Monday, December 2, 2024
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menabung amalan mulia

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Tanggal 28 Mei merupakan Hari Menabung Kebangsaan yang disambut setiap tahun di negara ini sejak ia mula dilancarkan pada tahun 2015 dengan objektif mempromosikan budaya menabung dan pengurusan wang yang berhemah selain meningkatkan tahap celik kewangan serta kesedaran terhadap produk kewangan.

    Amalan menabung merupakan satu tabiat menyimpan sebahagian daripada pendapatan atau wang secara teratur untuk tujuan masa depan atau bagi kegunaan tertentu.

    Menabung memiliki banyak manfaat, antaranya membantu menghadapi kejadian tidak diduga, mencapai matlamat kewangan, dan memberikan ketenangan fikiran.

    Banyak dalam kalangan masyarakat kita yang telah membiasakan diri untuk menabung sejak kecil lagi bagi mengajar kanak-kanak supaya pandai menguruskan kewangan dengan bijak dan seterusnya dapat dipraktikkan apabila mereka sudah menjadi dewasa.

    Begitulah yang dilakukan oleh seorang pekerja syarikat swasta, Dayang Suriana binti Kamis semasa ditemui oleh penulis yang mengongsikan bahawa dia sering mengingatkan dan menggalakkan anak-anaknya untuk sentiasa berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian mereka serta membuat simpanan bagi mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan.

    Awang Mohammad Ziidan Taqiyya (kiri) dan adik-beradiknya bersama mainan idaman mereka yang dibeli menggunakan sebahagian daripada duit tabungan yang mereka keluarkan setiap tahun.
    Dayang Suriana ketika ditemui penulis.
    Awang Muhd Za’im Aiman seronok usaha menabungnya sejak kecil disokong oleh ibu bapanya dan juga pihak sekolah.

    “Sekiranya anak saya menginginkan sesuatu, misalnya telefon bimbit mahupun tablet, saya akan menyuruh mereka menyimpan wang perbelanjaan sekolah mereka pada setiap hari dengan jumlah tertentu dan akan memberikan mereka insentif wang tambahan sekiranya mereka dapat mencapai simpanan yang tertentu bagi membeli peranti yang mereka mahukan itu.

    “Ia bukan saja dapat mengajar mereka untuk menabung, malahan dapat mendidik mereka bahawa untuk mendapatkan sesuatu itu adalah tidak mudah. Dengan cara ini, mereka akan lebih menghargai sesuatu yang mereka miliki,” tambahnya.

    Perlu sokongan semua

    Sebagai ibu bapa atau penjaga kanak-kanak, amalan menabung haruslah dipupuk dan diberikan sokongan bagi menyuntik semangat kepada kanak-kanak itu agar mereka terbiasa dan suka melakukannya tanpa terasa seperti dipaksa.

    Bagi salah seorang murid di Sekolah Ugama Orang Kaya Besar Imas Subok, Awang Mohammad Ziidan Taqiyya bin Mohammad, amalan menabung merupakan sesuatu yang telah dilakukannya sejak kecil lagi.

    Awang Mohammad Ziidan Taqiyya mengongsikan bahawa kedua-dua orang tuanya sangat menggalakkan dia dan adik beradiknya yang lain untuk menabung. Wang tabungan tersebut seterusnya akan disimpan ke dalam akaun simpanan di bank tempatan masing-masing bagi kegunaan masa depan.

    “Kami adik-beradik biasanya akan menyimpan wang dari duit raya yang kami dapat sepanjang hari raya dan semasa bulan Ramadan. Selain itu, jika kami diberikan wang daripada nenek dan ahli keluarga yang lain, kami juga digalakkan menyimpan sebahagian daripadanya.

    “Kami juga mempunyai tabung wang syiling yang kami akan keluarkan setahun sekali. Jumlah paling banyak yang kami pernah kumpulkan dalam setahun ialah hampir $800,” katanya dengan penuh keterujaan.

    Dia juga menjelaskan bahawa wang yang mereka simpan dalam jangka masa pendek itu sebahagiannya akan digunakan untuk membeli mainan yang mereka idamkan.

    Sementara itu, Awang Muhd Za’im Aiman bin Abdul Hamid yang berusia sembilan tahun juga cukup teruja mengongsikan bahawa dia juga mempunyai tabung simpanan wang sendiri yang mana baki perbelanjaan sekolah hariannya akan disimpan di sana.

    Dia juga menjelaskan bahawa selain tabungannya di rumah, ibunya turut menyokong usahanya dengan membuka akaun bank untuknya.

    Dia yang sudah terbiasa dengan amalan menabung juga menggalakkan lebih banyak kawan-kawannya di luar sana untuk menyimpan wang bagi kegunaan masa depan.

    Awang Muhd Za’im Aiman juga menerangkan bahawa terdapat projek berkaitan menabung yang turut dijalankan di sekolahnya dan dia amat menyukainya.

    Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit

    Sehubungan itu, penulis berpandangan bahawa menabung sejak kecil adalah keputusan yang bijak dan dapat memberikan manfaat jangka panjang di mana mereka tidak perlu menyumbangkan jumlah wang yang besar untuk mula menabung. Bahkan sumbangan kecil secara teratur merupakan langkah awal yang paling baik. Setiap wang lebihan dapat disisihkan dan dimasukkan ke dalam tabungan.

    Kunci utama tabiat menabung ialah menjaga konsistensi. Buatlah jadual bagi menyisihkan sebahagian wang awda sebagai tabungan yang tetap untuk setiap bulan.

    Seterusnya, awda juga boleh membuat anggaran untuk pengeluaran bulanan. Kenal pasti pengeluaran yang tidak perlu dan salurkan wang tersebut ke dalam tabungan awda.

    Bagi orang dewasa yang sudah bekerja pula, awda boleh mengalihkan sebahagian daripada pendapatan bulanan secara langsung ke dalam akaun tabungan melalui arahan bank.

    Dengan cara demikian, secara automatik awda telah memupuk disiplin diri setiap kali menerima gaji.

    Capai matlamat kewangan

    Sebagai kesimpulannya, penulis bersetuju bahawa tujuan menabung perlu ditetapkan sebelum memulakannya. Antara tujuan jangka pendek adalah seperti membeli sesuatu yang mahal. Manakala, tujuan jangka panjang adalah untuk membiayai pendidikan tinggi, membangun dana kecemasan, mahupun dana persaraan.

    Seseorang yang ingin membiasakan diri dengan amalan menabung juga perlu bijak dalam pengeluaran perbelanjaan mereka dengan pandai membezakan antara keinginan dan keperluan.

    Hindarilah pembelian impulsif yang tidak perlu dengan cara mempertimbangkan kepentingan memiliki barangan tersebut sebelum membeli sesuatu. Tanya diri awda sendiri apakah pembelian barang yang mahal tersebut akan membantu mencapai tujuan tabungan awda.

    Walau bagaimanapun, jika seseorang itu memiliki hutang, mereka seharusnya mengutamakan pembayaran hutang terlebih dahulu.

    Ini penting supaya hati awda menjadi lebih tenang dan dapat menumpukan sepenuh perhatian ke arah mencapai matlamat kewangan awda.

    Selain itu, menabung juga dapat memberikan jaminan dan kelapangan dada bagi mereka yang akan menempuhi waktu persaraan dan meneruskan kehidupan meniti hari tua.

    Akhirnya, amalan menabung begitu penting dalam kehidupan seharian kita khususnya ketika berdepan dengan keadaan yang tidak diduga seperti kemalangan, kehilangan mata pencarian dan seumpamanya. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda