Oleh Hajah Saemah Kepli
BANDAR SERI BEGAWAN – Awang Nur Zahirulhaq Mostar bin Shafiee dari Institut Pendidkan Teknikal Brunei (IBTE) muncul juara manakala tempat kedua disandang oleh Dayang Siti Nor Amirah binti Haji Arun dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) dalam pertandingan Permainan Papan Moden anjuran Kelab Permainan Indoor IBTEC Kampus Sultan Bolkiah (SBC) yang berlangsung di Ner Dee Cafe, Setia Kenangan, Kiulap baru-baru ini.
Pertandingan disertai 33 orang pelajar dari IBTE SBC dan UTB ditaja oleh Ner Dee Cafe bagi memperkenalkan budaya permainan papan atau tabletop moden yang meningkatkan daya pemikiran pesertanya secara lebih analitik selain menggalakkan interaksi sosial dan mengukuhkan persahabatan.
Ini merupakan kali pertama IBTE bekerjasama dengan pihak luar dalam penganjuran pertandingan permainan tersebut, sekali gus berjaya menampilkan pasukan terbaik yang berpengetahuan tentang aturan permainan yang membolehkan peserta memahaminya dengan mudah, selain kemudahan permainan yang disediakan oleh Ner Dee memberikan banyak pilihan permainan yang menarik.
IBTE berharap permainan tersebut akan lebih giat dijalankan dalam aktiviti kokurikulum mereka pada masa akan dating.
