam setiap penghasilan buku kanak-kanak. Antara garis panduan yang diberikan termasuk setiap buku yang diterbitkan mestilah mempunyai 16 rangkap dan mempunyai gambar-gambar ilustrasi yang dihasilkan oleh salah seorang pelukis di DBP.

    “Pastinya saya dan tidak terkecuali para penulis tanah air yang lain tidak kira dari pelbagai genre karya sememangnya memiliki harapan tulus supaya setiap karya yang kami hasilkan itu mampu memberi manfaat dan percambahan ilmu kepada para pembaca secara umumnya.

    “Lebih-lebih lagi apa yang saya ketengahkan ini berkisar legenda yang semestinya perlu diketahui oleh generasi pada masa kini yang bukan hanya khusus bagi golongan kanak-kanak bahkan semua lapisan masyarakat Brunei. Dengan adanya pendokumentasian sebegini, ia juga sebagai salah satu usaha agar apa yang dituturkan oleh orang tua-tua kita tidak hilang begitu sahaja meskipun masa berubah terlalu pantas,” jelasnya yang juga Penolong Penyunting Tingkat II, DBP.

    Melestarikan nilai budaya dalam sebuah karya

    Dengan hasrat untuk melestarikan nilai-nilai budaya dalam kalangan tujuh puak jati Melayu di negara ini, Dayang Sarrah telah berjaya menanai amanah selaku penyusun buku berjudul ‘Dapur Buhani’ di mana jelasnya ‘buhani’ berasal daripada perkataan dalam bahasa Kedayan bermaksud lampau.

    Tambahnya, terhasilnya buku berkenaan sebagai salah satu usaha bagi menghimpunkan dan mengetengahkan masakan masyarakat Melayu Kedayan yang diwarisi sejak zaman berzaman dengan menumpukan terhadap cara penyediaan dan kaedah masakan yang masih dikekalkan seperti yang diajarkan secara turun-temurun.

    “Walaupun tiada sukatan khusus dalam masakan tetapi ia lebih berpandukan cita rasa, daya ingatan dan ajaran yang disampaikan secara lisan. Menariknya buku ini memperlihatkan keutuhan rasa kekitaan atau sense of belonging,” kongsinya di akhir pertemuan bersama Media Permata.

    Dalam pada itu, antara objektif penganjuran bazar buku adalah untuk menggema dan menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa serta mendukung Wawasan Brunei 2035 bagi melahirkan masyarakat bermaklumat, berpendidikan, berpengetahuan, berkualiti dan berwawasan.

    Di samping itu, ia juga bagi menggiataktifkan program pembudayaan literasi maklumat dan membaca,mendukung pengembangan industri kreatif, dan sebagai platform bagi penerbit dan toko buku untuk mengambil bahagian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda