Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memperkasa keupayaan belia dalam pembangunan negara

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Penglibatan golongan belia dalam memberikan input dan menyumbang kepada penggubalan dasar dalam pembangunan negara amat dihargai serta dialu-alukan.

    Dalam pembangunan negara, sumbangan, cadangan dan idea yang diberikan oleh semua golongan akan diberikan pertimbangan di mana ia tidak bermakna hanya pandangan atau cadangan satu golongan sahaja diberikan laluan.

    “Apa pun cadangan, idea dan sumbangan, ia perlulah diteliti berdasarkan merit sumbangan, idea dan cadangan tersebut. Tanpa mengira sama ada cadangan itu datangnya daripada golongan belia ataupun daripada golongan yang bukan belia lagi.”

    Penekanan itu dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) mengenai Dasar Belia Negara dan keberkesanan Youth Town Hall semasa perbahasan pada Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa kesimpulannya adalah kerjasama antara kedua-dua golongan iaitu golongan yang muda belia bersama dengan golongan yang bukan lagi belia serta sikap saling hormat-menghormati terhadap pandangan masing-masing perlu diutamakan.

    Dalam hubungan itu, beliau menyatakan bahawa pendekatan yang diambil selama ini adalah untuk membuka ruang bagi interaksi di antara kedua-dua golongan yang berbeza berkenaan dan peluang itu dapat mengurangkan jurang perbezaan pendapat ataupun pendirian dalam sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.

    “Bukan bermakna untuk memperlagakan kedua-dua golongan ini dengan dua pendapat yang berbeza dengan dua pendirian yang berbeza yang sudah setentunya tidak akan menguntungkan kitani dalam sama-sama memajukan negara kitani.”

    Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato menyambut baik penganjuran sesi Youth Town Hall dan penglibatan Rangkaian Profesional Muda (YPN) kerana ia membuka ruang percambahan fikiran antara kedua-dua golongan berkenaan.

    Beliau berharap perkara itu akan dapat dipertingkatkan lagi, baik bukan saja mendengar daripada kedua-dua pihak tetapi juga untuk membuka ruang macam mana golongan belia akan dapat lebih memahami apa pandangan dan pendapat daripada golongan yang bukan belia dan sebaiknya, sama-sama menilai pandangan masing-masing dan mencapai kesimpulan yang paling berkesan untuk menggerakkan negara maju ke hadapan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda