Kemenangan lagu Hening Rindu di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) nyata memberi makna besar buat penyanyi Marsha Milan selepas 20 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air.
Marsha atau Marsha Milan Londoh, 40, berkata, terlalu banyak cabaran dan ujian perlu ditempuh sebelum berjaya mengecapi trofi yang disifatkan paling bermakna sepanjang kariernya.
“Trofi kemenangan ini sangat bermakna sebab saya sudah 20 tahun dalam industri membina nama.
“Ramai sudah menyaksikan kesukaran saya dalam industri dan kemenangan saya kecapi ini besar maknanya,” katanya kepada mStar.
Marsha berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa sidang media AJL39 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam kelmarin.
Dalam pada itu, kata Marsha dia langsung tidak meletakkan sasaran untuk menang sebarang kategori apatah lagi menjuarainya.
Bagaimanapun, penyanyi itu bersyukur dan tidak menyangka Hening Rindu diangkat menjadi juara AJL39.
“Saya tak letak apa-apa harapan, tetapi jauh di sudut hati ada juga perasaan seronoknya kalau saya menang.
“Alhamdulillah bila lagu nyanyian saya dinobatkan sebagai juara, saya memang tak sangka sangat,” jelasnya.
Hening Rindu yang merupakan lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi. – Agensi
