Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
Dalam menggalakkan produk halal di rantau Borneo kepada dunia, Borneo International Halal Showcase (BIHAS) untuk kali kedua telah diadakan pada 11 Disember lalu di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas. Ia berlangsung bersempena dengan Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) untuk kali ke-12.
Antara produk-produk yang ditawarkan adalah terdiri daripada makanan dan minuman, kosmetik, farmaseutikal, pelbagai jenis perkhidmatan, pelancongan, kewangan, kesihatan, fesyen tekstil, bioteknologi dan herba serta banyak lagi.
Salah seorang peserta pameran, Dayang Ashmeranni binti Haji Mat Sani yang mengendalikan Syarikat RizQ’aisy di bawah Program Usahawan Bekarih YSHHB mengongsikan bahawa beliau memulakan perniagaannya pada tahun 2018 dan mendaftar nama syarikat pada tahun ini, dan pada tahun ini juga menerima bantuan dari pihak YSHHB.
Dari beliau mula menceburinya pada tahun lepas hinggi kini, sebanyak tiga kategori telah beliau hasilkan terdiri daripada sembilan jenis pes (paste), lapan jenis sambal, empat jenis kuah.
Dayang Ashmeranni bersama suaminya telah mengendalikannya sendiri di rumah sebelum membuat penghantaran kepada pelanggan yang menempahnya.



Sambutan jualan mereka itu menurutnya sangat menggalakkan ditambah lagi dengan sambutan perusahaan ka-tering mereka yang membantu memajukannya lagi.
“Idea ini sebenarnya dari warisan mulah orang tua saya juga. Masakan ini semua sekali resipi (turun-temurun), dan semenjak mereka meninggal dunia pada tahun lepas, inilah usaha saya untuk meneruskan lagi yang diturunkan oleh orang tua saya kerana ini adalah cita-cita mereka untuk menyuruh kami untuk berusaha sedemikian.
Beliau berharap agar produk mereka dapat dijual di kedai, bukan sahaja di dalam negara bahkan melepasi sempadan.
Hasil daripada pelajar
Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) juga turut mengambil bahagian dalam pameran tersebut. Timbalan Pengarahnya, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim semasa ditemu bual berkata bahawa pusat berkenaan mempamerkan produk-produk yang dihasilkan pelajar-pelajar UNISSA dari Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, sambil mempromosikan program-program di bawahnya, dari peringkat Ijazah, Ijazah Sarjana dan Kedoktoran (PhD).
“Salah satu produk pelajar ialah pakaian Al-Wahid dengan konsep fesyen sederhana halal dan media halal. Alhamdulillah, produk mereka menerima sambutan yang positif dari pensyarah serta generasi baru,” jelas Pengiran Dr Hajah Norkhairiah.
Beliau juga menjelaskan harapan mereka melalui pameran berkenaan agar ia dapat menarik generasi muda untuk menyertai mereka di Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban UNISSA, membuat penyelidikan mengenai Halal dan menghasilkan lebih banyak produk-produk halal seperti kosmetik Halal dan farmaseutikal halal.
Semasa di temu bual, pelajarnya, Awang Mohammad Sofian bin Alias dari Al-Wahid berkata bahawa perusahaan mereka bermula pada tahun lepas dan memfokuskan kepada pakaian yang berdasarkan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB). Apabila ditanya lebih lanjut mengenai produk mereka, Awang Mohammad Sofian menjelaskan bahawa pakaian mereka dibuat secara tempatan, mereka membeli kainnya, mereka bentuknya dan mengupah tukang jahit tempatan untuk menghasilkan pakaian mereka.
“Kami berharap melalui pameran ini, orang ramai dapat melihat produk tempatan kami terutama terhadap fesyen halal yang sederhana (modest) dan kami mensasarkan untuk menarik orang ramai untuk memakainya,” kata Awang Mohammad Sofian.
Produk tempatan
Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Brunei Darussalam (BD-BEBC), yang juga merupakan peserta BIHAS, semasa ditemui mengongsikan bahawa mereka mempamerkan produk-produk dari wakil-wakil majlis iaitu Multipro Resources Sdn Bhd, Perkhidmatan Hub Perdagangan Halal Antarabangsa dan Cottage and Youth Initiative Program.
Pengerusi BD-BEBC, Pengiran Haji Yura Kesteria bin Pengiran Setia Negara Pengiran Haji Mohd Yusof mengongsikan, “kesemua produk-produk ini dihasilkan secara tempatan dan telah dieksport ke negara-negara ASEAN.”
Menurutnya, produk-produk berkenaan dihasilkan oleh orang tempatan termasuk para belia yang telah menyumbangkan banyak bagi mereka untuk dieksport, serta produk-produk dari luar Brunei yang menggunakan pensijilan Halal Brunei seperti dari Sarawak.
Sambil mengharapkan sokongan daripada orang ramai dan kerajaan untuk memberi tumpuan kepada BD-BEBC, Pengiran Haji Yura Kesteria juga berkata bahawa penduduk tempatan perlu melibatkan diri secara aktif dalam perniagaan, dalam rangkaian dan pemasaran dengan menggunakan ‘e-commerce’.
Dengan bertemakan ‘Empowering the Borneo Halal Market’, BIHAS ke-2 yang lalu telah menyaksikan sebanyak 56 buah vendor dari Brunei Darussalam, Sabah, Sarawak, Indonesia dan institusi-institusi pendidikan tinggi menyertainya.