Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Usaha untuk memantapkan dakwah adalah dengan menyediakan daie-daie yang mantap, ke arah itu, satu program akan dilaksanakan pada awal tahun ini.
Program berkenaan akan dibimbing oleh dua orang tenaga daie luar negara yang dikenal pasti dan diakui sangat menarik, dan perjumpaan dengan tenaga daie berkenaan telah pun dibuat oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI).
Perkara berkenaan telah dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa menjawab pertanyaan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim mengenai usaha memperkasa kualiti daie tempatan sebaris dengan daie luar negara.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) berkenaan turut mengongsikan, “Sejak kebelakangan ini, banyak sudah penceramah dan daie yang terdiri dalam kalangan belia tempatan tampil ke hadapan memberikan ceramah di masjid, dan majlis formal di mana mereka ini mempunyai potensi untuk tampil sebagai penceramah yang berwibawa, hanya kerana perlu diasuh dan digilap”.
Pada hari kelapan Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, hari ini, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menekankan, perkara dakwah bukan sahaja ilmu tetapi ia adalah cara dan kaedah, dan banyak aspek yang perlu diambil kira dalam pembangunan dan melengkapkan daie-daie tempatan ke tahap karismatik daie di luar negara itu.
Dengan program itu, jelasnya, bimbingan daripada kedua-dua tenaga daie luar negara itu diharap akan memberi kesan kepada pembangunan daie di negara ini
Manakala itu, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh pula berkata, ke arah memperkasa kualiti penceramah atau daie, Universiti Islam Sultan Sharif Ali melalui Fakulti Usuluddin telah menawarkan program Diploma Kebangsaan Daie Kepimpinan bermula sesi 2022/2023.
Ia berobjektif sebagai platform untuk melahirkan daie yang mahir dan berketerampilan, dan menyediakan pengajian yang lebih komprehensif, kefahaman, dan latihan seni penyampaian dakwah kepada para daie selaras dengan perkembangan ilmu semasa, jelasnya.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan seterusnya mengalu-alukan daie dan mereka yang berhasrat untuk menjadi daie untuk memohon memasuki atau mengikuti program kebangsaan daie dan kepimpinan yang ditawarkan.



