NEW YORK, 18 OGOS – Bangunan pencakar langit paling nipis di dunia dilaporkan dibuka kepada pengunjung yang berhasrat untuk membeli kediaman di bangunan tersebut.
Bangunan kediaman 84 tingkat itu berlatarbelakangkan langit bandar New York. Menara Steinway terletak di kawasan 111 West 57th Street atau dikenali sebagai Billionaires’ Row di pusat bandar Manhattan pada ketinggian kira-kira 435 meter. Pangsapuri mewah itu bernilai antara AS$18 juta sehingga AS$66 juta satu unit.
Bangunan itu mempunyai ketinggian 435 meter dan merupakan menara kediaman kedua tertinggi di hemisfera Barat, di belakang Menara Central Park yang mempunyai ketinggian 470 meter.
Sebagai perbandingan, menara tertinggi di dunia ialah Burj Khalifa Dubai, yang berketinggian 2,717 kaki.
Menurut pihak pemaju, Menara Steinway direka bentuk secara luar biasa dengan menampilkan ciri-ciri yang menonjolkan kemegahan.
Menara Steinway mempunyai sejarah yang panjang sebagai lokasi bekas Steinway Hall, yang dibina pada tahun 1924.
JDS Development Group dan Property Markets Group membeli bangunan itu pada 2013, dan menara tersebut siap pada tahun lalu. – AP
