TOKYO, 22 APRIL – Selepas menyimpan wang selama 10 tahun untuk membeli kereta idamannya, Ferrari 458 Spider serba baharu, seorang lelaki Jepun terpaksa duduk dan termenung melihatnya terbakar dalam masa sejam selepas memandunya buat kali pertama.
Menurut Oddity Central, Media sosial Jepun telah dihebohkan dengan kisah sedih Honkon, seorang penerbit muzik muda yang telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk membeli kereta sport Ferrari idamannya.
Namun, malang baginya apabila kereta tersebut terbakar pada hari dia memandunya buat kali pertama.
Lelaki berusia 33 tahun membuat hantaran ke X untuk berkongsi kisah bagaimana dia hanya dapat menikmati Ferrari idamannya selama beberapa minit sebelum ia terbakar ketika dia memandu di Lebuhraya Shuto di Tokyo, pada 16 April lalu.
Dia sedang memandu uji dengannya apabila dia tersedar akan asap putih yang disangka dari kereta lain di sebelah pada mulanya.
Tetapi setelah kereta itu beredar, Honkon menyedari asap jelas keluar dari Ferrari baharunya itu dan dia terus keluar dari kenderaan serta menghubungi bomba.
Dia menghabiskan 20 minit seterusnya menyaksikan kereta mewahnya itu terbakar hampir sepenuhnya.
“Saya rasa sayalah satu-satunya orang di Jepun yang mengalami masalah seperti ini,” tulis Honkon di X, dengan kapsyen gambar kereta yang terbakar itu. “Saya membelanjakan 43 juta yen dan yang saya dapat hanyalah foto ini”.
Jabatan Polis Metropolitan Tokyo mengesahkan bahawa tiada tanda perlanggaran pada Ferrari Honkon, tetapi siasatan masih dijalankan. Dipercayai kebakaran bermula dari enjin kereta itu, namun puncanya masih belum diketahui.
Walaupun jelas sedih dengan nasib malangnya, Honkon, memberitahu peminatnya bahawa dia gembira kerana masih selamat dan hidup, kerana dia takut kereta tersebut akan meletup. – Agensi