Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Acara Pra Letop yang membawa tema ‘Memperkasa Keusahawanan Belia’ bukan sahaja menjadi platform bagi belia membuat pameran, pertunjukan atau persembahan tetapi ia menjadi platform yang melatih serta memberikan peluang kepada mereka untuk menjadi usahawan menerusi penyertaan dalam bazar keusahawanan.
Oleh itu, ruang dan peluang yang dicipta, diharap akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan belia yang berdaya usaha serta mengurangkan sedikit sebanyak jumlah pengangguran negara yang semakin meningkat.
Harapan itu disuarakan oleh Pengasas Battle Pro Marketing & Management (Battle Pro MMS), Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah dalam kata alu-aluannya di Perasmian Pra Letop 2018 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian acara berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan memotong reben bagi menyempurnakan perasmian Pra Letop 2018 dan diikuti dengan persembahan daripada peserta Pertandingan Hafazan Surah Al-Fatihah sebelum membuat kunjungan ke petak-petak jualan Pra Letop 2018.

Acara empat hari anjuran Battle Pro MMS itu bukan sahaja bermatlamat untuk menyokong para usahawan tempatan, khususnya golongan belia yang menyertai acara berkenaan tetapi juga untuk memantapkan lagi ekonomi negara serta memeriahkan lagi musim cuti sekolah.
Acara itu disertai oleh lebih 40 buah syarikat tempatan dan negara jiran di mana lebih 30 daripada mereka ialah usahawan belia dengan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada para pengunjung termasuk makanan, minuman, fesyen pakaian terkini dan aksesori.
Para pengunjung ke acara itu bukan sahaja dapat membeli-belah tetapi mereka juga dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan menarik yang disediakan serta berpeluang untuk memenangi hadiah menarik dengan mana-mana pembelian daripada usahawan-usahawan Pra Letop 2018 dan dengan pembelian dari mana-mana usahawan AkuManang.com, di mana mereka berpeluang memenangi ASEAN Dream Trip.