Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memperkasa keupayaan belia dalam pembangunan negara

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BELIA adalah generasi penerus pembangunan negara yang akan dapat mendukung usaha dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 ke arah rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kehidupan rakyat yang berkualiti dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

    Penglibatan belia untuk mencapai wawasan tersebut adalah sebagai pemangkin transformasi dalam proses transformasi negara adalah penting di mana perubahan, penghijrahan dan transformasi adalah kemestian dalam usaha menuju negara yang maju dan dinamik.

    Dalam usaha membangun belia di negara ini, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa memberikan perhatian penuh dengan menyediakan program berterusan dan kemudahan antaranya program-program pembangunan kapasiti, kemudahan prasarana, infrastruktur dan bantuan fizikal dan mental.

    Kerajaan Baginda telah menumpukan kepada empat fokus utama ke arah mendukung tema mengukuhkan iklim perekonomian bagi mendukung pembangunan berterusan iaitu dengan memudah cara perniagaan, meningkatkan produktiviti negara, membina kapasiti dan modal insan, memelihara kesejahteraan awam.

    Tumpuan ini akan diberikan kepada memperkasa dan mempersiapkan golongan belia negara sebagai harapan negara dalam meneruskan dan menerajui agenda pembangunan ekonomi yang dirancang.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan dijunjung untuk memeriksa perbarisan sempena Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-6 di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Temburong.

    Penglibatan belia untuk mencapai wawasan tersebut adalah sebagai pemangkin transformasi dalam proses transformasi negara adalah penting di mana perubahan, penghijrahan dan transformasi adalah kemestian dalam usaha menuju negara yang maju dan dinamik.

    Bagi mendukung pembangunan ekonomi yang konsisten dalam jangka masa panjang, tumpuan turut diberikan kepada membina kapasiti dan modal insan terutamanya di kalangan belia-belia di negara ini.

    Pembangunan kapasiti dan modal insan ini perlulah dilaksanakan secara holistik merangkumi perolehan pengetahuan dan kemahiran yang mana ini termasuk keupayaan keusahawanan serta memiliki sikap, nilai dan etika positif dan progresif melalui program yang tersusun, bersesuaian dan fokus kepada outcome.

    Pendidikan cemerlang mampu memberi peluang kepada para belia untuk meningkatkan kualiti hidup serta menyumbang secara aktif dan positif kepada pembangunan negara selaras dengan hasrat Wawasan Brunei 2035.

    Ia juga salah satu strategi utama kerajaan dalam usaha pembasmian kemiskinan dan peningkatan Pengangguran.

    Bagi membina kapasiti para belia secara holistik, usaha juga ditumpukan kepada penerapan program-program jati diri dan latihan kemahiran bagi belia-belia sesuai dengan keperluan masa kini dengan pengendalian Program Khidmat Bakti Negara (PBKN).

    Hari ini negara sedang menangani cabaran yang monumental, iaitu cabaran untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035 yang merupakan aspirasi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam menjelang tahun.

    Kejayaan wawasan 2035 memerlukan sumbangan proaktif golongan belia yang seharusnya menjadi penggerak yang memacu negara ke tahap yang kita impikan.

    Penglibatan golongan belia secara aktif dalam kegiatan berpersatuan juga akan dapat mempertingkatkan potensi diri mereka menerusi ilmu berpersatuan dan kepemimpinan, pendedahan, pengalaman seterusnya ia mampu membina jaringan komunikasi antara belia atau persatuan sehingga ke peringkat antarabangsa.

    Bukan setakat itu, belia perlu membina jaringan komunikasi supaya dapat membantu diri dalam urusan sosial, ekonomi atau perniagaan dengan pihak lain pada masa hadapan.

    Dengan pelbagai inisiatif dan program-program menjurus ke arah pembangunan belia yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan keupayaan belia tempatan bagi menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara ini.

    Ini sekali gus melahirkan ramai lagi pakar, profesional, usahawan dan pemimpin belia yang berjaya pada masa hadapan yang akan menyumbang kepada pembangunan negara secara insklusif dan konsisten seterusnya membantu menangani isu kemiskinan dan mengurangkan jumlah pengangguran di negara ini.

    Program pembangunan belia

    Sementara pihak kerajaan melalui pelbagai agensi terus berusah menyediakan program-program ke arah membangunkan belia di negara termasuklah dalam memperkasa bidang keusahawanan di kalangan belia.

    Contohnya Darussalam Enterprise (DARE) yang merupakan sebuah badan berkanun bagi mengasuh dan memberikan sokongan kepada perusahaan tempatan sejak mula diwujudkan sehinggalah berkembang maju melalui Program Startup Bootcamp.

    Program ini merupakan latihan serta bimbingan dalam pelbagai aspek termasuk penciptaan dan pelaksanaan idea, kemajuan produk, penyediaan pelan perniagaan, pengenalan perniagaan, termasuklah cara-cara mendapatkan pembiayaan dan teknik pemasaran serta penjualan produk dan lain-lain agensi.

    Selain itu, Penubuhan Pusat Pembangunan Kapasiti (PKK) yang diumumkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah baginda pada 15 Julai 2017 sempena sambutan Hari keputeraan KDYMM ke-71.

    Penubuhan PKK ini antara lain bertujuan untuk memastikan para pencari kerja tempatan lebih berkemampuan dengan menawarkan program latihan yang didorong oleh permintaan industri dan disahkan oleh piawaian industri.

    Program-program pusat ini juga termasuk kursus-kursus pengambilan semula dan peningkatan kemahiran sehingga pelatih dapat memperolehi kompetensi yang diperlukan oleh industri dan meningkatkan peluang pekerjaan mereka untuk berbagai-bagai pekerjaan di sektor swasta.

    Belia tempatan yang mengikuti latihan di pusat itu, menjalani latihan dalam kursus masing-masing di antara tiga hingga enam bulan di mana selepas latihan, pelatih ini akan menjadi tenaga kerja yang sedia untuk diserapkan dalam industri.

    Kurikulum direka dengan pembelajaran teori di dalam kelas 10 peratus dan 90 peratus lagi melalui latihan kemahiran praktikal. Pengambilan pertama dijangka bermula pada bulan September 2017 dengan menawarkan beberapa kursus tertentu.

    Pusat tersebut mempunyai kapasiti sehingga 852 pelatih bagi pengambilan pertama di bulan September dan Disember. Pembesaran kapasiti pusat tersebut akan bermula pada Januari 2018, yang akan membolehkan lebih ramai penduduk tempatan mengisi tawaran-tawaran pekerjaan dalam projek Hengyi bersama dengan FDI lainnya dan projek-projek industri lainnya.

    Pusat berkenaan akan menghasilkan sekurang-kurangnya 3,000 graduan dari 13 program pada 13 Disember 2018.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda