Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 19 April – Dalam usahanya untuk mempromosikan kesedaran alam sekitar, Pusat Membeli-Belah KBSentral akan mengadakan acara Hari Kesedaran Alam Sekitar pada 26 April ini.
Acara itu nanti akan diserikan lagi dengan berbagai-bagai aktiviti termasuk mewarna dan Kuiz Alam Sekitar di samping permainan lainnya yang dijangka bermula pukul 2 petang hingga 6 petang.
Aktiviti-aktiviti berkenaan dibukakan bagi penyertaan kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun dan borang penyertaan bagi acara itu nanti boleh didapati di kaunter cabutan bertuah di kawasan pintu masuk ke KBSentral.
KBSentral dalam kenyataannya hari ini memberitahu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang akan diadakan pada hari tersebut yang dijangka diadakan di kawasan Atrium pusat membeli-belah itu.
Orang ramai juga akan berpeluang merakamkan kenangan dengan mengambil gambar di pondok gambar yang bertemakan ‘Taman Mini’ dan boleh tag kepada media sosial pusat membeli belah itu di Instagram dan Facebook.