Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menara Eiffel ditutup akibat mogok

    PARIS, 27 DIS – Menara Eiffel telah ditutup kepada pengunjung hari ini berikutan mogok ke atas rundingan kontrak, pada hari yang sama monumen Paris itu menandakan 100 tahun sejak kematian penciptanya, Gustave Eiffel.

    Bagaimanapun para pelancong masih boleh mengakses esplanad yang tertutup dengan kaca di bawah menara itu, namun akses ke mercu tanda 300 meter itu ditutup sehingga notis lanjut, menurut jurucakap Menara Eiffel.

    Mogok itu diisytiharkan sebelum rundingan kontrak dengan bandar Paris, yang memiliki monumen berusia 134 tahun itu, kata jurucakap tersebut.

    Wakil kesatuan tidak dapat dihubungi untuk komen dan tidak jelas berapa lama mogok itu akan berlangsung.

    Salah satu tapak yang paling kerap dilawati di dunia, Menara Eiffel lazimnya dibuka 365 hari setahun – walaupun kadang kala menyaksikan mogok yang diadakan – dan dijangka memainkan peranan penting dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

    Tarikan itu biasanya menarik kira-kira 20,000 pengunjung setiap hari pada tahun ini, kata jurucakap itu, yang tidak diberi kuasa untuk dinamakan secara terbuka mengikut dasar pengurusan menara.

    Satu rancangan muzik khas menandakan kematian Gustave Eiffel pada 27 Disember 1923, masih dijadual untuk disiarkan di rangkaian sosial dan televisyen Perancis malam ini kerana ia telah dirakam lebih awal, kata jurucakap tersebut. – AP

    Pelancong menyaksikan Menara Eiffel, di Paris. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda