Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menagih kasih yang terbuang

    UDARA segar yang memenuhi segenap kawasan bukit sungguh menyamankan. Suasana ini yang hanya boleh didapati di Cameron Highland nyata mempesonakan setiap manusia yang merasainya. Pemandangan hijau dari atas bukit berlatarbelakangkan gunung Brincang sungguh memukau.

    Hamparan kehijauan yang terbentang luas seluruh alam menggamit semula kenangan silam yang tidak mampu dilupakan. Kenangan demi kenangan terimbau kembali saat menikmati panorama alam yang secara perlahan-lahan membawa aku ke dunia yang hitam yang cuba untuk dilupakan. Terkesan dengan kisah-kisah silam yang mula menghantui pemikiran, kelopak mata mula digenangi air dan kemudiannya jatuh ke pipi.

    “Alif, termenungkan apa tu?” kehadiran opah dari belakang tanpa ada apa-apa isyarat nyata membuatkan aku sedikit terkejut. Cepat-cepat aku menyapu air mata yang mula memenuhi kelopak mata. Aku tak mahu opah tahu yang aku sedang bersedih.

    “Cepat bersiap, Alif. Kejap lagi orang dah mula ramai kat kedai. Opah tunggu kamu kat sana ya.” pesan Opah sebelum dia hilang daripada pandangan. Tersentak dengan pesanan Opah, aku terus teringat akan kerja-kerja di kedai makan. Memikirkan kedai yang perlu dibuka sebelum tengah hari, aku perlu bersiap untuk memakai baju kerja. Selepas bersiap, aku harus ke warung kepunyaan Opah yang terletak kira-kira 20 minit kalau berjalan kaki dari rumah.

    Itulah rutin yang aku tempuhi semenjak abah mula ‘melepaskan’ aku ke bawah jagaan Opah. Bagi abah, dengan kedudukannya sebagai pensyarah kanan di salah sebuah universiti terkemuka tanah air, dia berasa malu mempunyai anak yang cacat seperti aku. Bukan sahaja abah, malah ibu turut berpendirian sama seperti abah walhal dialah insan yang melahirkan aku ke dunia. Dengan memiliki gelaran sebagai tokoh usahawan wanita, ibu cuba menyembunyikan siapa aku sebenarnya di khalayak ramai dan lebih gemar menonjolkan Kamil yang merupakan anak keduanya.

    Aku akui, penampilan Kamil lebih kemas, percakapannya lebih teratur dan dia melebihi segala-galanya daripada aku. Kalau ke majlis-majlis rasmi yang memerlukan kehadiran ahli keluarga, ibu akan membawa Kamil sebagai penemannya dan secara perlahan-lahan cuba menafikan kedudukan aku sebagai anaknya.

    Perasaan benci terhadap aku turut berjangkit kepada Kamil, Ipah, Nana dan Ayie walhal suatu ketika dahulu mereka adalah insan yang begitu rapat dengan aku. Perasaan benci dalam diri mereka semua semakin membuak-buak semenjak menginjak dewasa. Nampaknya, racun yang disebarkan oleh abah dan ibu berjaya menyerap masuk ke dalam pemikiran adik beradik yang lain. Ternyata, mereka semua hanyalah darah daging di atas kertas semata-mata namun secara realitinya, mereka hanyalah orang asing.

    Teringat akan kisah-kisah silam pastinya akan melukakan semula hati yang belum lagi terubat sakitnya. Walaupun kita sedaya upaya cuba untuk melenyapkannya, namun ianya tetap akan datang semula tanpa dipinta. Begitu juga dengan kenangan saat pertama kali abah menghantar aku ke rumah Opah. Kesakitannya tetap terasa sedangkan peristiwa tersebut telah berlaku 10 tahun yang lalu. Sepuluh tahun juga aku menanggung sakit yang tak tertanggung, merawat sendiri luka yang tak terubat, dan menelan pahit yang tak tertelan.

    “Aku tak ada anak macam kau, bebal. Aku suruh kau pergi sekolah, belajar. Bukannya jadi cacat macam ni. Kau tahu tak,cacat?” kata-kata abah masih lagi aku ingat saat aku dihantar ke rumah Opah dan semenjak itu, terlerainya kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Aku bukan sengaja menjadi cacat, tapi disebabkan sistem pendidikan negara yang berbeza dengan London membuatkan aku menjadi terencat. Mana tidaknya, aku mendapat pendidikan awal di London semenjak berumur enam tahun.

    Enam tahun lamanya berada di London membuatkan aku menjadi fasih berbahasa inggeris, mengadaptasi modul-modul pendidikan yang jauh lebih ke hadapan dan mula terlibat dengan sukan-sukan ekstrem. Tapi, sayangnya, hanya enam tahun sahaja aku dapat merasa nikmat hidup di London dan kemudiannya terpaksa akur dengan rancangan kedua orang tua yang mahu pulang ke Malaysia.

    Abah dan ibu mengambil keputusan untuk pulang semula ke tanah air disebabkan pengajian abah di peringkat Doktor Falsafah(PHD) telah tamat dengan keputusan yang amat membanggakan. Aku membantah keputusan abah kerana khuatir dengan sistem pendidikan yang pastinya tidak akan selari dengan apa yang aku terima sepanjang berada di London. Namun, abah tetap berkeras dengan keputusannya dan dua minggu selepas itu, kami semua selamat kembali ke tanah air.

    Selepas pulang semula ke Malaysia, aku masih lagi normal, sama seperti kanak-kanak yang lain. Keterencatan mental aku hanya bermula semenjak dimasukkan ke sekolah menengah iaitu ketika aku berusia 13 tahun. Kekhuatiran aku menjadi kenyataan apabila mula rimas dengan sistem persekolahan yang jauh berbeza berbanding di London.

    Di dalam kelas, aku dipaksa menerima sukatan pelajaran yang sudah ditetapkan untuk remaja yang berusia 13 tahun sedangkan subjek-subjek yang diketengahkan telahpun aku pelajari semasa di London suatu ketika dahulu. Aku menjadi semakin pendiam,tidak berminat untuk belajar dan sering mendapat kedudukan terakhir dalam kelas. Disebabkan tidak menyerlah dalam pelajaran, cikgu Leman, guru kelas aku ketika itu mengambil keputusan untuk menempatkan aku di kedudukan paling belakang sekali di dalam kelas.

    Tindakannya membuatkan aku semakin tercicir dalam pelajaran dan lama-kelamaan mental aku menjadi terencat disebabkan sistem yang tidak selari dengan apa yang aku inginkan. Akhirnya, aku dipindahkan ke dalam kelas pendidikan khas, iaitu kelas untuk orang-orang yang mempunyai masalah dalam pelajaran.

    Peristiwa tersebut nyata membuatkan abah tidak berpuas hati. Dia merayu kepada pihak sekolah supaya aku dimasukkan semula ke kelas yang sama dengan pelajar-pelajar normal yang lain kerana dia tidak mahu menanggung malu. Tidak mahu menanggung malu hanya kerana statusnya sebagai ahli akademik yang mula menempa nama di dalam negara. Namun, abah terpaksa akur dengan keputusan pihak sekolah yang mahu mengekalkan aku di kelas pendidikan khas.

    Tidak mahu mengalah dan berputus asa dengan ketetapan yang telah dibuat oleh pihak sekolah, abah bertindak memindahkan aku ke sekolah pendidikan khas di Kuala Lumpur. Dia menempatkan aku di sekolah tersebut dalam usaha untuk merahsiakan identiti aku yang sebenar.

    Empat tahun lamanya aku ditempatkan disekolah tersebut dan selama itu jugalah aku menagih kasih sayang daripada seorang ibu dan ayah. Aku kehausan kasih sayang dan belaian manja daripada kedua orang tua dan juga adik beradik yang lain. Aku cemburu dengan Kamil,Ipah, Ana dan Ayie yang hidup seperti burung yang bebas terbang ke mana saja.Hidup seperti kapal-kapal yang bebas belayar di lautan dan melepaskan sauh bila-bila masa sahaja. Empat tahun juga aku menagih kasih sayang yang tak mampu diganti dengan pangkat dan kekayaan.

    Selepas empat tahun ‘dipenjara’,akhirnya aku berjaya keluar dengan penuh harapan agar kasih sayang ibu, abah dan adik beradik yang lain bertaut kembali. Berharap agar kasih sayang yang diperlukan selama ini menjadi kenyataan dan bukan lagi sebuah harapan palsu. Aku mengimpikan sebuah kehidupan yang dipenuhi dengan warna warni kasih sayang sama seperti sewaktu kanak-kanak dahulu.

    Namun, harapan tersebut terlerai dan hancur berkecai, ibarat kaca yang dihempas ke lantai. Hati menjadi sakit ibarat tertikam belati tajam yang tercucuk hingga tembus ke jantung. Mana tidaknya,destinasi aku selepas tamat persekolahan bukan ke rumah yang menempatkan ibu dan adik beradik yang lain tetapi ke rumah Opah yang jauh daripada pengetahuan orang ramai.

    Kawasan penempatan yang sunyi sepi, dipenuhi kabus setiap pagi dan hamparan kehijauan yang terbentang luas. Rasa sakit menjadi tak tertanggung apabila terkenangkan ibu yang sentiasa menagih kasihnya. Menagih kasih sayang dan belaian manja sama seperti Kamil, Ipah, Ana dan Ayie.

    Semenjak peristiwa tersebut, terlerailah sebuah ikatan kekeluargaan antara seorang anak yang ‘cacat’ dengan darah dagingnya sendiri. Aku sudah tidak mampu menangis mengenangkan sejarah hitam tersebut kerana sudah kekeringan air mata. Harapan yang suatu ketika dahulu setinggi gunung akhirnya runtuh dan lenyap dalam sekelip mata. Hanya kepada Opah tempat aku menagih simpati, menerima kasih sayang daripadanya walaupun jauh dari sudut hati, kasihnya tidak setaraf dengan ibu.

    Walaupun pada hakikatnya aku mempunyai ibu dan ayah, namun aku hanya mampu menagih kasih sayang bukan daripada mereka.Walaupun kasih sayang mereka telah jauh terbuang, namun aku tidak pernah berhenti untuk menagihnya.

    Kepada abah dan ibu, Alif akan tetap berharap agar suatu hari nanti kasih sayang ibu dan abah kepada Alif bertaut kembali.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda