Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menabung sejak remaja, jejak kaki di Tanah Suci pada usia 90

    KUALA LUMPUR, 3 JUN – Berkat menabung sejak umur 15 tahun, akhirnya seorang warga emas berusia 90 tahun berjaya menjejakkan kaki di Tanah Suci untuk menunaikan haji sekali gus menjadi jemaah tertua dari Malaysia tahun ini.

    Biarpun terpaksa mengambil masa 75 tahun, Zakaria Hamat, 90, dari Kampung Bilok, Banggu, Kota Bahru, Kelantan tetap bersyukur apabila dijemput menjadi ‘duyufurrahman’ (tetamu Allah) dalam usia senja.

    Zakaria yang ditemani cucu sulung Mohd Syafiq Mohd Sekari, 37, berkata kepayahan hidup dengan pendapatan tidak seberapa dan hanya bergantung kepada upah membanting padi menyebabkan beliau mengambil masa yang lama menabung sehingga simpanan cukup untuk menunaikan haji.

    “Zaman dulu pergi merata-rata cari duit, sampai ke Kedah, sampai lima enam kali pergi ke sana untuk memukul (membanting) padi, tapi upah tak banyak, kadangkala dapat juga beras zakat sehingga lima enam guni dan hasilnya bolehlah buat simpan sikit-sikit,” katanya dalam dialek Kelantan kepada petugas media ketika ditemui di hotel penginapannya baru-baru ini.

    Walaupun hasil simpanan tidak seberapa, warga emas yang turut dikenali sebagai Poksu Ya itu memberanikan diri untuk mendaftar haji pada 2003.

    Ditanya petuanya kekal sihat, beliau yang mempunyai isteri Ramlah Deris, 85, (tidak ikut haji) dan dua anak (namun telah meninggal dunia) serta 11 orang cucu itu berkongsi amalan membaca surah At-Taubah ayat 128-129 serta selawat tafrijiyah setiap kali selepas solat Maghrib dan Isyak. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda