LONDON – Bagi kanak-kanak yang membesar dalam kelompok masyarakat tanpa penggunaan wang tunai, tabung wang kini juga telah beralih kepada konsep alam maya.
Bapa kepada dua orang anak, Roland Hall beralih kepada aplikasi wang saku digital firma baru Britain kerana anaknya masih terlalu kecil untuk mendapatkan kad bank mereka sendiri daripada bank tradisional.
Dengan kad debit prabayar yang dihubungkan kepada aplikasi itu, anak-anak Hall yang berusia dalam lingkungan lapan dan 10 tahun, boleh membelanjakan elaun mereka dan wang kerja harian dengan membeli-belah di Internet atau menggunakan terminal bayaran tanpa sentuhan atau kontak di kedai.
Ketika ditanya sama ada ia kelihatan seperti cara untuk mempromosikan langkah untuk berbelanja besar namun ternyata Hall menjelaskan bahawa ia sama sekali tidak.
“Apabila kanak-kanak mempunyai wang tunai, mereka seringkali memilih untuk membelanjakannya dengan segera. Mereka mahu pergi ke kedai dan membelanjakannya ke atas benda-benda yang tidak berguna,” kata Hall, seorang pengurus projek IT. Namun terdapat satu aplikasi yang membenarkan mereka untuk memeriksa baki di atas talian, yang sebenarnya turut mendorong mereka memikirkan untuk menyimpan wang dan bukannya menghabiskan wang berkenaan,” kata Hall, yang juga memilih untuk memberikan elaun digital memandangkan dia sendiri juga tidak gemar untuk membawa wang secara tunai.



Aplikasi itu, dikenali sebagai gohenry dan berkembang ke AS pada April, di mana ia merupakan sebahagian daripada aliran aplikasi wang digital bergabung dengan kad prabayar untuk kanak-kanak berusia enam tahun di mana ibu bapa mempunyai akses.
Ia merupakan sejenis teknik pengurusan wang baharu yang berpengaruh dan alat simpanan yang menggantikan tabung simpanan lama serta buku akaun.
Sesetengah orang menjelaskan bahawa aplikasi itu dapat membantu untuk mempertingkatkan kemahiran anak untuk celik kewangan walaupun tatkala pertumbuhan bayaran tanpa wang tunai secara tidak langsung menggantikan tanggapan wang secara tradisional.
Di peringkat antarabangsa, jumlah transaksi bukan berasaskan wang tunai telah meningkat sebanyak 11.2 peratus kepada 433 bilion pada tahun 2015 berbanding tahun sebelumnya dan diramalkan akan bertambah sebanyak dua kali ganda menjelang tahun 2020, menurut Laporan Bayaran Dunia oleh firma perkhidmatan kewangan Capgemini dan BNP Paribas.
Menurut laporan laman web mata wang ForexBonuses bagi tahun 2017 menjelaskan bahawa Britain, Kanada dan Sweden adalah antara negara yang berurusan tanpa penggunaan wang tunai paling banyak di mana lebih gemar memilih penggunaan kad bank ‘tanpa kontak’ yang membenarkan pembeli untuk menggunakan terminal bayaran bagi melakukan sebarang transaksi kecil.
Di China, beberapa aplikasi mudah alih seperti Alipay dan WeChat Pay memberi kebenaran kepada remaja untuk memiliki akaun bagi tujuan pembayaran.
Hong Kong pula menawarkan versi pembayaran bagi kanak-kanak melalui kad Octopus, berdasarkan teknologi yang lebih lama.
Di AS, sektor perbankan yang berpecah-belah bermakna kebanyakan kad masih perlu digunakan dan, ada kalanya memerlukan nombor pin.
“Peniaga di bandar AS besar tidak menggunakan wang tunai pada masa ini kerana mereka boleh mengumpul lebih banyak data pelanggan, yang menjadikannya lebih sukar untuk remaja menjalani kehidupan tanpa kad bank,” kata Stuart Sopp, Ketua Pegawai Eksekutif Current, firma baharu AS yang berusia dua tahun.
“Ibu bapa rela membayar demi menyelesaikan masalah yang tidak diselesaikan oleh bank – khususnya dalam membantu remaja untuk mengendalikan wang secara digital,” jelas Sopp.
Current, Gohenry dan firma lain seperti Nimbl dan Osper di Britain, Spriggy dan Famzoo di Australia dan Greenlight dari AS beroperasi berdasarkan prinsip yang sama.
Pada kebiasaannya, mereka mengenakan bayaran bulanan atau tahunan untuk kad debit prabayar.
Ibu bapa boleh memindahkan wang daripada bank mereka ke dalam akaun mereka sendiri, menetapkan jumlah elaun mingguan dan had perbelanjaan, menyenaraikan kerja dilakukan untuk memperoleh wang tambahan, dan menyekat transaksi tertentu, seperti membeli-belah di Internet.
Wang dihantar kepada akaun kanak-kanak, yang boleh digunakan oleh mereka untuk menetapkan matlamat simpanan.
Aplikasi Current menghimpunkan setiap transaksi dan memindah baki ke dalam akaun simpanan.
“Lebih menarik lagi, apabila aplikasi itu turut menghantar peringatan segera mengenai transaksi, satu ciri yang disukai oleh ibu bapa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Gohenry, Alex Zivoder.
“Anda memberikan wang tunai kepada seorang kanak-kanak, setentunya sebagai seorang ibu bapa juga ingin tahu mengenai apa yang akan dilakukannya terhadap wang itu?” kata beliau.
Hall berkata anak lelakinya, Ralph, 8, menggunakannya untuk menyimpan wang untuk membeli kasut bola sepak berharga 70 pound dan permainan video Playstation sementara anak perempuannya Lilly, 10, menyimpan untuk membeli kasut atau pakaian. Kedua-dua mereka juga menyimpan untuk membeli permainan video Fortnite.
Dia menjelaskan bahawa dia memilih untuk beralih kepada aplikasi tersebut kerana dia mahu mereka dapat memahami nilai wang.
Aplikasi itu telah mencatat kejayaan di tengah ketidakpastian yang meningkat di kalangan orang dewasa tentang bagaimana peralihan kepada bayaran tanpa wang tunai boleh menjejaskan pandangan kanak-kanak mengenai wang.
Dalam satu tinjauan di UK yang dijalankan pada tahun lalu oleh Prudential, kira-kira 78 peratus daripada guru-guru dan 37 peratus daripada ibu bapa berkata ia sememangnya menjejaskan pemahaman kanak-kanak tentang wang.
Lebih dari satu perempat pengguna merasakan kad tanpa kontak menggalakkan mereka untuk berbelanja dengan lebih dan tidak membantu mereka untuk mengembangkan kemahiran aritmetik mental serta pengendalian wang tunai, menurut tinjauan ke atas 501 pasangan ibu bapa. Tidak ada margin kesilapan yang diberikan.
Ia merupakan isu yang membimbangkan, kata Russell Winnard, Ketua program dan perkhidmatan di Badan Kebajikan Pendidikan Kewangan Young Money, sebuah badan kebajikan, namun beliau menambah aplikasi tersebut boleh membantu ibu bapa untuk menjelaskan kepada kanak-kanak mengenai cara wang berfungsi.
“Orang muda melihat transaksi wang tunai yang semakin berkurangan, yang bermakna kami perlu bersikap lebih was-was untuk bercakap tentang apa yang berlaku pada setiap peringkat berkenaan kerana ia telah menjadi sesuatu yang semakin abstrak,” kata Winnard.
Paddy Kelly, seorang lagi pengguna Gohenry, berkata beliau mula menggunakannya kerana beliau sedang mencari cara yang lebih baik untuk membantu anak perempuannya yang berusia lapan tahun, Ailish, untuk menyimpan wang yang secara tidak langsung turut mempertingkatkan kemahiran matematiknya.
Dia mempunyai tabung wang yang penuh dengan duit syiling tetapi adiknya asyik mengosongkannya, kata Kelly.
Dia sangat menyukai ciri-ciri simpanan aplikasi, yang telah digunakan oleh anak perempuannya untuk menetapkan matlamat untuk menyimpan 20 pound, pada 2 pound seminggu, dengan tujuan untuk membeli seekor binatang kesayangan.
Memujuknya untuk memikirkan masa yang akan diambil untuk mencapai matlamat berkenaan adalah lebih baik daripada memaksanya melakukan soalan matematik abstrak, yang hanya akan membuatnya “berang,” kata Kelly.
“Ia secara tidak langsung membantu dalam memikirkan mengenai wang secara lebih bijak,” kata Kelly.
“Wang adalah satu konsep yang abstrak, dalam dunia hari ini ia dapat difahami di mana kanak-kanak menggunakan aplikasi wang saku digital,” jelasnya. – AP