Oleh Sakini Mohd Said
PUTRAJAYA – Demografi warga emas Malaysia semakin meningkat dengan peratusan orang tua hampir mencecah 20 peratus daripada populasi menjelang 2040, menurut anggaran Jabatan Perangkaan.
Pada masa ini, sebanyak 9.6 peratus (atau 3.1 juta orang) daripada 32.3 juta penduduk negara adalah terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas. Angka itu dijangka meningkat pada tahun-tahun mendatang berikutan penurunan kadar fertiliti dalam kalangan rakyat Malaysia serta peningkatan jangka hayat.
Jabatan Perangkaan mendapati dalam tempoh 2010 hingga 2040, populasi warga emas (berumur 60 hingga 74 tahun serta 75 tahun dan ke atas) masing-masing diunjurkan berjumlah 1.8 juta orang dan 0.5 juta orang pada 2010. Menjelang 2040, angka tersebut dijangka meningkat kepada masing-masing 4.5 juta dan 1.8 juta orang.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2035 apabila 15 peratus penduduknya dikategorikan sebagai warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.
Selaras dengan peningkatan unjuran bilangan warga emas, kerajaan memperkenalkan dua dasar utama yang menjamin kesejahteraan golongan itu, Dasar Warga Emas dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2011 serta Dasar Kesihatan Warga Emas dan Pelan Tindakan Kesihatan Warga Emas Negara dilaksanakan Kementerian Kesihatan pada 2008.


Kedua-dua dasar dan pelan tindakan itu merupakan asas bagi penyediaan perkhidmatan dan kemudahan untuk warga emas untuk membolehkan mereka hidup dengan bermaruah, sejahtera dan terus menyumbang kepada pembangunan negara.
Aset nasional
Walaupun adanya Dasar Warga Emas yang menyeluruh dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya bagi memastikan kesejahteraan golongan itu, namun, masih ramai yang memandang enteng penjagaan kesihatan dan perancangan hari tua selepas persaraan.
Pengarah Warga Emas JKM Azmir Kassim berkata jabatan itu berdepan cabaran hebat dalam usahanya untuk memberi pemahaman kepada masyarakat mengenai risiko yang bakal dihadapi sekiranya mereka tidak bersedia menghadapi tahun-tahun keemasan mereka.
“Mentaliti mereka membimbangkan kami. Mereka tidak aktif dan tidak membuat sebarang persediaan (untuk hari tua mereka).
“Masalahnya, ramai yang mengharapkan anak-anak menjaga mereka semasa tua menyebabkan kebanyakannya tidak mengambil peduli penjagaan kesihatan dan perancangan hari tua mereka. Tetapi, apakah anak-anak akan menjaga mereka nanti?” katanya kepada Bernama.
Bimbang dengan senario itu, beliau mengakui mentaliti sedemikian menjadi penghalang kepada pembentukan warga emas sebagai aset negara yang terus aktif menyumbang sepertimana dizahirkan dalam Dasar Warga Emas Negara.
Sebenarnya, penting bagi warga emas menjadi individu aktif dan kesedaran ini perlulah bermula sejak dari muda supaya tidak menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan komuniti.
Lima dimensi
Dalam usaha mendayaupayakan warga emas masa kini dan akan datang untuk hidup lebih bermaruah, sejahtera serta terus menyumbang pada pembangunan negara, Azmir berkata JKM aktif melaksanakan hebahan menerusi pelbagai medium mengenai pentingnya membuat persediaan menghadapi hari tua selepas bersara.
Langkah itu sejajar dengan lima dimensi utama dalam konteks kesejahteraan Dasar Warga Emas Negara yang meliputi penuaan sihat, penuaan positif, penuaan aktif, penuaan produktif dan penuaan menyokong.
“Pengkhususan JKM buat masa ini adalah penanggungan warga emas seperti golongan miskin, terbiar, tidak berupaya urus diri dan sebagainya. Pelbagai bantuan kebajikan diberikan kepada mereka seperti bantuan kewangan, penjagaan institusi dan sebagainya.
“Sebolehnya kita hendak kawal atau kurangkan warga emas yang menerima bantuan atau dimasukkan ke institusi penjagaan dengan meningkatkan kesedaran mereka untuk mengamalkan kehidupan aktif dan persediaan hari tua. Kalau boleh, biarlah bantuan kewangan atau masuk rumah orang tua jadi pendekatan terakhir.
“Ini kerana, sekiranya kita tidak tukar mentaliti dan mencapai matlamat lima dimensi yang diinginkan oleh dasar, ia bukan sahaja menambahkan tanggungan kerajaan bahkan menyebabkan kesengsaraan hari tua mereka,” katanya.

Perkhidmatan meningkat
Buat masa ini, antara perkhidmatan yang diberikan JKM ialah Bantuan Orang Tua yang merupakan bantuan kewangan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas sebanyak RM350 setiap bulan.
Ia diberikan kepada orang tua yang tidak mempunyai mata pencarian tertentu untuk menyara kehidupannya dan jika mempunyai keluarga, mereka tidak berkemampuan untuk menyara ibu ayah.
Bantuan itu bertujuan untuk menggalakkan warga emas supaya terus tinggal dalam komuniti, katanya.
Pada 2017, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi JKM telah menyalurkan bantuan itu kepada 136,062 warga emas melibatkan peruntukan kewangan hampir RM489 juta iaitu 27.1 peratus daripada peruntukan keseluruhan Bantuan Kebajikan sehingga Disember 2017.
“Terdapat 2,693 warga emas tinggal di sembilan Rumah Seri Kenangan dan di dua Rumah Ehsan di bawah kendalian JKM di seluruh Malaysia sehingga Mei 2018.
“Jumlah ini akan bertambah sekiranya masyarakat tidak mengamalkan kehidupan aktif dan merancang hari tua mereka kerana populasi warga emas negara kian meningkat,” katanya.
PAWE
Memandangkan keseriusan senario penuaan itu, pelbagai program dirancang bagi memberi kesedaran dan pengetahuan bukan sahaja kepada warga emas tetapi pelbagai peringkat umur lain.
Antaranya adalah melalui pelaksanaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) iaitu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan orang tua yang melibatkan kerjasama strategik antara KPWKM dengan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bersifat serampang dua mata, PAWE bukan sahaja membangunkan potensi warga emas malah turut melibatkan pembabitan generasi muda dalam setiap programnya bagi memberi kesedaran mengenai persediaan hari tua serta pentingnya bergiat aktif pada usia emas.
Sehingga kini, sebanyak 59 PAWE sedang beroperasi dan memanfaatkan seramai 35,561 warga emas. Bagi 2018, JKM diberi peruntukan sebanyak RM3 juta untuk penubuhan 30 PAWE baharu.
Azmir berkata Program Intergrasi Warga Emas, Kanak-Kanak dan Remaja di PAWE dilihat sebagai medium pelaksanaan yang berkesan bagi memberi kesedaran kepada orang muda dan orang tua mengenai keperluan menjalankan aktiviti secara bersama.
“Pelbagai program dijalankan sama ada pemeriksaan kesihatan, bersukan, pembelajaran kemahiran baru, pendidikan agama dan sebagainya. Boleh dikatakan aktiviti ini sedikit sebanyak merealisasikan matlamat mewujudkan warga emas yang terus produktif menyumbang,” katanya. – Bernama