Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memperluaskan peluang kerjasama dua hala

    Oleh Sim Y.H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Dengan hasrat untuk membincangkan peluang bagi kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan dan logistik, rombongan dari Dewan Perniagaan Usahawan Sabah mengadakan lawatan dan perbincangan dengan Program Perniagaan iCentre Program Inisiatif Belia dan Kotej (CYiP) di iCentre, Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh CYiP, rombongan daripada Dewan Perniagaan Usahawan Sabah itu diketuai oleh Pengerusi Dewan Perniagaan Usahawan Sabah, Anita Mohammad dan Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Usahawan Sabah, Fitri Diana binti Mohammad Hashim.

    Semasa lawatan berkenaan, rombongan dialu-alukan oleh Pengetua Mentor CYiP dan Penasihat Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam (NCCIBD), Kapten (B) Zailan bin Pehin Datu Kerma Setia Mejar (B) Dato Seri Laila Jasa Mohd Don dan Mentor Kanan Sosioekonomi, CYiP, Dayang Norhayati binti Abu Bakar.

    Semasa lawatan itu, Kapten (B) Zailan dalam taklimat mengenai Program Perniagaan CYiP, menyatakan penghargaan kepada delegasi dari Sabah yang mengadakan lawatan berkenaan serta berharap ia akan membawa manfaat ke arah penubuhan kerjasama yang baik di antara kedua-dua belah pihak serta Brunei Darussalam.

    Dalam taklimatnya lagi, beliau menggariskan cabaran masa kini yang dihadapi oleh industri kotej di Brunei Darussalam iaitu rangkaian bekalan di mana penggunaan domestik oleh pihak kerajaan dan orang ramai menyumbang kepada lebih daripada 93 peratus import Brunei bagi kegunaan harian.

    Rombongan dari Dewan Perniagaan Usahawan Sabah yang diketuai oleh Anita bergambar ramai bersama Kapten (B) Zailan semasa mengadakan lawatan dan perbincangan bagi mengadakan kerjasama dua hala di antara CYiP iCentre dan Dewan Perniagaan Usahawan Sabah di iCentre, Anggerek Desa, kelmarin.

    Oleh itu, penggunaan import yang tinggi menjana sebuah vakum di rangkaian bekalan bagi penghasilan produk yang mengalami kekurangan sumber bahan mentah yang menjadikannya pengurangan kos yang efektif bagi pengusaha mikro untuk mengimport jumlah bahan mentah yang diperlukan untuk penghasilan produk mereka.

    Masalah itu, jelasnya, bertambah lagi dengan isu-isu lain termasuk kos logistik dan kapasiti penghasilan. Oleh itu, Program CYiP berusaha ke arah penghasilan konsep penghasilan mikro bagi produk-produk kualiti di peringkat tinggi dan pertengahan.

    Beliau mencadangkan bagi menjana hubungan perdagangan antara rangkaian sumber bahan mentah, kumpulan perniagaan, logistik dan pelaburan berusaha untuk menangani masalah serta isu-isu yang timbul.

    Dalam mempromosi pembuatan produk-produk halal, Kapten (B) Zailan menekankan usaha untuk menjadikan Brunei sebagai pusat halal antarabangsa untuk perdagangan secara dalam talian dan biasa menggunakan usahawan e-perniagaan dan pedagang tempatan.

    Beliau menerangkan bahawa Brunei mempunyai kelebihan dari segi lokasi geografi dan sosioekonominya sebagai sebahagian daripada BIMP-EAGA yang membantu dalam pergerakan perdagangan halal.

    Beliau berkata lagi bahawa terdapat pergerakan arena global bagi pasaran halal ke arah Komuniti Ekonomi ASEAN di mana kini ia bukan sahaja tertumpu pada negara-negara individu tetapi kepada ASEAN sebagai komuniti ASEAN.

    Menerangkan lanjut mengenai penembusan produk halal tempatan, beliau berkata bahawa walaupun produk halal untuk eksport adalah masih terhad tetapi produk-produk yang ada di bawah CYiP telah berjaya untuk menembusi pasaran ASEAN, China dan Timur Tengah melalui pelantar seperti cubejunction.com dan Brutrade International Sdn Bhd.

    Sementara itu, Anita dipetik menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Program CYiP bagi meraih manfaat bersama untuk mempromosikan pembuatan halal dan perusahaan kecil dan sederhana.

    Semasa lawatan itu, rombongan dari Dewan Perniagaan Usahawan Sabah berpeluang untuk melawat dewan pameran produk-produk perniagaan CYiP, kawasan operasi Cubejunction.com serta juga membincangkan mengenai kemungkinan bagi menjana kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan dan logistik.

    Delegasi juga menunjukkan minat dengan promosi perniagaan mikro dan nano serta perkembangan perusahaan kecil dan sederhana tempatan ke arah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), ASEAN+3 dan rantau BIMP-EAGA menerusi industri kotej.

    Lawatan itu juga membuka peluang perbincangan mengenai kemungkinan mengadakan kerjasama dalam bidang perdagangan dan logistik serta minat untuk menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik yang membawa manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

    Di samping itu, menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua belah pihak juga berminat untuk meningkatkan kerjasama dua hala khususnya untuk membantu satu sama lain dalam mempromosi dan menyelaraskan matlamat masing-masing supaya selari dengan Perkhidmatan dan Pusat Perdagangan Halal Antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda