Oleh Sim Y.H.
DENGAN hasrat untuk memasyarakatkan dan menanamkan minat terhadap sejarah termasuk sejarah Brunei dalam kalangan generasi muda tempatan khususnya di kalangan murid-murid sekolah rendah, Pusat Sejarah Brunei mengadakan Pameran Bergerak: Generasi Celik Sejarah di Sekolah Rendah Berbuloh dan Sekolah Rendah Batang Mitus, Daerah Tutong, baru-baru ini.
Pameran yang diadakan di Sekolah Rendah Berbuloh merupakan sekolah pertama yang dikunjungi bagi 2019 manakala pameran yang diadakan di Sekolah Batang Mitus merupakan sekolah kedua yang dikunjungi bagi 2019.
Selain pameran, beberapa aktiviti turut diadakan termasuk taklimat sejarah, kongsi sama cerita lagenda, kuiz sejarah dan tunjuk cara pembuatan salasilah.
Pameran bergerak berkenaan merupakan salah satu cabang pendekatan bagi memasyarakatkan sejarah Brunei kepada para pelajar, khususnya sekolah rendah di seluruh negara sebelum mereka berpindah ke peringkat menengah.
Pameran yang membawa tema ‘Generasi Celik Sejarah’ memberikan pengetahuan kepada pelajar-pelajar sekolah mengenai sejarah Negara Brunei Darussalam di samping memberikan pendedahan kepada generasi muda khususnya murid sekolah rendah mengenai kaedah serta pendekatan sejarah yang lebih mudah untuk diketahui.
Pameran bergerak yang dijalankan sejak 2016 berkenaan, dihasratkan untuk menjadi platform kepada para pelajar sekolah rendah untuk lebih memahami dan meminati mata pelajaran sejarah dengan lebih dekat menerusi bahan-bahan yang dipamerkan.
Selain itu juga, ia bertujuan untuk mengembangkan bakat dan minat para pelajar dalam bidang sejarah di samping memberi kesedaran kepada generasi muda tentang kepentingan mempelajari dan mengetahui sejarah.
