Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) telah mengadakan Bengkel Pembangunan Kapasiti bertajuk Enhancing Value Through Nature Tourism, pada 23 dan 24 Julai lalu.
Menurut kenyataan JKP, hari ini, inisiatif itu mengetengahkan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam memupuk pelancongan alam sekitar yang bertanggungjawab, berpandukan komuniti serta selaras dengan prinsip kemampanan.
Seramai 30 peserta mengambil bahagian dalam bengkel tersebut yang merangkumi penyedia perkhidmatan pelancongan, ejen-ejen pelancongan dan jurupandu pelancong.
Bengkel itu dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman dari Institute for Tropical Biodiversity and Sustainable Development, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.
Para fasilitator bengkel membawa pengalaman yang relevan dalam biodiversiti dan ekopelancongan serta telah menyumbang kepada pelbagai program dan aktiviti menyokong produk-produk berasaskan alam semula jadi.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah JKP, Dayang Salinah binti Haji Mohd Salleh menekankan pentingnya untuk membangunkan sebuah sektor pelancongan yang bukan sahaja berdaya maju dari segi ekonomi tetapi juga inklusif dan mampan alam sekitar.
Beliau menyatakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelancongan alam semula jadi telah muncul sebagai lebih daripada hanya trend pelancongan, ia telah menjadi sebuah pergerakan yang berkembang dan mencerminkan tanggungjawab bersama kita dalam melindungi alam semula jadi sambil menjana pengalaman bermakna.
Komponen utama bengkel tersebut ialah sesi pembelajaran di Pusat Penyelidikan Biodiversiti Universiti Brunei Darussalam di mana para peserta dibawa menerokai alam semula jadi untuk mendengar, memerhati dan mempelajari bagaimana untuk menjana tawaran produk pelancongan yang dipacu nilai dan tulen.
Bengkel itu merupakan sebahagian usaha JKP secara meluas untuk membangun sebuah sektor pelancongan yang mengimbangi pemuliharaan alam sekitar, penglibatan bermakna pelawat dan pertumbuhan ekonomi mampan