KANO – Kelihatan penggunaan warna indigo, sedikit abu dan juga perjalanan masa diambil kira oleh pekerja-pekerja pewarna kain di sebuah tempat di Kano. Lubang-lubang pewarna yang terdapat di sebuah kota di utara Kano, Nigeria dikatakan sebagai warisan yang terakhir dari jenis mereka selepas kegiatan itu dilakukan selama lima abad di negara itu.
Kebanyakan lubang-lubang pewarna di Kofar Mata telah ditinggalkan dan terbiar disebabkan anak-anak yang mewarisi tradisi dan bangunan itu memutuskan untuk tidak meneruskan tradisi itu sebaliknya cuba mengejar dan mencari pekerjaan yang lain.
Anak-anak muda ini terus melupakan kemahiran mereka yang diturunkan dari generasi ke generasi manakala mereka yang masih mempraktikkan tradisi itu, berjongkok di atas lubang pewarna itu sambil mengenakan sarung tangan, berusaha keras menghasilkan kain biru yang sangat terkenal khususnya di peringkat antarabangsa.
Mereka yang masih meneruskan tradisi ini adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi kerana proses menghasilkan kain indigo ini memerlukan masa yang lama untuk disiapkan.
Kain yang ditenun itu digantung di atas dawai yang tajam dan mengelilingi kawasan lubang-lubang pewarna tersebut untuk dikeringkan. Antara warna-warna yang digunakan terhadap kain ini seperti warna langit biru hingga biru gelap dan kemudian dilukis dengan pelbagai reka bentuk romantik seperti bulan dan bintang serta banyak lagi. Kain ini juga berfungsi menunjukkan kekayaan, tahap pendidikan dan juga kekuasaan.




Menarik perhatian pelancong
Bangunan yang menempatkan lubang-lubang pewarna ini mula diasaskan pada tahun 1498, telah berjaya menarik perhatian pelancong dan peniaga dari seluruh wilayah Sahel sehingga ke kawasan Kano, sehingga membantu lagi memperkenalkan bandar itu sebagai salah sebuah bandar yang paling makmur sekali di Afrika Barat ketika itu.
Kain tersebut masih digunakan pada hari ini oleh masyarakat Nomad di mana ia dibalut dengan baik dan sempurna. Kadangkala kain ini turut mengalami kekurangan khususnya dalam kilauan warnanya berikutan proses yang rumit dan memakan masa yang lama.
Penyediaan pewarna indigo memakan masa yang lama di mana kain ini direndam terlebih dahulu selama beberapa jam untuk menjadikan kain itu berwarna gelap. Pekerja lelaki secara bergilir-gilir akan mengangkat kain itu dari lubang-lubang pewarna untuk menambah lagi titikan warna tersebut agar ia kelihatan lebih pekat. Kebanyakan mereka berkata bahawa proses itu seperti melakukan pernafasan di mana cecair potassium berperanan untuk menguatkan lagi warna indigo tersebut dari kabur dan hilang.
Lubang pewarna Indigo tidak menggunakan bahan-bahan kimia, kata Lawan Ismailu yang berusia 50 tahun kepada media. Dia mencelup jarinya ke dalam buih yang berwarna biru dan menjilatnya, kemudian tersenyum serta berkata, “Ia seperti rasa ayam,” katanya kepada media AP. Indigo juga berperanan seperti ubat yang baik, dia menjelaskan kepada media.
Sesetengah pekerja mengadu tentang persaingan dari kain-kain China yang telah memasuki pasaran negara itu dan dijual dengan harga yang murah. Kain-kain tersebut berkualiti rendah dan warnanya cepat pudar berbanding kain yang dibuat oleh penduduk tempatan.
“Tuhan telah menjadikan Buhari untuk membantu kami,” kata seorang artis seni, Ibrahim Ahmed yang menggesa presiden Nigeria untuk mengenakan tarif yang tinggi ke atas tekstil yang diimport, sama seperti yang dilakukan oleh pentadbirannya terhadap beras import sekali gus mempromosikan pengeluaran industri tempatan.
“Adalah lebih baik kita menggunakan produk-produk keluaran kita sendiri,” tambahnya kepada media.
Mengurangkan gejala kemiskinan penduduk
Buhari, sedang berkempen untuk kali kedua dalam pilihan raya baru-baru ini telah berjaya dalam pilihan raya pemilihan presiden baharu berikutan tindakannya mengenakan tarif di mana dia disokong oleh berjuta-juta penduduk Nigeria yang hidup dalam kemiskinan yang melampau. Namun ada yang mengatakan bahawa ia terlalu kecil dan terlalu perlahan untuk direalisasikan.
Rakan sekerja Ibrahim, Ismailu mengakui bahawa kadar mata wang semakin menurun khususnya dalam industri tekstil yang semakin menurun. Kebanyakan peniaga tekstil juga merungut disebabkan sesetengah pengusaha tekstil sudah mula menggunakan sumber teknologi untuk menghasilkan tekstil mereka yang menarik dan perkara ini memberikan persaingan yang lebih sengit dalam kalangan peniaga-peniaga tekstil.
Kesan perkara itu turut menyelubungi lubang-lubang pewarna, kata Idayat Hassan, pengarah Pusat Demokrasi dan Pembangunan di ibu kota Nigeria, Abuja. “Ia seperti satu alat untuk merosakkan budaya.
“Ia telah mengambil alih pasaran dan menyebabkan pengangguran yang tinggi di beberapa sektor,” katanya.
Walau bagaimanapun, kain indigo Nigeria terus menarik perhatian orang ramai termasuk dari penduduk yang kaya dan golongan diraja dari Emirat Kano yang masih mementingkan kehalusan dan sentuhan kain tradisional yang dihasilkan oleh penduduk-penduduk tempatan.
Bagi mereka yang mencari aksesori yang lebih baik dan bermutu berbanding fabrik buatan sendiri itu, satu kawasan di belakang adalah bagi kain berkualiti dengan tertera perkataan ‘Made in Germany’ atau ‘Made in Britain’ dengan harga 25,000 naira dianggap sebagai ‘big men’ oleh penduduk Nigeria.
Walaupun banyak lubang-lubang pewarna tradisional telah terbengkalai dan terkesan berikutan perkembangan trend dunia namun Ismailu berkata bahawa mereka akan terus berusaha mengekalkan tradisi itu walaupun berdepan dengan cabaran-cabaran berbangkit yang mampu menggugat kedudukan mereka. “Kami akan sentiasa menjaganya,” tambahnya kepada media. – AP