Wednesday, January 1, 2025
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mempromosikan Brunei sebagai destinasi pelaburan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), baru-baru ini, telah mengadakan Perbincangan Meja Bulat bertajuk Looking Beyond towards a Sustainable Economy, di Royal Plaza on Scotts Hotel, Singapura.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LKEB, di sini, perbincangan meja bulat eksklusif berkenaan telah dihadiri oleh ketua-ketua pegawai eksekutif dan pemimpin syarikat-syarikat jemputan termasuk firma antarabangsa yang berpangkalan di Singapura serta wakil-wakil daripada pelbagai persatuan perdagangan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga Pengerusi LKEB.

    Dalam ucaptama, Yang Berhormat Dato mengalu-alukan para peserta untuk mempertimbangkan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi seterusnya bagi perniagaan dan pelaburan di Asia Tenggara dengan memanfaatkan kelebihan Brunei yang antara lainnya ialah kestabilan politik, lokasi strategik di Asia Tenggara, ekosistem perniagaan yang semakin meningkat, kesalinghubungan pengangkutan serta akses ke pasaran-pasaran di Borneo, rantau BIMP-EAGA dan global.

    Acara meja bulat itu menyediakan platform bagi para peserta mengetahui dengan lebih
    terperinci mengenai perkembangan terkini dan peluang-peluang yang muncul dalam lima sektor keutamaan Brunei iaitu hiliran mi-nyak dan gas, makanan, perkhidmatan, ICT dan pelancongan.

    Dalam perbincangan yang diadakan, para peserta berkongsi keutamaan dan perancangan bagi perkembangan di Asia Tenggara dan menyoal mengenai iklim pelaburan, dasar-dasar dan rangka kerja pengawalseliaan Brunei.

    Dalam menyokong acara itu, ketua-ketua pegawai eksekutif bagi tiga buah syarikat Brunei dijemput iaitu Bank Baiduri, Datastream Digital Sdn Bhd (DST) dan Polygel Organometallic (Brunei) Sdn Bhd mengambil peluang berkenaan untuk mengongsi pandangan, pengalaman dan peluang-peluang berpotensi dalam bidang industri masing-masing khususnya perbankan dan pembiayaan korporat, telekomunikasi dan ekonomi digital serat kimia khusus.

    Selaras dengan mandatnya untuk membantu mengembangkan dan mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam khususnya dalam mempromosikan dan memudah cara pelaburan langsung asing (FDI) ke Brunei, LKEB akan terus menyasarkan program penglibatan dan pendekatan dalam pasaran-pasaran sumber berpotensi seperti Singapura, memanfaatkan hubungan dua hala yang cemerlang, persahabatan sekian lama dan peranan ekonomi saling melengkapi antara Brunei dan Singapura.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai bersama ketua-ketua pegawai eksekutif dari tiga buah syarikat Brunei yang menyertai perbincangan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN LKEB
    Perbincangan Meja Bulat bertajuk Looking Beyond towards a Sustainable Economy, di Royal Plaza on Scotts Hotel, Singapura, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN LKEB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda