Wednesday, July 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menara buah dadu permainan papan

    Oleh Amri HTZ

     

    POPULARITI permainan papan atau ‘board games’ tradisional pada zaman moden ini setentunya menurun dengan kehadiran alat-alat permainan baru. Ramai kalangan remaja atau golongan dewasa lebih memilih gaya permainan berbentuk digital menggunakan peralatan moden dan berteknologi tinggi memandangkan cara tradisional agak membosankan. Bagi menjadikan permainan papan tradisional kembali menyeronokkan, anda boleh mereka kotak menara buah dadu dengan beberapa langkah mudah bagi memberikan kelainan pada gaya permainan tradisional.

    Peralatan yang diperlukan

    Beberapa peralatan penting yang diperlukan untuk menjayakan projek ini seperti mesin pemotong kayu, kepingan papan atau papan lapis, pahat kayu, pita pelekat, kertas pasir, ketam kayu, cat atau varnis, gam kayu, pisau pemotong, sedikit pelekat kereta dan mesin jigsaw.

    Langkah-langkah pembuatan

    Pada langkah pertama, potongkan papan yang disediakan dengan ketebalan ¼ inci kepada beberapa kepingan. Bagi struktur kotak bahagian luar (yang pertama) sekeping potongan saiz kayu yang diperlukan ialah 7’’ x 10’’ dengan ketinggian 2 ½ inci untuk bahagian bawah kotak. Dengan itu untuk bahagian sisi kotak, dua keping 7’’ x 2 ½’’ kayu diperlukan sementara kayu berukuran 10’’ x 2 ½’’ perlu dipotong sebanyak dua keping.

    Kotak bahagian luar yang telah siap dicantumkan yang akan dijadikan ruangan untuk buah dadu.
    Kayu pembahagi yang telah dilekatkan pada bahagian dalam kotak menara menggunakan gam kayu dan paku.

    Setelah memotong kayu dengan ukuran yang diperlukan, pada setiap bahagian hujung sudut kayu perlu dipotong dengan sudut 45 darjah. Untuk mendapatkan hasil potongan sebegini, ia memerlukan mesin pemotong kayu meja atau hanya dengan menggunakan pengetam kayu dan pembaris sudut darjah.

    Setelah itu, sapukan gam kayu pada permukaan cantuman dengan menggunakan berus dan kapitkan menggunakan pengepit kayu. Bagi anda yang ingin mempercepatkan proses cantuman, gunakan compressed air nail gun untuk mencantumkannya bersama gam kayu.

    Sementara untuk kotak bahagian luar (kotak menara), ukuran kotak yang diperlukan ialah 6 ½’’ x 9 ½’’. Dengan ini, beberapa potongan kayu diperlukan iaitu dua keping 9 ½’’ x 2 ¼’’ dan dua keping kayu berukuran 6 ½’’ x 9 ½’’ untuk bahagian depan dan belakang menara kotak.

    Papan penutup depan kotak menara yang bahagian bawahnya dipotong separa bulatan.
    Keadaan kotak menara yang dilekatkan sementara menggunakan pita pelekat bagi memastikan saiz kotak menara sesuai dengan kotak bahagian luar.

    Kelebihan kotak menara buah dadu yang boleh dilipatkan menjadi sebuah kotak bagi memudahkan penyimpanan.

    Selesai memotong kepingan kayu dengan ukuran yang telah diberikan, potongkan dua keping kayu berukuran 2 ½’’ x 1 ¾’’ dengan dua sudut hujung dipotong 45 darjah, untuk dijadikan pembahagi pada bahagian dalam kotak menara. Potongan kayu pembahagi adalah untuk dijadikan alat mengocak automatik buah dadu ketika ia dijatuhkan di dalam kotak menara tersebut. Manakala untuk bahagian bawah (seperti dalam gambar) potongkan kayu berukuran 6’’ x 1 ¾’’ dengan sudut atas dipotong pada sudut 45 darjah. Ini berfungsi untuk memudahkan proses keluar buah dadu tanpa anda perlu mengoreknya keluar.

    Setelah semua potongan kayu untuk kotak menara tersedia, cantumkan bahagian sisi kotak dengan bahagian belakang (6 ½’’ x 9 ½’’) dengan menggunakan gam kayu. Setelah itu dua keping potongan kayu (2 ½’’ x 1 ¾’’) perlu dilekatkan pada bahagian dalam dengan gaya mencondong.

    Sementara itu pada bahagian bawah kotak menara, kayu berukuran 6’’ x 1 ¾’’ perlu dilekatkan dengan sudut potongan 45 darjah menghadap ke bahagian atas. Sebelum menutup bahagian hadapan kotak menara, potongan kayu 6 ½’’ x 9 ½’’ pada bahagian bawah dengan potongan 180 darjah atau bentuk separa bulatan. Bahagian ini adalah ruang keluar buah dadu nanti.

    Bagi anda yang inginkan kelainan pada kotak tersebut, anda boleh mengukir nama,ukiran dan sebagainya pada bahagian luar kotak tersebut atau dengan hanya mengecat keseluruhan permukaan dengan varnis berwarna sedikit gelap. Apabila cat mengering, kini anda hanya perlu menjatuhkan buah dadu untuk permainan papan anda ke dalam kotak menara yang telah siap direka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda