Oleh Nurdiyanah R.
Memperkasakan warisan budaya bangsa adalah tanggungjawab bersama, lebih-lebih lagi dalam kita meniti arus zaman silih berganti dengan pelbagai kemajuan dan pembangunan.
Hakikatnya ia adalah perkara yang mampu mengisi jiwa anak bangsa sehingga mewujudkan satu ikatan yang merapatkan rasa kebersamaan sehingga menjadi citra yang mewujudkan rasa cinta, kasih sayang dan setia kepada bangsa dan negara di mana kita berpijak ini.
“Ia juga adalah demi menggalakkan lebih banyak komuniti dan perniagaan kecil dalam negara untuk mengusahakan ladang dan meningkatkan kesedaran mengenai produk budaya dan warisan mereka di mata masyarakat tempatan dan juga para pelancong luar negara, lebih-lebih lagi dalam menghidupkan suasana alam semula jadi yang penuh kehijauan ini,” ucap Dayang Nazurah Hamizah binti Salleh selaku Pengasas Bersama React Co yang menganjurkan acara pasar tani, Re/Think Food bertempat di Eco Ponies Garden yang terletak di Kampung Bang Nukat, Lamunin, Daerah Tutong, semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
Bersama memperkasa komuniti pengusaha tempatan
Menurut Pengasas Eco Ponies Garden, Dayang Eyon Ukoi menjelaskan bahawa dengan adanya acara sebegini, ia sememangnya sesuatu yang sangat baik untuk diteruskan demi untuk menonjolkan budaya kehidupan masyararakat Brunei khususnya semangat juang para penduduk kampung dalam sama-sama memperkasa keunikan dan keistimewaan perusahaan dan kepakaran mereka di mata masyarakat di negara ini bahkan luar negara.
Acara dua hari dengan kerjasama Eco Ponies Garden itu turut disokong oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) yang mana turut dimeriahkan dengan pelbagai jualan daripada masyarakat dari Daerah Tutong dan Daerah Belait. Antaranya ialah Quehomebakemacaroon, Labi Coffee, Lamin Warisan, Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lamunin, MPK Melilas, Bidasari Hideout Community, Mamat’s Corner dan Creativate.





Satay Ayam Serai menawan cita rasa
Suasana acara yang diserikan dengan keindahan alam semulajadi itu turut dimeriahkan dengan pelbagai hidangan yang begitu istimewa bagi para pengunjungnya. Salah satunya ialah Satay Ayam Serai hasil resepi ciptaan penduduk Kampung Bang Nukat, Lamunin. Dengan menggunakan bahan-bahan alami seperti kunyit dan serai asli dan segar dengan teknik pembuatan tertentu, itulah yang membuatkan resepi ini begitu unik dan sedap untuk dinikmati.
Semasa ditemui, Stephanie dan Toby selaku pengunjung acara berkenaan melahirkan perasaan teruja dengan adanya suasana taman yang sungguh indah dan cantik sehingga mampu mewujudkan rasa ketenangan untuk bersantai, lebih-lebih lagi dengan pelbagai tawaran produk makanan dan minuman serta barangan tempatan yang begitu menarik.
“Sungguh enak! Satay Ayam Serai ini begitu menepati cita rasa saya dengan adanya gabungan rasa yang secukupnya,” ujar mereka dengan senyuman kegembiraan.
Mencurahkan ilmu kemahiran bersama
Demi meningkatkan kecintaan masyarakat dengan nilai estetika dan keaslian produk atau barangan kraf tangan anyaman, bengkel mempelajari kraf tangan berkenaan turut dibukakan kepada para pengunjung yang berminat mempelajarinya semasa berlangsungnya acara berkenaan.
Salah seorang pengusaha kraf tangan anyaman dari Kampung Melilas, Daerah Belait, Hajah Nuraliyah binti Abdullah Talit menyuarakan kepada masyarakat di negara ini terutamanya golongan muda agar sama-sama memelihara budaya warisan sebegini agar tidak pupus ditelan zaman.
“Acara sebegini sememangnya mampu memberi pendedahan yang baik kepada semua lapisan masyarakat untuk sama-sama berjuang dalam menyelami kehidupan penuh kesederhanaan, lebih-lebih lagi dalam memelihara suasana alam semula jadi yang sukar diperoleh di zaman ini,” ucapnya dengan penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.