Friday, December 27, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mempromosi perkembangan mukim, kampung

    TUTONG – Program Sua Muka Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri telah diteruskan lagi baru-baru ini di kediaman Ketua Kampung Ukong, Haji Mohd Nendaroh bin Datu Kornia Diraja Gadong.

    Mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Pengarah Penerangan Awang Mawardi bin Haji Mohammad dengan disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan dari Ibu Pejabat Jabatan Penerangan dan Cawangan Penerangan Daerah Tutong.

    Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, program ini adalah salah satu program di bawah strategi kerja jabatan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dan rakyat. Ia juga merupakan platform bagi mendapatkan isu-isu, pendapat dan cadangan yang perlu diambil perhatian serta tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam kerajaan.

    Dalam masa yang sama, program ini menjadi platform bagi memberigakan dan mempromosikan perkembangan dan kemajuan mukim dan kampung, terutamanya tempat dan produk untuk diperkenalkan kepada orang ramai, dalam dan luar negara melalui penulisan rencana Kenali Negara Kitani (KNK) untuk disiarkan di Pelita Brunei.

    Awang Mawardi ketika menyampaikan ucapannya semasa program tersebut baru-baru ini.

    Kampung Ukong mula ditadbir oleh Haji Muhd Nendaroh sejak 2 Disember 1996 hingga sekarang ini termasuklah Kampung Pangkalan Dong, Kampung Pangkalan Ran, Kampung Pak Bidang/Rumpau dan Kampung Sungai Damit Pemadang. Dengan keluasan 26 kilometer persegi, keramaian penduduk Kampung Ukong kini ialah 1,292 orang.

    Antara produk yang dihasilkan oleh penduduk Kampung Ukong ialah sagu di mana tempat memproses ambulong ini merupakan tempat yang sering dikunjungi oleh pengunjung dari luar dan dalam negara. Selain itu, penduduk kampung juga masih aktif dalam membuat kraftangan seperti kait-kait.

    Dalam Program Sua Muka ini, beberapa isu turut dikongsikan daripada pihak majlis perundingan kampung iaitu mengenai kemudahan dan prasarana awam; menaik taraf jalan raya, pembinaan masjid dan balai raya, rumput panjang yang tiada pemantauan oleh agensi yang berkenaan dan memohon tapak baharu bagi menanam pokok-pokok rumbia serta tempat pemprosesan pembuatan ambulong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda