BILBAO, 1 MEI – Ruben Amorim mengakui bahawa walaupun memenangi Liga Europa, ia tidak akan dapat selamatkan musim menyedihkan Manchester United.
United bakal berdepan Athletic Bilbao pada separuh akhir, dengan perlawanan pertama di Sepanyol esok.
Tetapi walau apa pun keputusan di San Mames dan juga tempat untuk perlawanan akhir Mei nanti, ia tidak akan menyembunyikan fakta bahawa ini merupakan kempen terburuk United dalam era Liga Perdana.
Tambahan lagu, ia juga kempen hambar apabila musuh ketatnya, Liverpool telah menyamai rekod mereka dalam 20 kejuaraan Inggeris di peringkat teratas.
United kini berada di tangga ke-14 dalam carta Liga Perdana, dengan hanya mengumpul 39 mata dengan baki empat perlawanan, bermakna mereka perlu memenangi Liga Europa untuk layak ke Liga Juara-Juara.
“Semua orang tahu bahawa ia sangat penting untuk musim kami,” kata pengurus United, Amorim semasa sidang media sebelum perlawanan.
“Kami tahu bahawa tiada apa yang akan menyelamatkan musim kami tetapi ini boleh membawa kesan yang besar.
“Memenangi trofi dan juga untuk menyertai Liga Juara-Juara tahun depan boleh mengubah banyak perkara dalam kelab kami, walaupun pada musim panas.”
United cuba memburu trofi liga tersebut buat kali kedua selepas kejayaan semasa kendalian Jose Mourinho pada 2016/17.
“Seperti kata ketua jurulatih, ini tidak akan menyelamatkan musim ini,” kata pemain tengah Manuel Ugarte.
“Tetapi sejarah United ditulis dengan gelaran, jadi itulah sebabnya kami sangat fokus untuk esok dan supaya dapat sertai Liga Juara-Juara musim depan, jadi ia sangat penting dan sama sekali kami akan cuba untuk menang.”
Persaingan Liga Eropah adalah satu-satunya harapan untuk United dalam musim sukar di mana Amorim telah bergelut untuk membuat kehadirannya dirasai selepas menggantikan Erik ten Hag yang dipecat pada November.
“Liga Eropah tidak akan mengubah apa-apa dalam masalah kami, (tetapi) ia akan bantu kami untuk sertai Liga Juara-Juara tahun depan, lebih banyak wang untuk dibelanjakan tetapi masalah tetap,” kata Amorim.
“Kami perlu mengubah fikiran peminat kami dengan konsisten, keputusan yang baik, pengambilan yang baik, akademi yang baik. Inilah yang perlu kami ubah untuk membawa kelab ini kembali ke puncak. Ini seperti jalan pintas untuk pergi ke perlawanan Eropah. Tidak lebih daripada itu.”
Sementara lawan mereka, baib juara dua kali, Bilbao mempunyai insentif tambahan untuk cuba mara ke final Eropah di laman sendiri.
“Mereka benar-benar kuat sebagai satu pasukan, sangat sengit, sangat agresif, malah untuk pasukan Sepanyol mereka agresif dalam setiap pertarungan,” kata Amorim.
“Mereka mempunyai pemain hebat satu lawan satu. Nico Williams adalah pemain istimewa. Mereka adalah pertahanan terbaik di Sepanyol dalam liga. Kami tidak menjaringkan terlalu banyak gol, jadi ia akan menjadi perlawanan yang sukar untuk kami.”
Amad Diallo dan Matthijs de Ligt yang telah lama tidak disenaraikan sejak Februari dan awal April bakal sertai perlawanan kali ini. – AFP
