Salam sejahtera, saya harap semua yang membaca cerita ini dalam keadaan sihat. Saya nak cerita sikit tentang masalah yang saya hadapi sebagai seorang menantu dalam keluarga suami.
Saya Naura. Saya berkahwin dengan suami saya hampir lima tahun yang lalu. Sejak hari pertama saya melangkah masuk ke dalam keluarganya, saya tahu saya bukanlah pilihan hati ibu mentua.
Saya cuba sebaik mungkin untuk mengambil hati, memasak makanan kegemarannya, mengurut kakinya bila dia sakit, dan cuba hadir setiap kali dia perlukan sesuatu. Tapi layanan yang saya terima tetap hambar. Saya hanya ‘isteri kepada anaknya’, bukan ‘anak perempuan’ seperti mana dia anggap menantu perempuannya yang satu lagi.
Setiap kali ada majlis keluarga, saya rasa seperti tetamu. Mereka berbual sesama sendiri, bergelak ketawa, sedangkan saya hanya duduk diam, mendengar dan berpura-pura tersenyum. Pernah sekali saya terlepas cakap ketika sedang membantu di dapur, dan dia menjawab, “Awak tak perlu tahu, ini hal keluarga.” Terkejut dan tak tahu kata apa, aku cuma ketawa dan berlalu pergi. Dalam hati ‘bukankah aku juga keluarga?’
Suami saya tahu saya terasa, tapi dia selalu anggap perkara itu remeh. Lima tahun bukan tempoh yang singkat. Saya bukan nak dimanja, cuma mahu diterima. Saya tak minta dijadikan anak emas, cukup sekadar diiktiraf sebagai sebahagian daripada mereka.

Kini saya sudah ada anak, dan sedikit sebanyak, kehadiran cucu membuka sedikit ruang antara kami. Tapi luka dalam hati saya masih belum sembuh sepenuhnya.
Saya tetap berdoa, suatu hari nanti ibu mentua akan sedar bahawa saya bukan orang luar.
Saya bukan sempurna, tapi saya cuba. Saya harap, dengan masa dan kesabaran, saya akan benar-benar menjadi ‘keluarga’, bukan sekadar menantu.
Naura
NASIHAT DANG MP –
Salam sejahtera Naura,
Terima kasih kerana menulis dengan begitu jujur dan penuh harapan. Cerita Naura mencerminkan satu realiti yang dihadapi oleh ramai menantu iaitu usaha tanpa henti untuk diterima, walaupun hati sering kali diuji. Apa yang awda lalui bukanlah satu kelemahan, tetapi kekuatan yang tersembunyi dalam kesabaran.
Naura, kamu telah berusaha lebih daripada sekadar “menantu”. Kamu hadir dengan kasih, berkhidmat dengan ikhlas, dan mencuba sedaya upaya untuk menyemai hubungan yang sepatutnya dibina bersama. Tetapi apabila penerimaan tidak datang dari pihak lain, itu bukan kegagalan kamu. Itu cerminan hati mereka yang belum bersedia melihat keikhlasanmu.
Namun, usahlah berputus asa. Dapatkan pandangan suami tentang bagaimana untuk mengatasi masalah ini. Mintalah sokongannya daripadanya juga untuk mengubah pandangan mertua bahawa Naura sebenarnya adalah seperti ahli keluarga. Minta pandangan daripadanya bagaimana untuk mengambil hari mertua awda seperti memasak masakan kegemarannya atau memberi hadiah kesukaannya.
Teruskan berdoa, tapi juga belajarlah untuk menjaga hati awda sendiri. Jangan biarkan penerimaan mereka menjadi penentu nilai dirimu. Utamakan yang penting seperti menjaga hubungan dalam keluarga kamu sendiri daripada terlalu memikirkan penerimaan keluarga mertua. Kamu adalah isteri yang tabah, ibu yang penyayang, dan wanita yang kuat.
Semoga satu hari nanti, ibu mentua kamu akan melihat bukan sekadar siapa kamu di sisi anaknya, tetapi siapa kamu sebenarnya.






