Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memperkasa destinasi pelancongan domestik

    Oleh Nurdiyanah R.

    Mungkin ramai merasakan konotasi jauh perjalanan luas pemandangan adalah untuk pelancongan luar semata-mata, namun dalam negara sendiri pun masih boleh meluaskan pemandangan, apa lagi bagi mereka yang belum pernah meneroka negara dek kesibukan kerja atau sering keluar negara sebelum ini.

    Kata orang musibah ada kalanya membawa kepada hikmah tersembunyi dan pandemik COVID-19 ternyata jika diamati, menjadikan destinasi-destinasi dalam negara semakin diterokai rakyat negara ini untuk tujuan santai dan melepaskan tekanan selepas kerja, sekali gus membuka minda untuk lebih mengenali negara.

    Sokongan bagi pelancongan domestik

    Sedar atau tidak, apabila kita melancong dalam negara, kita sebenarnya berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat akan destinasi pelancongan, kebudayaan, dan warisan di negara yang kita cintai ini.

    Oleh yang demikian, dalam mewujudkan kepentingan itu, seramai lebih 80 orang telah mengikuti salah satu pakej pelancongan domestik menarik menerusi Temburong 1 Kampung 1 Produk (1K1P) yang dikendalikan oleh Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), baru-baru ini.

    Lawatan berkonsepkan jalan-jalan di dalam negara itu diketuai oleh tiga orang pemandu pelancong DHSB, bermatlamat untuk menyediakan platform kepada semua lapisan masyarakat di negara ini untuk sama-sama menerokai keindahan khazanah warisan budaya bangsa di samping menjelajah ke tempat-tempat menarik yang terdapat di daerah kedua terbesar ini dari tiga buah daerah yang lain.

    Ahli rombongan merakamkan detik kenangan di Taman Rekreasi Hutan Bukit Patoi semasa mengikuti pakej pelancongan domestik menarik menerusi Temburong 1 Kampung 1 Produk (1K1P) yang dikendalikan oleh Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), baru-baru ini.
    Menyelami keunikan budaya dan kesenian masyarakat Iban di Rumah Panjang Kampung Sibut, Mukim Amo di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ itu.
    Kilang memproses ambulong atau sagu diketengahkan MPK Batu Apoi, Mukim Batu Apoi turut menjadi salah satu destinasi dikunjungi rombongan.

    Dengan menggunakan tiga buah bas merentas Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien seawal jam 7 pagi lagi, rombongan yang turut disertai penulis sendiri, merasa seperti pelancong luar negara, lebih-lebih lagi terdapat sebahagian daripada kalangan ahli rombongan semasa ditemui mengutarakan inilah pengalaman yang dinanti-nantikan setelah sekian lama tidak berkunjung ke daerah berkenaan.

    Daerah ‘Permata Hijau Brunei’ miliki pelbagai tarikan

    Setibanya kami di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ itu, kami singgah seketika untuk menikmati pemandangan Taman Rekreasi Hutan Bukit Patoi yang terletak di Mukim Labu. Apa yang pasti, keunikan flora dan fauna hutan hujan tropika menggamit pengunjung yang mahu lari daripada ‘hutan batu’ di bandar.

    Manakala di Tamu Aneka Temburong, Pekan Bangar, konsep Kenali Negara Kitani menerjah minda dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman istimewa daerah itu diketengahkan oleh usahawan veteran dan belia sama makanan tradisi atau fusion seperti wajid jawa, cendol dan paling menggiurkan, udang galah atau lebih dikenali sebagai si sepit biru.

    Rombongan seterusnya dibawa ke suasana santai sambil menimba ilmu pengetahuan ke destinasi yang menampilkan keunikan produk-produk 1K1P menerusi majlis perundingan kampung (MPK) di daerah berkenaan.

    Variasi produk keluaran MPK

    Antara yang dituju oleh rombongan diketuai DHSB ini ialah Mukim Amo yang menampilkan masyarakat Iban dengan konsep rumah tradisi mereka, iaitu Rumah Panjang di Kampung Sibut dan juga Rumah Panjang Kampung Amo ‘B’. Bukan hanya dapat menyaksikan produk-produk istimewa mereka seperti kraf tangan anyaman dan ayam buluh bahkan kami juga dapat menyelami kehidupan mereka sebagai masyarakat Iban yang memiliki kebudayaan dan kesenian yang tersendiri.

    Lebih menyeronokkan, rombongan dapat menyaksikan lebih dekat lagi seni bina rumah tradisi mereka yang dikenali sebagai Rumah Panjang versi rekaan moden dan juga klasik dan begitu juga kemerduan alunan muzik tradisi masyarakat tersebut.

    Semasa pelancongan tersebut, kilang pemprosesan ambulong atau sagu yang diketengahkan oleh MPK Batu Apoi, Mukim Batu Apoi turut menjanjikan pe-ngalaman menarik melihat sendiri proses membuat ambulong manakala di MPK Puni, Mukim Bangar juga berkesempatan menunjuk cara pembuatan telur masin semasa kunjungan kami di Balai raya Kampung Puni.

    Selain itu, produk berasaskan seni anyaman manik juga menjadi salah satu produk 1K1P dari sebahagian penduduk Kampung Menengah yang letaknya berdekatan dengan Pekan Bangar.

    Destinasi di Daerah Temburong ini sememangnya perlu diperkasakan, terutamanya oleh generasi muda kerana dengan menghargai khazanah negara sendiri, ia secara tidak langsung mampu mendidik diri dan jiwa kita untuk lebih mengenal erti cinta kepada tanah air.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda