Sunday, June 30, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Memperkasa penggunaan bahasa Melayu di parlimen

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib telah menerima kunjungan muhibah daripada Ketua Badan Kerjasama Antara Parlimen, Dewan Perwakilan Rakyat, Republik Indonesia, Dr H Fadli Zon yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, hari ini.

    Menurut kenyataan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, Dr H Fadli Zon disertai bersama tujuh ahli parlimen dari badan tersebut.

    Turut hadir semasa kunjungan itu ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Diraja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah berserta ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam, Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.

    Semasa sesi kunjungan itu, kedua-dua pihak membincangkan mengenai memperkasa penggunaan bahasa Melayu di parlimen-parlimen. Kepentingan bahasa Melayu dan penggunaannya bukan sahaja sebagai bahasa perantaraan tetapi juga sebagai warisan bangsa.

    Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN mengongsikan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara, yang berpegang kepada falsafah Melayu Islam Beraja dan tidak berpisah daripada cara hidup dan identiti rakyat di Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN semasa menerima kunjungan hormat daripada Dr H Fadli Zon, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT
    Ahli-ahli MMN dan rombongan Badan Kerjasama Antara Parlimen Republik Indonesia bergambar ramai semasa kunjungan tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT

    Dr H Fadli Zon mengongsikan bahawa inisiatif itu dianggap sebagai langkah penting ke hadapan untuk memastikan bahasa Melayu akan terus diperkukuhkan.

    Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan mengenai persamaan antara kedua-dua negara dalam aspek ini dan perkembangan bahasa Melayu yang dapat dilihat sehingga ke hari ini.

    Kunjungan muhibah itu juga diselajurkan dengan sesi dialog antara rombongan Badan Kerjasama Antara Parlimen bersama ahli-ahli MMN yang hadir.

    Perbincangan diadakan secara terperinci mengenai inisiatif Pertubuhan Parlimen berbahasa Melayu berkenaan. Rombongan Dewan Perwakilan Rakyat, Republik Indonesia menyuarakan bahawa inisiatif untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kerja rantau ASEAN amat bersesuaian memandangkan rantau ini mempunyai lebih 300 juta orang yang boleh bertutur dalam bahasa itu dan berharap ianya dapat direalisasikan dengan segera.

    Ahli-ahli MMN turut memberikan sokongan terhadap inisiatif berkenaan dan mengongsi harapan bahawa dengan penubuhan ini, beberapa aspek tertentu boleh difikirkan seperti penyelarasan bahasa untuk kegunaan semua dan melaksanakannya bersama dengan kemajuan perisian teknologi yang akan memberikan manfaat.

    Sesi itu diakhiri dengan lawatan ke Dewan Persidangan MMN.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...