Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memperkasa pendidikan tinggi Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Abad ke-21 juga disebut sebagai milenium ketiga dan abad golbalisasi, mencetuskan persaingan bebas yang sangat ketara lagi meluas dan ia merupakan satu impak negatif globalisasi atau mo-denisasi yang menyebabkan kurangnya nilai agama.

    Kerana itu perlu adanya landskap pendidikan tinggi Islam abad ke-21 dengan mengambil kira strategi dan hala tuju.

    “Strategi itu bermaksud rancangan yang teratur bagi menyampaikan kita kepada matlamat atau sasaran hala tuju yang kita kehendaki.”

    Perkara tersebut ditegaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menyampaikan kertas perdana bertajuk ‘Landskap Pendidikan Tinggi Islam Abad ke-21: Strategi dan Hala Tuju’ semasa Perasmian Persidangan Antarabangsa Universiti-universiti Islam (ICIU 2023) yang berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei dengan kerjasama The Asia Islamic Universiti Association (AIUA), baru-baru ini.

    Berkenan berangkat bagi merasmikan persidangan berkenaan ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Gambar fail KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenaan dijunjung bergambar ramai pada Majlis Perasmian ICIU di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei pada 27 Jun. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar fail Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyaksikan pameran semasa Majlis Perasmian ICIU pada 27 Jun. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Yang Berhormat Mufti Kerajaan semasa menyampaikan kertas perdana. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UNISSA.

    Persidangan tersebut turut diisi dengan pembentangan beberapa kertas kerja oleh tokoh akademik dan sarjana jemputan termasuklah Presiden Universiti al-Azhar, Mesir; Profesor Dr Salama Gomma Ali Daoud, Rektor UIN Antasari Banjarmasin, Profesor Dr H Mujiburrahman yang juga merupakan Presiden AIUA; Rektor UNISSA dan juga Naib Presiden AIUA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; dan Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia dan Setiausaha Agung AIUA, Profesor Dato Dr Wan Sabri bin Wan Yusof.

    Dalam penyampaian kertas perdana, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa strategi utama adalah untuk melihat pendidikan tinggi Islam agar terus unggul, bukan lemah atau dikaburi oleh globalisasi.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menekankan, Islam telah mendahului UNESCO dalam mencipta dasar pendidikan namun umat Islam masih dilihat ketinggalan di belakang.

    Beliau seterusnya menegaskan, Al-Quran telah mengisyaratkan petunjuk, bahawa penguasaan tidak mungkin dicapai kecuali hanya dengan ilmu sahaja dan ia termasuk penguasaan angkasa lepas yang sangat mencabar itu hanya mampu untuk dicapai dengan ilmu.

    “Landskap dan strategi pendidikan tinggi Islam abad ke-21 perlu dikemas kini dan diperkasa, jika ilmu sains dan teknologi, Neil Armstrong datang ke bulan, maka pendidikan Islam abad ke-21 juga mesti turut mengutamakan ilmu itu,” jelasnya.

    Pusat-pusat pendidikan tinggi perlu membuka pintunya untuk ilmu itu dan ia akan dinamakan sebagai ilmu sains Islam, kerana ilmu sains Islam mempunyai kelebihan berbanding ilmu sains Barat.

    “Ilmu sains Barat hanya semata-mata berteraskan kajian terhadap benda-benda yang dapat dilihat, ditimbang, dihitung dan diukur semata-mata,” tambahnya.

    Sementara ilmu metafizik dan soal-soal keimanan hanya dianggap andaian sahaja, yang sukar untuk diterima oleh akal, berbanding sains Islam, tetap percaya kepada kuasa Allah dan perkara-perkara ghaib.

    Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan betapa pentingnya ilmu sains, ia bukan sahaja alat untuk meneroka angkasa, bahkan ia juga berperanan untuk menegakkan hukum Allah dalam kehidupan manusia.

    Transformasi digital

    Hari ini metodologi pengajaran dan pembelajaran perlu kreatif dan inovatif lebih-lebih lagi setelah pandemik COVID-19 melanda dunia, di mana media pengajaran mengalami transformasi mendadak khususnya semasa penularan wabak COVID-19 yang belum dibendung.

    Pada masa ini, kuliah berjalan menongkah adat dengan perjumpaan diadakan secara maya manakala sistem penilaian dan peperiksaan pula terpaksa menerima kelainan daripada cara tradisi yang diamalkan sebelum ini.

    Perubahan mendadak itu pula mengundang pelbagai cabaran lain termasuk kesihatan dan kesejahteraan mental dan emosi pelajar dan pendidik.

    Peranan persidangan

    Ke arah memastikan institusi pengajian tinggi Islam (IPTI) di negara-negara Asia tetap pada asal penubuhannya, persidangan diadakan sebagai medan untuk memahami, belajar melalui perkongsian, meneladani amalan terbaik bagi terus memperkasa pendidikan Islam.

    Selain itu, objektif ICIU2023 juga membincangkan isu-isu penting untuk terus mengekalkan kerelevanan kurikulum pengajian Islam dalam menghadapi perubahan global dan seterusnya mencadangkan jalan penyelesaian.

    Sebagai negara serumpun yang memiliki banyak persamaan adat, budaya dan iklim jaringan kerjasama seperti itu sangat signifikan agar keteguhan persaudaraan dapat diperkukuh yang seterusnya mewujudkan IPTI yang saling memberikan dorongan untuk kejayaan bersama.

    Persatuan Universiti-universiti Islam Asia (AIUA)

    AIUA merupakan sebuah pertubuhan yang menggabungkan IPTI negara serumpun rantau Asia dari Indonesia, Malaysia, Maldives, Filipina, Thailand dan Brunei Darussalam dan sehingga hari ini AIUA telah dianggotai oleh lebih 80 keahlian daripada IPTI negara-negara Asia, di mana Negara Brunei Darussalam diwakili oleh UNISSA.

    Pada tahun 2015 AIUA ditubuhkan bertujuan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama dalam kalangan IPTI negara-negara Asia bagi sama-sama mencapai kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan dengan menggunakan pendekatan Islam yang holistik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda