NEW YORK – Sekitar 50 tahun lalu, filem Jaws mencetuskan ketakutan berjuta-juta orang terhadap jerung pemakan manusia.
Namun musim panas ini, rasa takut itu mungkin berkurangan apabila jerung menjadi peserta rancangan tarian TV.
Bekas hos Dancing With the Stars, Tom Bergeron, tampil dalam satu kejayaan pemasaran luar biasa menerusi Shark Week terbitan Discovery Channel rancangan Dancing with Sharks, di mana manusia dan jerung tukul sepanjang 20 kaki melakukan sedikit tarian mambo.
“Saya mempunyai pengalaman selama 15 tahun mengacarakan rancangan tarian, tetapi kali ini ia benar-benar berbeza,” kata Bergeron kepada AP.
“Selama ini saya pernah terfikir, alangkah menariknya kalau Dancing With the Stars dapat melibatkan spesies lain. Dan kini, impian saya akhirnya menjadi kenyataan.”
Dalam rancangan itu, lima pengendali jerung yang menyelam skuba menggunakan umpan untuk memusing dan membimbing pelbagai spesies jerung ke dalam gerakan seakan walts mini digelar sebagai ‘pertandingan tarian paling berbahaya di dunia’.
Seorang peserta memeluk jerung nerf dan ‘berpeluk’ dengannya. Seorang lagi membuka tangki udara dan melakukan pusingan ganda ke belakang.
Manakala seorang lagi, pengendali jerung yang meminati hip-hop, melakukan pusingan kepala ala breakdance di dasar laut sementara jerung mengelilinginya.
“Mereka ini antara pengendali jerung terbaik di dunia. Mereka memahami gerak-geri dan tingkah laku jerung, serta tahu cara berinteraksi dengan selamat.
Mereka membimbing jerung seperti menari dengan pasangan,” kata Kinga Philipps, wartawan TV dan salah seorang daripada tiga juri rancangan itu.
“Ia sangat lancar dan indah, mereka hanya perlu tambah sedikit muzik dan hasilnya benar-benar seperti tarian.”
SHARK-A-THON BERMULA
Dancing with Sharks membuka tirai minggu program khas ini, yang turut menampilkan rancangan tentang cara untuk bertahan daripada serangan jerung, sebab Pantai New Smyrna di Florida digelar ‘Ibu Kota Serangan Jerung Dunia’, serta misteri jerung berkulit gelap di pesisir California sama ada ia jerung mako, mutan, atau hibrid antara mako dan great white.
Tujuh malam penuh dengan rancangan baharu dan podcast berkaitan berakhir di pesisir Mozambique dengan pesta pemakanan tahunan jerung yang bertukar menjadi pertarungan antara jerung dan mangsa besar mereka, trevally gergasi.
Salah satu sorotan ialah rancangan How to Survive a Shark Attack oleh Paul de Gelder, yang pernah menjadi mangsa serangan jerung di Sydney Harbour pada 2009 sehingga kehilangan tangan kanan dan kaki.
“Kalau anda berada dalam rahang jerung, lawanlah habis-habisan. Serang bahagian lembut mata, insang,” katanya. “Tetapi kalau sekadar terserempak dengan jerung dan bukan diserang, kekal tenang adalah pilihan terbaik.”
De Gelder juga menafikan satu mitos: menumbuk jerung yang sedang menyerang kononnya dapat menghalangnya. “Kalau anda nak sakitkan tangan sendiri, silakan,” katanya.
Cara lebih baik ialah tidak bergerak secara agresif dan cuba alihkan perhatian jerung dengan lembut.
“Rahsia yang saya pelajari ialah: jangan bertindak seperti makanan dan mereka tidak akan menganggap anda makanan.”
KEGEMBIRAAN DAN SAINS
Shark Week telah menjadi sebahagian penting dalam jadual TV musim panas, memberikan peluang kepada penonton yang selamat di darat untuk melihat pemangsa purba ini meluncur dengan tenang dan membuka rahang mereka.
Sorotan lain termasuk pencarian jerung putih sepanjang 20 kaki yang mampu melompat ke udara Air Jaws: The Hunt for Colossus, dan rancangan persaingan antara jerung putih jantan dan betina untuk menentukan jantina mana lebih unggul sebagai pemangsa, diberi tajuk unik Great White Sex Battle.
Joseph Schneier, Naib Presiden Kanan Penerbitan dan Pembangunan Discovery, berkata idea rancangan banyak lahir daripada mendengar apa yang dilihat komuniti penyelam dan saintis, seperti penyelam profesional yang kelihatan menari secara semula jadi bersama jerung ketika memberi makan lantas mencetuskan Dancing With Sharks.
“Kami sedar ada sesuatu yang lebih dalam gerakan itu,” katanya. “Kami bertuah kerana jerung terus mengejutkan kami. Itu membantu kami cipta cerita baharu untuk diketengahkan. Itulah prinsip kami jerung ialah bintang utama, bukan manusia.”
Seperti biasa, di sebalik judul menghiburkan, permainan kata berkaitan jerung, muzik dramatik dan tajuk sensasi seperti Frankenshark dan Alien Sharks: Death Down Under, terdapat penghormatan mendalam terhadap makhluk ini dan sains yang kukuh.
“Ia ibarat menyelitkan sayur ke dalam pencuci mulut,” kata Bergeron. “Anda dapat daya tarikan rancangan seperti Dancing With Sharks, tapi dalam masa yang sama, anda belajar banyak tentang jerung, ekologi dan peranan penting jerung dalam ekosistem. Semuanya terkandung dalam sundae strawberi anda.”
LAHIR DARI FILEM JAWS
Shark Week pada asalnya diwujudkan sebagai penyeimbang terhadap ketakutan terhadap jerung yang dicetuskan oleh filem Jaws.
Ia kini menjadi medan kepada saintis yang ingin melindungi haiwan yang lebih purba daripada pokok.
“Jaws memperkenalkan dunia kepada pemangsa yang sangat menarik perhatian kita,” kata Schneier.
“Tapi kami juga rasa filem itu pergi terlalu jauh. Jerung bukan makhluk yang mahu mencederakan manusia, tetapi hidupan laut itu telah melalui evolusi lebih 50 juta tahun untuk menjadi pemangsa yang sangat cekap. Seronok meraikan betapa hebatnya mereka dalam ‘kerjaya’ ini.”
Kendyl Berna, pengasas bersama kumpulan ekologi Beyond the Reef dan tokoh tetap Shark Week, berkata kajian terhadap makhluk purba ini boleh memberi petunjuk kepada perubahan di planet ini.
“Banyak program tahun ini menyentuh isu perubahan iklim bagaimana ia mempengaruhi kehadiran jerung, waktu mereka muncul dan apa yang mereka makan,” katanya.
“Sebagai pemangsa utama rantaian makanan, jerung menentukan corak ekosistem.”
Bergeron pula berkata, penglibatannya dalam Shark Week buat pertama kali dan pertemuannya dengan penyelam yang berinteraksi dengan jerung telah menjadikannya lebih berani.
“Saya belum sampai tahap berani menyelam tanpa sangkar bersama jerung. Tapi kalau dengan sangkar, saya bersedia. Cuma… jangan beritahu isteri saya,” ujarnya. – AP