Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mempromosikan produk pelancongan Brunei

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Pakej Pelancongan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer Warisan Negara telah dilancarkan semalam bagi mengetengahkan produk-produk pelancongan yang sedia ada di Kampong Ayer dan Bandar Seri Begawan.

    Pelancarannya pada majlis yang diadakan di Galeri Seni, Dermaga Diraja, di ibu negara, disempurnakan bersama oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

    Pakej baru berkenaan merangkumi lapan pakej pelancongan iaitu Full Day City and Water Village Tour, Half Day City Tour, Kampong Ayer, Sunset River Safari, Night City Tour, Heritage Drive, Bandar Seri Begawan Walking Tour, dan Proboscis Monkey Tour.

    Ia merupakan kesinambungan kepada Pakej Percutian Temburong yang telah dilancarkan pada 1 September 2016 lalu oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam usaha mengukuhkan produk pelancongan utama di negara ini.

    Pakej ini juga bertujuan meningkatkan usaha ejen-ejen pelancongan agar lebih aktif memasarkan produk-produk pelancongan sama ada dalam negeri dan juga antarabangsa.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar; Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa melancarkan majlis perasmian itu.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar; Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa melancarkan majlis perasmian itu.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar merasmikan Pameran Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer Warisan Negara.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar merasmikan Pameran Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer Warisan Negara.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menyaksikan pameran lukisan-lukisan Kampong Ayer.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menyaksikan pameran lukisan-lukisan Kampong Ayer.

    Ia turut menggalakkan ejen pelancongan untuk menawarkan harga yang berpatutan dan menggalakkan penduduk tempatan untuk melancong dalam negeri terutamanya semasa musim cuti persekolahan.

    Majlis berkenaan turut menyaksikan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar merasmikan Pameran Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer Warisan Negara.

    Pameran dan jualan berkenaan melibatkan penyertaan majlis-majlis perundingan kampung (MPK), ejen-ejen pelancongan dan pengusaha pelancongan dengan memberikan tumpuan utama kepada penjualan pakej-pakej pelancongan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer. Ia dibukakan untuk kunjungan orang ramai selama dua hari hingga hari ini.

    Majlis juga diselajurkan dengan perasmian Pusat Maklumat Pelancong oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali.

    Pusat Maklumat Pelancong ini bertujuan bagi memudahkan lagi para pelancong yang berkunjung ke negara ini untuk mendapatkan maklumat mengenai tempat-tempat menarik dan kemudahan-kemudahan pelancongan di negara ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa menandatangani plak pelancaran.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa menandatangani plak pelancaran.
    Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan semasa melawat ke pameran ejen-ejen pelancongan.
    Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan semasa melawat ke pameran ejen-ejen pelancongan.

    Turut dilancarkan adalah Jejak Warisan (Heritage Trail) Brunei Darussalam yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.

    Jejak Warisan (Heritage Trail) Brunei Darussalam ini merupakan projek Jabatan Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi memelihara dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap tapak-tapak dan bangunan bersejarah di Bandar Seri Begawan, yang telah diwartakan di bawah Akta Purbakala dan Harta Terpendam 1967 edisi semakan 1984, 1991 dan 2002.

    Atur cara majlis juga diserikan dengan aktiviti menyusuri Sungai Brunei dengan menaiki kapal persiaran MV Sentosa yang juga disertai Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli Lembaga Pelancongan Brunei Darussalam dan jemputan khas yang lain.

    Kapal persiaran MV Sentosa merupakan kapal persiaran yang menawarkan perkhidmatan menyusuri Sungai Brunei dan bagi menyaksikan pemandangan persekitaran Kampong Ayer.

    Tetamu-tetamu khas yang hadir juga dijemput menyaksikan Pameran Bandar Seri Begawan: Bandar Kebudayaan ASEAN, yang mana Bandar Seri Begawan telah diisytiharkan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN (ASEAN City of Culture) pada 24 Ogos 2016 sehingga April 2018 nanti.

    Antara produk 1K1P yang dipamerkan.
    Antara produk 1K1P yang dipamerkan.

    Turut dipamerkan adalah kegiatan-kegiatan kesenian dan kebudayaan yang ada di Bandar Seri Begawan serta pameran lukisan-lukisan daripada koleksi Jabatan Muzium-Muzium dan artis-artis negara.

    Lukisan-lukisan tersebut dihasilkan bersama oleh pelukis-pelukis tempatan dari Rainforest Gallery dan dari China semasa lawatan mereka ke Daerah Temburong pada November lalu. Keindahan alam semula jadi dan persekitaran Daerah Temburong dapat dilihat dengan jelas pada lukisan-lukisan yang dipamerkan.

    Bagi memeriahkan lagi majlis pelancaran berkenaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui Jabatan Bandaran dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah mengadakan beberapa aktiviti sampingan bermula petang kelmarin sehingga hari ini yang dimuatkan dengan gerai-gerai jualan, permainan kanak-kanak dan pertunjukan di Dermaga Diraja.

    Seterusnya, acara lumba perahu tradisi juga diadakan anjuran MPK Kota Batu, Pintu Malim dan Sungai Lampai, Mukim Kota Batu di perairan Sungai Brunei mulai jam 8 pagi hingga 5 petang hari ini.

    Di samping itu, sukan ria juga diadakan di padang Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara. Kesemua acara-acara ini adalah sebagai mendukung Program Bandarku Ceria yang diadakan setiap Ahad.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda